- Berita
- Teknologi
- Jalan Raya Negara Diawasi Dron, Sensor & AI
Malaysia kini melangkah lebih jauh dalam usaha meningkatkan keselamatan, kecekapan dan keberkesanan infrastruktur jalan raya menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
AI Bantu Kenal Pasti Kerosakan Jalan Secara Masa Nyata
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata teknologi AI kini digunakan untuk memantau dan mengesan kerosakan jalan raya dengan lebih pantas dan tepat.
“Melalui teknologi pemantauan pintar seperti dron, sensor dan teknologi Internet Kebendaan (IoT), kita akan mampu mengesan kerosakan jalan dalam masa nyata.
“AI pula membantu kita menganalisis data tersebut untuk menentukan lokasi yang memerlukan perhatian segera serta menjangka potensi kerosakan masa depan. Semua ini meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos dalam pengurusan jalan raya," katanya.
Jelas beliau, penggunaan teknologi ini akan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan selain mempercepat tindakan pembaikan.
Malaysia Tidak Lagi Hanya Memerhati
Alexander menegaskan bahawa Malaysia kini merupakan antara negara yang sedang giat menerapkan teknologi AI dalam pengurusan jalan raya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk Malaysia’s Future-Ready, Hyper-Connected Cities: Policies, Progress, and the Path Ahead di Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025, yang berlangsung pada Khamis.
Pelan ITS Malaysia 2030 Jadi Panduan
Menerusi forum tersebut, Alexander turut memperkenalkan hala tuju strategik Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 yang sedang dirangka oleh Kementerian Kerja Raya.
Visi pelan ini adalah untuk membentuk sistem mobiliti negara yang lebih selamat, berkesinambungan dan mampan, dengan sistem pengangkutan pintar (ITS) menjadi tulang belakang pembangunan digital negara.
Lima Teras Utama ITS Malaysia 2030
Lima teras utama yang akan memacu pelaksanaan pelan tersebut adalah:
- Mobiliti pintar tanpa gangguan menerusi pengangkutan hiperhubung,
- Peralihan kepada mobiliti hijau dan lestari,
- Pendigitalan perkhidmatan awam dalam sektor pengangkutan,
- Pembentukan ekosistem pengangkutan yang selamat dan terjamin,
- Pemanfaatan data untuk perancangan dan pengurusan pengangkutan lebih strategik.
Malaysia Sasar Jadi Bandar Hiperhubung
Tambah Alexander, antara inisiatif transformasi yang sedang berlaku di negara adalah seperti berikut:
- Pembangunan kenderaan autonomi (AV),
- Penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam sistem pengangkutan awam,
- Pengenalan Sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF),
- Penubuhan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan (NITMC).
Beliau menegaskan, segala perancangan ini akan diterjemahkan kepada pelaksanaan konkrit yang akan mengubah landskap mobiliti negara ke arah masa depan yang lebih pintar dan hiperhubung.
Baca: Jalan Berlubang: Aduan Perlu Diselesaikan Dalam 12 Jam Bukan 24 Jam
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv