- Berita
- EV
- BYD Yangwang U9 Track Edition Catat Kelajuan Luar Biasa, Cecah 3,019 PS
Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) China baru-baru ini mendedahkan maklumat terkini mengenai model supercar elektrik BYD, Yangwang U9 Track Edition, versi jauh lebih menggerunkan daripada sedia ada dengan kuasa mencecah 3,019 ps (2,977 hp)! Angka ini jauh lebih tinggi berbanding model hyperelektrik lain.
Reka Bentuk Aerodinamik Lebih Kemas
Dari segi ukuran, model ini berukuran antara 4,966 mm hingga 4,991 mm, lebar 2,029 mm, dan tinggi antara 1,311 mm hingga 1,351 mm, dengan jarak roda 2,900 mm. Beratnya pula mencecah kira-kira 2,480 kg (tanpa muatan) dan 2,630 kg secara keseluruhan, dengan tayar 325/30 R20 (112Y) depan dan belakang.
Reka bentuk luaran U9 Track Edition tidak jauh berbeza daripada model standard, tetapi tampil lebih menyerlah dengan cat merah dan kit badan berwarna hitam berkilat.
Antara ciri sporty yang disematkan pada versi Track Edition ini ialah rim 20 inci dengan tayar 325/35 R20, bumbung gentian karbon, sayap belakang tetap gaya GT daripada gentian karbon, serta diffuser belakang yang dipasang dengan bilah boleh laras untuk mengoptimumkan aerodinamik.
Pilihan aksesori aerodinamik tambahan turut disenaraikan, termasuk splitter hadapan gentian karbon standard atau yang lebih agresif serta sayap belakang automatik.
Prestasi Yangwang U9
Portal automotif CarNewsChina melaporkan bahawa U9 Track Edition akan dibekalkan dengan empat motor elektrik yang masing-masing berkuasa 555 kW (755 PS). Gabungan keseluruhan sistem ini memberikan kuasa mencecah 2,220 kW (3,018 ps), berkemungkinan menjadi EV produksi pertama yang melangkaui angka prestasi 3,000 ps.
Dokumen daripada MIIT China tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang perubahan dari segi bateri. Oleh itu, dijangkakan bahawa model ini akan kekal menggunakan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 80 kWj sama pada versi standard, yang menyokong jarak pemanduan sehingga 450 km berdasarkan kitaran CLTC. Sistem pengecasan pantas DC sehingga 500 kW membolehkan pengecasan bateri dari 30% hingga 80% diselesaikan dalam masa sepantas 10 minit.
Baca: SUV PHEV Zeekr 9X: Kuasa Setanding Tiga Enjin W12, Bateri 70 kWj!
Selain itu jentera ini juga dijangka akan menggunakan sistem suspensi sama iaitu double wishbone pada bahagian hadapan dan suspensi multi-link di belakang, disokong oleh teknologi kawalan badan pintar BYD DiSus-X yang turut ditawarkan pada versi standard, namun mungkin telah diberikan talaan semula untuk kegunaan litar.
Baca: BYD Capai Pengeluaran 13 Juta Model NEV!
Pecah Rekod Kelajuan
Versi standard jentera berprestasi tinggi ini pernah mencapai kelajuan sehingga 391.94 km/j pada 2024, memecahkan rekod kereta keluaran China yang lain. Selain mencatat masa pusingan 7:17.900 di litar Nürburgring Nordschleife di Jerman.
Baru-baru ini, Yangwang mengumumkan rancangan untuk membuat cubaan mencabar rekod kelajuan dan pusingan di Nürburgring dan litar ujian ATP Jerman.
Pelancaran Yangwang U9 Track Edition
Buat masa ini, BYD masih belum mengumumkan tarikh pelancaraan atau pembukaan tempahan bagi Yangwang U9 Track Edition.
Sumber: CarNewsChina
Baca: Teaser Supercar GWM Tular – Enjin V8 PHEV, 'Menakutkan' Yangwang U9
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv