- Berita
- Pandu Uji
- Pratonton GWM WEY G9, Ini 6 Fakta Anda Patut Tahu!
Selepas SUV, pengeluar kereta dari China ini mengintai segmen MPV mewah dengan mempertaruhkan GWM Wey G9 ke pasaran tempatan.
Kehadirannya kelak dikatakan bakal memberi bahang kepada seterunyanya seperti Toyota Vellfire, Alphard dan mungkin juga Lexus LM.
Sebaliknya sehingga hari ini, isu kebimbangan jarak perjalanan masih menjadi penghalang utama, terutamanya buat pembeli dan pengguna MPV. Jadi, atas sebab itu, versi plug-in hybrid (PHEV) ini dilihat lebih berpotensi diterima oleh rakyat Malaysia.
Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa sebab inilah GWM Malaysia terpanggil untuk memperkenalkan model baharu mereka yang kini dikenali sebagai Wey G9 sebelum ini dikenali sebagai Wey 80.
Biarpun tarikh pelancaran masih belum diketahui namun kami diberi peluang eksklusif untuk melihat lebih awal prototip pra-produksi hampir siap.
Berikut 6 fakta yang anda patut tahu mengenai MPV mewah ini:
1. DIBINA DENGAN CASIS YANG KUKUH
Tidak seperti kebiasaan, GWM Malaysia memilih untuk menayangkan Wey G9 dalam bentuk casis kosong selain prototaip pra-produksi hampir siap. Tujuannya adalah untuk menonjolkan “tulang” sebenar MPV mewah ini.
Casis tersebut dibina menggunakan high-strength steel melalui gabungan teknik kimpalan tradisional dan pelekat struktur moden, selain mendapat pengukuhan tambahan di bahagian strategik utama.
Secara ringkas, hasilnya ialah komposisi casis dengan 81.96% keluli bertekanan tinggi termasuk Tiang A dan B yang diperkukuh, membentuk struktur bumbung yang mampu menahan tekanan sehingga 12 tan
Kelebihan lain daripada pembinaan ini ialah sistem suspensi, cermin hadapan dan komponen lain dipasang untuk menghasilkan asas yang kukuh untuk menawarkan pemanduan lebih baik.
2. BESAR
MPV ini cukup besar kerana panjang keseluruhannya adalah 5,050 mm manakala jarak roda pula 3,085 mm. Maka, tidak hairanlah mengapa ia cukup luas dan selesa.
Untuk makluman, saiz Toyota Vellfire,Alphard dan Lexus LM adalah lebih pendek dengan ukuran 5,005 mm panjang dan 3,000 mm jarak roda.
Jika terdapat syarat minimum dari segi saiz dan ruang kabin untuk sesebuah MPV, GWM Wey G9 nampaknya melepasi tahap itu dengan mudah. Konfigurasi tiga baris tempat duduk untuk tujuh penumpang bersama ruang bagasi yang cukup luas sudah memadai untuk keluarga besar.
Namun, ada “harga” untuk semua ini. Digabungkan dengan fakta #1 (casis kukuh) serta segala kelengkapan lain, ia menghasilkan sebuah MPV yang agak berat. Malah, ia begitu berat sehingga GWM tidak pernah mendedahkan angka berat kasarnya secara rasmi, termasuk di China.
3. TRENKUASA PHEV CUKUP BERTENAGA
Bagi yang tidak tahu, trenkuasa hibrid plug-in elektrik (PHEV) sememangnya jarang digunakan dalam segmen MPV mewah. Malah, Toyota juga hanya menawarkan varian hibrid biasa (self-charging hybrid) namun ia tidak dalam pasaran tempatan.
Berbalik kepada model ini, ia disumbat dengan enjin 1.5 liter 4-silinder turbo petrol, bersama dua motor elektrik serta sebuah pek bateri besar 44.2 kWh. Secara keseluruhan, model ini mampu memnghasilkan kuasa setakat 442 PS (436 hp) dan tork sehingga 642 Nm.
