- Berita
- Global
- Geely Starry EM-i Catat Rekod Dunia – Jimat Minyak, Hanya 3.83L/100 KM!
Geely Starry EM-i Catat Rekod Dunia – Jimat Minyak, Hanya 3.83L/100 KM!

Gergasi automotif China, Geely Auto, secara rasmi telah ‘memahat’ nama dalam Guinness World Record selepas model Starray EM-i berjaya menamatkan pemanduan pesisir pantai dari Sydney ke Melbourne dengan catatan penggunaan bahan api luar biasa, iaitu hanya 3.83L/100 km.
Pencapaian yang direkodkan pada 9 dan 10 Disember 2025 ini diiktiraf sebagai penggunaan bahan api terendah pernah dicatatkan oleh sebuah SUV jenis hibrid plug-in (PHEV) versi pengeluaran. Rekod dunia ini membuktikan dakwaan Geely bahawa model ini yang juga dikenali sebagai EX5 EM-i, mampu memberikan penjimatan tahap penggunaan bahan api dalam dunia sebenar yang cukup mengagumkan.
Mengapa Ujian Pemanduan Di Australia Ini Dianggap Lebih Relevan?
Berbeza dengan angka ‘atas kertas’ daripada ujian makmal, Geely memilih laluan jalan raya awam jarak jauh yang mencerminkan cara pemanduan harian sebenar.
Laluan pesisir pantai ini merangkumi lebuh raya, laluan bandar yang sesak, perubahan ketinggian (bukit-bukau) dan cuaca musim panas.
Jarak antara Sydney ke Melbourne menyerupai perjalanan antara bandar yang biasa dilakukan di seluruh dunia, ini secara tidak langsung memudahkan pengguna untuk menilai prestasi sebenar kenderaan tersebut.
Apakah Rahsia Di Sebalik Penjimatan Luar Biasa Sistem EM-i Ini?
Kunci utama kejayaan ini terletak pada teknologi EM-i Super Hybrid Geely yang direka untuk ‘melenyapkan’ rasa bimbang pemandu tentang penggunaan minyak yang tinggi apabila cas bateri rendah.
Paduan enjin hibrid berprestasi tinggi dengan unit pacuan elektrik 11-dalam-1 menjamin prestasi yang konsisten, sama ada menggunakan elektrik, petrol atau gabungan kedua-duanya.
Bagaimana Sambutan Terhadap Model Ini Di Peringkat Global?
Di Australia, Starray EM-i melonjak menjadi model PHEV kedua paling laris dalam masa hanya sebulan selepas dilancarkan. Kini, model ini mula menembusi pasaran New Zealand, Eropah, Afrika Selatan dan Indonesia.
Adakah Teknologi Rekod Dunia Ini Akan Digunakan Pada Proton e.MAS 7?
Bagi peminat automotif Malaysia, pencapaian yang dibuat sangat penting untuk kita tahu memandangkan Proton e.MAS 7 PHEV yang baru sahaja dipertontonkan di Proton Tech Showcase 2025 adalah kembar versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi model dengan platform Geely sama ini.
Prototaip e.MAS 7 PHEV yang dipamerkan dengan pelekat samaran di acara tersebut, mempunyai reka bentuk yang hampir serupa dengan Starray, namun dengan sedikit perubahan teknikal pada sistem hibridnya.
Model Proton ini dijangka menggunakan sistem Geely NordThor 2.0 PHEV yang menggabungkan enjin 1.5 liter petrol, motor elektrik, transmisi hibrid khas serta pek bateri Short Blade.
Apakah Yang Rakyat Malaysia Boleh Jangkakan?
Walaupun perincian spesifikasi dan tarikh pelancaran masih belum dimuktamadkan oleh Proton, kaitan teknikal antara kedua-dua model ini dapat dilihat dengan jelas.
Rekod dunia yang dicapai oleh Geely Starray EM-i menjadi ‘penunjuk’ bahawa Proton e.MAS 7 PHEV dijangka akan muncul sebagai sebuah SUV berprestasi tinggi tanpa mengabaikan aspek kecekapan bahan api yang luar biasa.
Juga Menarik: SPYSHOT: Proton e.MAS 7 PHEV Sedang Diuji, Bakal Dilancar Tahun Depan?
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv



