- Berita
- Kereta Baru
- Kia Carnival Facelift 2026 Dilancarkan, Versi CKD, Ada 2 Varian, Harga Bermula - RM188,888
Kia Carnival Facelift 2026 Dilancarkan, Versi CKD, Ada 2 Varian, Harga Bermula - RM188,888

Kia Sales Malaysia (KSM), telah melancarkan Kia Carnival’ versi facelift 2026 versi pemasangan tempatan (CKD), petang tadi.
Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu versi 2.2D 11 tempat duduk (RM188,888) dan 2.2D 7 tempat duduk. ditawarkan pada harga permulaan RM248,888.
Apa yang menarik setiap pembelian turut disertakan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, bergantung kepada yang mana tiba dahulu.

Kia Carnival Baharu boleh didapati dalam empat warna luar: Meteor Grey (Kelabu Meteor), Snowflake White Pearl (Putih Mutiara Salji), Astra Blue (Biru Astra), dan Jet Black (Hitam Pekat).
Kedua-dua varian dipacu oleh enjin turbodiesel empat silinder Smartstream 2.2- liter, yang mana ia mampu menghasilkan 202 PS pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm.
Enjinnya digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan pacuan roda depan. Rangkaian kuasa pula menghasilkan prestasi dan kecekapan seimbang, dengan penggunaan bahan api tergabung 6.5 liter bagi setiap 100 km (NEDC).

Berpandukan falsafah “Opposites United” (Menyatukan Perbezaan) Kia, identiti visual lebih menyerlah dipaparkan oleh Kia Carnival Baharu. Reka bentuk bahagian depan diperbaharui menampilkan gril depan lebar dilengkapi oleh bampar yang diukir jitu, untuk garis bentuk lebih aerodinamik.


Disediakan dengan susunan tempat duduk 2-2-3 bagi pilihan 7 tempat duduk dan konfigurasi 2-3-3-3 bagi varian 11-tempat duduk, ruang dalamnya memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup. Varian Carnival dengan 7 tempat duduk dipasang Kerusi Relaxion Premium dengan fungsi luncur sisi di baris kedua, untuk menambah keselesaan penumpang. Model ini dilengkapi kerusi baris ketiga yang boleh dilipat rata, untuk menyediakan ruang kargo tambahan.
Sementara itu, varian Carnival 11 tempat duduk pula memaparkan kerusi tengah boleh dilipat pada baris kedua dan ketiga untuk memudahkan penumpang belakang keluar masuk.
Menjengah bahagian kabinnya, terdapat cahaya sekitar papan pemuka manakala panel maklumat dan kawalan iklim sebaris membawakan penampilan yang menarik dan tidak berselerak.
Satu ciri menyerlah dalam ruang pemandu ialah skrin panorama melengkung, dengan dua unit paparan yang terdiri daripada skrin instrumen digital 12.3-inci dan juga skrin infohiburan 12.3-inci, yang disatukan dalam panel yang tampak mewah.

Mengenai ciri keselamatan, Kia Carnival Baharu dilengkapi dengan lapan beg udara, termasuk beg udara sisi tengah yang mencegah perlanggaran sampingan antara penumpang tempat duduk depan sekiranya berlaku hentakan.
Semua varian menyediakan ciri-ciri keselamatan dan bantuan pemandu piawai yang komprehensif, memperlihatkan komitmen Kia kepada perlindungan penumpang dan keyakinan pemanduan harian. Ciri-ciri ini termasuk:
• Bantuan Mengelak Perlanggaran Depan 2.0 (FCA 2.0)
• Bantuan Had Kelajuan Pintar (ISLA)
• Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2 (HDA 2)
• Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA)
• Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
• Amaran Perhatian Pemandu (DAW)
• Bantuan Lampu Tinggi (HBA)
• Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta (BCA)
• Bantuan Mengelak Perlanggaran Lalu Lintas Silang (RCTA)
• Amaran Penumpang Belakang (ROA)

Pelanggan yang berminat boleh meninjau model ini di laman web rasmi Kia Malaysia di www.kia.com/my atau mengunjungi bilik pameran sah terdekat untuk menjadualkan sesi pandu uji. Kia Carnival Baharu kini sebahagian daripada pilihan model yang boleh ditempah, termasuk Kia Sportage dan Kia EV9.
Untuk sebarang pertanyaan jualan dan khidmat servis, atau bantuan tepi jalan 24- jam, hubungi Pasukan Perkhidmatan Pelanggan KSM di 1300 88 0133 atau e-mel customersupport@kia-my.com.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/