Segala kuasa ini dikawal oleh transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) 4-kelajuan bersama sistem all-wheel-drive (AWD) pintar. Selain itu, MPV ini menawarkan tiga mode pemanduan iaitu EV Mode, EV Priority Mode dan Smart Hybrid Mode.
Untuk itu, ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.7 saat dengan kelajuan maksimum (V-max) 200 km/j. Pendek kata, tidak ada siapa yang akan menggelarnya sebagai ‘lembap’.
Menurut GWM, ia menawarkan jarak elektrik sehingga 170 km. Kehadiran sokongan pantas DC (DCFC) yang mampu mengisi semula dari 30% ke 80% hanya dalam masa 26 minit.
Sementara itu, purata penggunaan bahan api pula serendah 1.2 liter/100 km dengan jarak perjalanan gabungan sehingga 1,000 km.
4. TEMPAT DUDUK BARISAN KEDUA ZERO GRAVITY
Kita sudah biasa melihat kebanyakan kerusi kapten yang terletak di barisan kedua namun apa yang ditawarkan dalam GWM Wey G9 agak menonjol. Pendek kata, ‘Zero Gravity Seats’ ini sebenarnya
meniru kerusi Kelas Pertama atau Kelas Perniagaan dalam mana-mana syarikat penerbangan utama memang setaraf anugerah Oscar.
Secara asasnya, kerusinya cukup mewah kerana dibaluti dengan kulit quilted. Ia kemudian dilengkapi fungsi pelarasan kuasa pelbagai arah sehingga boleh direbahkan hampir rata selain
terdapat ‘Boss Switch’ pada kerusi penumpang hadapan yang memudahkan kawalan tambahan. Seterusnya, ia juga hadir dengan fungsi pengudaraan dan urut.
Menurut GWM, setiap kerusi mempunyai 10 zon urutan berbeza. Walaupun kami tidak berpeluang mengujinya semasa pratonton, kami yakin kerusi ini mampu mengekalkan keselesaan penuh penumpang, tidak kira sejauh mana perjalanan dengan Wey G9.
Antara peralatan lain ia hadir dengan peti sejuk mini, kawalan iklim pelbagai zon, bumbung kaca panorama besar, serta skrin infotainmen gergasi.
5. VERSI CKD, MAKNANYA TAWARAN HARGA PUN MENARIK
Berdasarkan pratonton awal, GWM Malaysia ada mengesahkan rancangan untuk memasukkan Wey G9 ke dalam usaha pemasangan tempatan (CKD) bersama rakan kongsi mereka, EPMB. Malah, syarikat ini akan menjadi yang pertama diberi penghormatan untuk menghasilkan sub-jenama Wey di luar China.
Selain itu, GWM Malaysia juga menegaskan bahawa pelan CKD ini bukan sekadar untuk manfaat pengguna tempatan semata-mata. Mereka turut menyasarkan untuk mengeksport Wey G9 buatan Malaysia ke pasaran jiran serantau.
Seperti biasa, dengan pengeluaran tempatan hadir janji harga yang lebih “rasional.” Walaupun GWM Malaysia tidak mendedahkan sebarang angka rasmi, mereka memberi bayangan bahawa ia akan “berdaya saing” dengan pesaing Jepun.
Secara realistik, ramai menjangkakan harga permulaan berada dalam lingkungan RM300,000 hingga RM350,000. Namun, anggaran Harga ini masih belum dimuktamadkan, jawapannya hanya akan diketahui pada pelancarannya nanti.
6. PENDAFTARAN MINAT (ROI) KINI DIBUKA, MAKA PELANCARANNYA PUN TIDAK LAMA LAGI
GWM Malaysia mengumumkan bahawa pendaftaran minat (ROI) sudah pun dibuka. Bakal pembeli hanya perlu mengunjungi mana-mana pengedar sah dan bilik pameran, atau mungkin roadshow jenama ini, untuk mendaftar.
Pada awalnya, syarikat merancang pelancaran sekitar suku ketiga namun nampaknya ia akan berlangsung dalam suku keempat .
Berdasarkan segala perincian ini, apa pula pandangan anda? Kongsikan pandangan anda di ruang komen di bawah!
Gallery






















Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/