- Berita
- Teknologi
- Pioneer SXT-C10PS: Radio Untuk Kereta Klasik Dengan Ciri Moden 'Tersembunyi'
Pioneer SXT-C10PS: Radio Untuk Kereta Klasik Dengan Ciri Moden 'Tersembunyi'
Bagi pemilik dan peminat tegar kereta klasik moden, mencari unit audio baharu yang sesuai bukanlah satu perkara yang mudah. Dalam era yang didominasi oleh skrin besar dan fungsi mirip telefon pintar, sukar untuk mencari penyelesaian yang seimbang antara nilai klasik dan teknologi moden.
Namun begitu, Pioneer, jenama besar dalam dunia elektronik, tampil dengan satu penyelesaian baharu melalui produk terbarunya, Pioneer SXT-C10PS.
Rekaan Single-DIN Dengan Sentuhan Retro Sebenar
SXT-C10PS direka khusus untuk menggantikan unit audio Single-DIN dalam kereta klasik moden, terutama model yang popular sekitar tahun 1980-an hingga awal 2000-an. Tidak seperti kebanyakan unit moden yang menggunakan skrin sesentuh, Pioneer memilih pendekatan retro sepenuhnya.
Paparan digital dot matriks kecil menggantikan skrin sesentuh, manakala butang fizikal dan tombol kawalan audio memberikan rasa sentuhan klasik yang memuaskan. Rekaan minimalis ini membuatkannya sesuai untuk dipadankan depan papan pemuka (dashboard) kereta klasik tanpa mencacatkan gaya asal.
‘Slot Kaset’ Dengan Ciri Moden Tersembunyi
Satu ciri menarik pada unit ini adalah slot seakan dek kaset klasik yang sebenarnya merupakan penutup boleh dibuka. Di sebaliknya tersembunyi sambungan moden seperti port USB 2.0 (USB-A) dan input audio AUX 3.5 mm.
Unit ini juga menyokong sambungan Bluetooth yang membolehkan fungsi panggilan bebas tangan serta penstriman audio terus dari telefon pintar.
Sokongan Audio Berkualiti Tinggi
Bukan sekadar bergaya retro, Pioneer SXT-C10PS turut hadir dengan keupayaan audio yang berkualiti tinggi. Ia dilengkapi RCA pre-out untuk saluran depan, belakang dan subwoofer dengan kuasa maksimum 50 watt menerusi amplifier MOSFET terbina dalam.
Pengguna juga akan menikmati pelbagai kawalan audio seperti sistem pelaras audio 13 tahap (13-band equalizer), radio digital DAB+, penyesuaian masa (time alignment), penapisan frekuensi tinggi dan rendah (high-pass/low-pass filter) dan pencahayaan RGB yang boleh dilaraskan mengikut warna ambien pada papan pemuka.
Tidak Perlu Ubah Suai Ekstrem
Salah satu kelebihan besar Pioneer SXT-C10PS ialah keserasiannya dengan bekalan kuasa 12V biasa, menjadikannya mudah dipasang tanpa perlu sebarang pengubahsuaian secara besar-besaran. Ia ideal untuk pemilik kereta klasik moden yang mahu menaik taraf sistem audio tanpa mengorbankan estetika asal kabin.
Pra-Tempahan Dibuka untuk Pasaran Eropah
Unit ini sudah dibuka untuk pra-tempahan di pasaran Eropah dengan pelancaran rasmi dijangka pada bulan Oktober. Harganya ditetapkan pada €399 atau kira-kira RM1,916.
Walaupun kedengaran agak mahal, harga ini pasti akan dilihat berbaloi oleh peminat tegar kereta klasik moden yang mahukan gabungan sempurna antara gaya klasik dan fungsi masa kini.
Baca: [PANDU UJI] Suzuki Jimny Rhino – Model Retro & Ranggi Yang Seronok Dipandu
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv