- Berita
- Pandu Uji
- Besar Macam Anak Gajah Pun Boleh Laju, MPV TERPALING Sempurna
Besar Macam Anak Gajah Pun Boleh Laju, MPV TERPALING Sempurna
Untuk slot pandu uji kali ini, saya tidak berkesempatan memandu uji varian Kia Carnival 8- tempat duduk High 2024 gara-gara tayarnya terpancit selepas terlanggar bongkah batu di tepi jalan namun di sebalik kejadian itu, saya berkesempatan menggunakan khidmat bantuan tepi jalan Kia.
Mujur, kejadian tidak diduga itu berlaku di depan rumah yang terletak di Putra Heights, Subang Jaya.
Pada mulanya, saya menyangka prosesnya agak sukar namun sangkaan saya meleset apabila pegawai pemasaran Kia memaklumkan bahawa saya hanya perlu menghubungi khidmat bantuan tepi jalan untuk menukar tayar kereta.
Secara kebetulan, pada ketika itu, suami pula tiada di rumah, mahu atau tidak, saya terpaksa juga menghubungi pihak ketiga untuk membantu menukar tayar pancit itu.
Bayangkan, sejurus hubungi talian khidmat bantuan tepi jalan, hanya menyerahkan nama, nombor plat dan kemudian lokasi kereta rosak. Bayangkan, dalam satu jam semua settle.
Ya, hanya dalam satu jam, anne tow truck dah sampai di depan rumah.
Pada mulanya, dia pun teragak-agak mencari tayar ganti, namun selepas saya maklumkan padanya, ia sebenarnya bukan terletak di belakang bonet sebaliknya di bawah kereta.
Ya, di bawah kereta. Bagi saya, ia adalah satu pengalaman baru melihat tayar ganti di pasang di bawah kereta.
Al-maklumlah kereta baharu, macam-macam idea yang keluar untuk menjimatkan ruang but.
Biarpun, anne tow truck itu mengambil sedikit masa untuk menukar tayar kerana saiznya yang besar gedabak namun kerja-kerja penukaran tayar hanya mengambil masa dalam 15 minit.
Pendek kata, khidmat bantuan tepi jalan Kia wajar dipuji kerana perkhidmatannya cukup pantas.
Lagipun, ini adalah kali pertama saya menggunakan khidmat bantuan tepi jalan dan saya berpendapat prosesnya juga cukup mudah.
Pendek kata, jika anda membeli kereta jenama Kia, jangan risau dengan khidmat bantuan tepi jalannya kerana mereka nyata menawarkan khidmat yang terbaik.
PANDU UJI KALI KEDUA
Gara-gara tidak sempat "merasa" MPV itu, saya diberi sebuah lagi unit Kia Carnival untuk dipandu uji pada minggu lepas.
Memandangkan cuti sekolah sudah bermula, saya membuat keputusan membawa anak-anak bercuti ke Dungun, Terengganu sambil memandu uji MPV ini.
Sepanjang memandu uji model ini dari Putra Heights, Subang Jaya – Dungun Terengganu - saya mencatatkan jarak perjalanan sejauh 890km. Memang betul-betul lenjan.
Enggan bercerita panjang lebar, ini 4 PERKARA yang anda wajib tahu!
1. MPV LAJU TAPI TAK RASA?
Saya ini bukannya sejenis wanita yang gemar memandu SUV, apatah lagi MPV macam Kia Carnival.
Bayangkan, walaupun saya ada sebiji SUV di rumah namun saya tetap memilih untuk memandu kereta manual, Viva saya yang sudah pun berusia lebih 15 tahun.
Saya rasa, bukan saya sahaja yang tidak suka memandu MPV tetapi mungkin ramai wanita di luar sana yang lebih gemar memandu kereta-kereta kompak.
Namun percaya atau tidak, selepas memandu uji Kia Carnival, saya jatuh hati dengan MPV ini.
Mungkin ada tertanya-tanya kenapa saya boleh jatuh hati?
Ini jawapannya!
Pertama sekali adalah disebabkan pemanduannya. Saya sebenarnya bukan sejenis wanita yang suka menekan pedal minyak sesuka hati apatah lagi membawa anak-anak bersama.
Nak jadikan ceritakan, sebaik masuk ke LPT, saya tidak sedar, kelajuannya sudah mencecah sehingga 130 kilometer sejam.
Ya, pemanduannya sebenarnya bermula secara santai namun saya tidak sedar kelajuannya itu sudah melebihi had laju lebuhraya.
Mujur, suami menyuruh saya memandangkan ke arah meter. Kalau tak pandang meter, memang tak sedarlah, had lajunya sudah mencecah lebih 120km/j.
Ini disebabkan pemanduannya cukup sedap sehingga kita tidak akan sedar bahawa ia sebenarnya berada pada tahap had laju yang agak tinggi.
Saya pada mulanya, memang tak sangka kereta sebesar anak gajah macam ni boleh memecut kalahkan kereta-kereta sedan di atas jalan raya.
Tak perlulah saya sebutkan model-model yang dikalahkan itu. Ada yang bengang nanti.
Untuk makluman, jentera yang seberat 2 tan ini sebenarnya disumbat dengan enjin 2.2 liter 4 silinder turbodiesel SmartStream, yang mana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 199 hp dan tork 440 Nm.
Enjinnya dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan, yang bersambung terus dengan roda depan.
Selain itu, ketika mengambil beberapa selekoh tajam di sekitar Karak, secara jujurnya, saya tidak berani kerana bimbang ia mengalami understeer jika terlalu laju.
Apa yang saya lakukan ialah kurangkan had laju dan ketika melalui beberapa selekoh, pemanduannya nyata mantap dan tidak terbuai langsung.
Dikhabarkan, brek cakera yang ada pada Kia Carnival ini sebenarnya membuatkan ia lincah di atas jalan raya.
Selain itu, disebabkan saiznya yang begitu luas, bagi saya kereta ini cukup sesuai dengan golongan mak-mak yang tahu memandu.
Saya yakin golongan mak-mak yang lain juga akan senada dengan saya jika mereka berpeluang memandu uji kereta ini.
2. KABIN MACAM BILIK TIDUR
Melihat bahagian luarannya, ia sudah menunjukkan ia adalah sebuah MPV yang cukup besar.
Dari segi dimensi, ia sepanjang, 5155 mm, selebar 1995 m dan setinggi 1775 mm. Sementara itu jarak rodanya pula, 3090 mm.
Maka, tidak hairanlah mengapa ia agak besar gedabak.
Sebaik saya melangkah masuk ke bahagian tempat duduk pemandu, kemasannya kelihatan premium kerana dipadankan dengan rona putih.
Selain itu, ia didatangkan dengan bumbung panaromik, paparan skrin 12.3 inci dengan 12 pembesar suara BOSE, lengkap dengan sokongan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar, ciri pengecas tanpa wayar, dan juga paparan meter digital 12.3 inci.
Sebelum terlupa, saya cukup suka dengan sound sistem. Jika anda kuatkan lagu kesukaan anda, anda akan mendengar alunan muziknya yang cukup tajam dan macam ala-ala ada dalam kelab malam.
Namun, anda mungkin sedikit janggal bagi mereka yang tidak biasa dengan tombol penukaran gear yang berbentuk bulat.
Walaupun, pada mulanya berasa kosong, namun lama-kelamaan, ia bukannya satu masalah besar.
Apa yang saya dapati ialah, rona warna yang dimainkan di bahagian depan dan panel pintu sebenarnya menaikkan lagi aura kemewahannya.
Menjengah bahagian tempat duduk di barisan pertama pula, ruangnya memang cukup luas sehingga anak-anak saya juga tidak sempat merungut.
Di barisan tempat duduk itu juga dilengkapi dengan butang untuk mengawal pendingin hawa serta terdapat juga bumbung panaromik di depan dan belakang.
Tidak ketinggalan barisan tempat duduk ketiga dimana ia juga menawarkan ruang yang mencukupi bagi golongan dewasa yang setinggi 160 sm.
3. WIN DALAM BAB KESELAMATAN!
Sudah menjadi lumrah, perjalanan jarak jauh boleh menjadi sukar dan berbahaya namun dengan jika anda memandu Kia Carnival, anda sudah boleh campak perasaan itu jauh-jauh.
Ini kerana ia cukup sarat dengan ciri keselamatan aktif dan pasif.
Menerusi pengemaskinian terbaharu, Kia menambah fungsi Pemantau Titik Buta baharu dalam ciri keselamatan aktifnya selain terdapat Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA) dan banyak lagi.
Dengan adanya, sistem Kawalan Jelajah Pintar (SCC), jentera ini sememangnya pintar dan intuitif.
Disepadukan dengan kedua-dua fungsi LKA dan Steering Assist, SCC juga berfungsi dengan baik semasa aliran trafik perlahan.
Ini adalah salah satu ciri yang cukup dihargai terutama semasa perjalanan pulang ke rumah.
Bagi ciri keselamatan pasif, Kia Carnival cukup sarat dengan deringan bunyi yang membantu anda untuk bergerak ketika lampu isyarat sudah berwarna hijau.
MPV ini didatangkan dengan tujuh beg udara, serta tali pinggang keledar tiga mata untuk kesemua lapan tempat duduk.
Ini memastikan bahawa semua penumpang Kia Carnival sentiasa selamat dan terjamin sepanjang mengharungi perjalanan jarak jauh.
4. MPV PALING LARIS SEKARANG
Dikhabarkan, Kia Carnival 8-Tempat Duduk High 2024 yang dikemas kini baru-baru ini bukan sahaja sebuah MPV terbaik untuk kegunaan jarak jauh tetapi ia , ia juga boleh dikatakan sebagai MPV mewah yang ditawarkan pada harga yang cukup berbaloi.
Dengan harga jualan RM247,228.80 di atas jalan, ini menjadikan Kia Carnival 8 tempat duduk ini hampir separuh harga berbanding Toyota Alphard dan Vellfire baharu.
Ia agak murah berbanding seterunya kerana Dinamikjaya Motors dan syarikat induknyam Bermaz Auto (BAuto ) mengambil keputusan untuk memasangnya secara tempatan.
Walaupun ada yang berpendapat bahawa pasaran grey import menawarkan alternatif yang lebih baik dan lebih murah, kami berpendapat bahawa ini bukanlah satu yang sihat.
Ini kerana Karnival Kia ialah kereta baharu baharu yang didatangkan dengan jaminan kenderaan komprehensif 5 tahun atau 100,000 KM BAuto serta penyelenggaraan berjadual secara percuma.
Pendek kata, agak sukar untuk menafikan tugas cemerlang yang dilakukan oleh BAuto dan Dinamikjaya Motors dalam menghasilkan Kia Carnival 8-Seater High 2024, sehingga kami menganggap ia adalah sebuah MPV mewah yang ditawarkan pada harga yang cukup berbaloi.
Apa pula pandangan anda? Jangan lupa kongsikan pendapat anda dengan kami di ruangan komen.
SPESIFIKASI
2024 KIA CARNIVAL 8-SEATER HIGH CKD
ENJIN |
2.2-litre 4-cyl turbocharged SmartStream, diesel |
TRANSMISI |
8-speed automatic, front-wheel drive (FWD) |
KUASA |
199 HP @ 3,800 RPM |
TORK |
440 NM @ 1,750 RPM |
0-100 KM/J |
- |
V-MAKS |
- |
EKONOMI |
6.5 liter/100 KM (NEDC) |
BERAT |
2,129 KG (kerb, claimed) |
HARGA |
RM247,228.80 Tidak termasuk insurans |
Gallery













Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari