- Berita
- EV
- Cayenne Electric Diperkenalkan, Model Paling Berkuasa Porsche Setakat Ini, Capai 1,140 HP!
Cayenne Electric Diperkenalkan, Model Paling Berkuasa Porsche Setakat Ini, Capai 1,140 HP!
Jenama kereta sport ikonik Jerman, Porsche, akhirnya memperkenalkan Porsche Cayenne Electric! Penantian ini nampaknya berbaloi, kerana SUV elektrik (EV) flagship baharu ini bukan sahaja tampil dengan reka bentuk segar tetapi juga membawa kuasa yang luar biasa.
Model ini diposisikan sebagai model ‘generasi baharu’ sekaligus meletakkannya sebagai model generasi keempat bagi model Cayenne. Paling menarik, ini adalah kali pertama dalam sejarah Cayenne diperkenalkan dalam versi elektrik tanpa kehadiran versi enjin pembakaran dalaman (ICE).
SUV Porsche Paling Berkuasa Pernah Dihasilkan

Dua varian diperkenalkan, versi elektrik standard dan versi elektrik turbo.
Cayenne Electric, yang merupakan model EV ketiga Porsche selepas Taycan dan Macan, kini berdiri sebagai model paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh jenama dari Stuttgart, Jerman ini.
Varian tertinggi, Cayenne Turbo Electric, menjana output gabungan mencecah 1,140 hp (1,156 PS) dan tork ‘melampau’ 1,500 Nm. Angka yang mengagumkan ini membolehkan jentera pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 2.5 saat sahaja, manakala 0-200 km/j dalam 7.4 saat, dan mencapai kelajuan tertinggi (V-max) yang didakwa pada 260 km/j.

Model paling berkuasa dihasilkan Porsche setakat ini.
Bagaiamanapun, angka output puncak ini dicapai apabila mod Launch Control diaktifkan. Untuk pemanduan biasa, Turbo Electric menghasilkan sekitar 844 hp (857 PS). Porsche juga menyediakan mod 'Push-to-Pass' yang boleh diakses melalui butang pada stereng, memberikan rangsangan tambahan 173 hp (177 PS) selama kira-kira 10 saat, memang puas memotong!
Bagi varian asas, Cayenne Electric versi standard masih ‘luar biasa’ kerana kuasanya mencecah 402 hp (408 PS) dan 835 Nm yang dibekalkan oleh dua motornya. Kuasa ini boleh ditingkatkan kepada 435 hp (442 PS) dengan Launch Control, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam 4.8 saat sebelum mencecah V-max 230 km/j.
Baca: Porsche Cayenne Electric Laju Mendaki Bukit, Mengalahkan Kereta Lumba!
Sistem Pengecasan Pantas dan Teknologi Brek Formula E



Dari segi teknologi, Porsche mendakwa Cayenne Electric mempunyai tahap pemulihan tenaga brek (recuperation) 'tahap Formula E' kerana ia mampu menyalurkan sehingga 600 kW kembali kepada bateri.
Yang menariknya, Porsche turut menyatakan bahawa sekitar 97% situasi brek harian tidak memerlukan penggunaan brek fizikal. Walau bagaimanapun, pelanggan masih boleh memilih rotor karbon PCCB jika mahu.

Kedua-dua varian menggunakan pek bateri bersaiz 113 kWj yang ditempatkan dalam binaan elektrikal 800 volt Premium Platform Electric (PPE). Dengan sistem penyejukan yang telah dipertingkat, ia boleh menerima input pengecasan pantas DC sehingga 400 kW, membolehkan pengecasan 10-80% diselesaikan hanya dalam 16 minit!
Cayenne Electric turut memperkenalkan teknologi pengecasan induktif tanpa wayar. Pemilik yang memilih teknologi ini hanya perlu meletakkan kenderaan di atas pad lantai khas dan ia secara automatik memulakan pengecasan pada kadar 11 kW.
Porsche mendakwa, jarak maksimum WLTP yang dapat dicapai model ini ialah 642 km untuk varian asas Cayenne Electric dan sehingga 623 km untuk varian Turbo Electric.
Baca: Teknologi EV Porsche Cayenne Electric Didedahkan – 113 kWj, Lebih 600 KM, Cas Sepantas 16 Minit!
Lebih Besar, Kabin Lebih Mewah




Dibina di atas platform PPE yang sama seperti Macan Electric, Cayenne Electric adalah versi 'berskala besar', dengan pertambahan panjang sebanyak 130 mm, menghasilkan jarak roda yang lebih besar, iaitu 3,020 mm.
Dimensi yang lebih besar ini menjanjikan kabin yang lebih luas dan selesa berbanding Macan Electric, dengan ruang kaki yang lebih lapang untuk penumpang belakang. Ciri standard termasuk pelarasan tempat duduk secara automatik dan bumbung panoramik besar yang menggunakan teknologi cecair kristal untuk mengubah kelegapannya (opacity).
Kokpit Sarat Teknologi
Sebagai sebuah model mewah, teknologi ruang kabin juga canggih dengan pakej paparan 'Flow Display' baharu yang merentangi papan pemuka atau dashboard. Ia menampilkan dua skrin OLED besar yang terdiri daripada instrumen digital dan juga skrin infotaimen kawalan sentuhan. Skrin paparan penumpang ketiga bersaiz 14.9 inci turut ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

Teknologi paling menonjol ialah head-up display (HUD) yang besar berukuran 87 inci yang hadir dengan fungsi panduan realiti terimbuh (AR). Sistem lain yang menarik adalah termasuk 'Voice Pilot' yang dipacu kecerdasan buatan (AI), serta sistem aplikasi yang ditingkatkan kandungan gaming dan penstriman. Walaupun sarat dengan ciri canggih, Porsche masih mengekalkan beberapa suis fizikal untuk mengawal penyaman udara dan tahap audio infotaimen.
Harga & Ketersediaan Cayenne Electric

Semasa pelancaran, Cayenne Electric ditawarkan dalam 13 pilihan warna, diikuti oleh 9 pilihan reka bentuk rim bersaiz 20 hingga 22 inci, serta tidak kurang daripada 12 rekaan ruang dalaman berserta 5 pakej kabin.
Walaupun tempahan kini dibuka, harga jualan terperinci mengikut pasaran masih belum diumumkan. Buat masa ini, Porsche hanya mengumumkan harga di Amerika Utara yang dikatakan bermula daripada sekitar AS$109,000 (kira-kira RM453,930) untuk Cayenne Electric versi asas dan dari AS$163,000 (kira-kira RM678,813) untuk varian tertinggi, Turbo Electric. Penghantaran dijangka bermula awal tahun hadapan.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

