- Berita
- Pandu Uji
- Toyota Hilux GR Sport – Trak Pikap Serba Boleh, Lasak & Sporty
Siapa yang tak kenal jentera lasak yang beraura garang di jalan raya, Toyota Hilux. Bukan sahaja ‘nampak lasak,’ tetapi cukup terkenal dengan kemampuannya untuk melaksanakan apa sahaja tugasan, daripada yang ringan hinggalah yang berat.
Namun, dari generasi ke generasi, Hilux bukanlah model yang terkenal dengan reka bentuk yang bergaya sehingga membuat orang ramai memandang lebih daripada sekali, semua ini berubah apabila varian Toyota Hilux GR Sport diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun 2023. Model ini bukan sahaja tampil lebih gah, tetapi juga diberikan pelbagai peningkatan dalam aspek mekanikal.
Enjin Lebih Berkuasa
Toyota Hilux GR Sport dipasangkan dengan enjin turbodiesel 2.8 liter empat silinder yang diberikan talaan khas. Enjin kali ini menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 20 ps dan tork tambahan 50 Nm, menjadikan jumlah keseluruhan 224 ps dan 550 Nm.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda separa masa (part-time 4x4), sama seperti model Hilux lain. Sistem kawalan traksi aktif (A-TRC) turut disertakan untuk memastikan cengkaman maksimum di pelbagai permukaan jalan.
Baca: [PANDU UJI] Hilux GR Sport: Trak Sporty Dengan Suspensi Padu
Suspensi & Pengendalian Diberikan Talaan Khas
Salah satu kelebihan utama Hilux GR Sport ialah sistem suspensinya yang dipertingkatkan. Ia menggunakan penyerap hentak monotube berprestasi tinggi yang lebih keras, memberikan kestabilan dan kualiti pemanduan yang lebih baik berbanding Hilux versi standard. Walaupun tumpuan diberikan untuk prestasi lebih sporty, Hilux GR Sport masih mengekalkan keupayaan utiliti dengan ruang kargo luas dan kapasiti muatan sehingga satu tan.
Rekaan Luaran Lebih Agresif & Sporty
Dari segi rupa, Hilux GR Sport tampil dengan imej yang lebih garang daripada biasa. Sudut depannya kelihatan lebih menonjol dengan bampar dan gril yang direka semula, serta logo ‘TOYOTA’ yang besar.
Dari tepi, jentera ini kelihatan lebih agresif dengan rim aloi 18 inci berwarna hitam bersama kaliper brek merah dengan lambang GR Sport, pelekat badan yang sporty pada bahagian bawah pintu dan bar sport hitam di sudut tepi ruang kargo. Tiga warna eksklusif ditawarkan iaitu Attitude Black Mica (hitam), Super White II (putih) dan Crimson Spark Red Metallic (merah).
Kabin Sporty Dengan Sentuhan Eksklusif
Bahagian dalam Hilux GR Sport ini juga tidak kurang hebatnya. Aura sporty kabin terserlah dengan stereng sport dalam balutan kulit yang lengkap dengan pedal penukar gear, butang start-stop berlogo GR, panel instrumen Optitron khas GR dan pedal aluminium. Tempat duduk hadapan yang diambil dari model Toyota Fortuner pula diberikan gabungan balutan kulit dan suede yang selesa serta menyokong badan dengan baik.
Ciri Keselamatan Canggih
Hilux GR Sport disematkan dengan pelbagai teknologi keselamatan canggih, termasuk tujuh beg udara, brek ABS, kawalan kestabilan elektronik (ESC), serta sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist dan kamera 360 darjah Panoramic View Monitor (PVM).
Harga & Jaminan Hilux GR Sport
Dengan segala peningkatan prestasi dan gaya, Hilux GR Sport dijual pada harga RM173,280. Harga ini termasuk jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 150,000 km daripada UMW Toyota Motor.
Hilux GR Sport adalah pilihan tepat bagi mereka yang mahukan sebuah trak pikap yang serba boleh dengan sentuhan sporty dan prestasi lebih mantap. Trak ini bukan sahaja tahan lasak tetapi juga bergaya dan menyeronokkan untuk dipandu. Nak cuba sendiri? Kunjungi bilik pameran Toyota yang terdekat untuk pandu uji.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv