- Berita
- Kereta Baru
- Volvo ES90 Bakal Dilancar Bulan Ini Tetapi ROI Sudah Dibuka!

Volvo Car Malaysia mengumumkan pihaknya sudah membuka pendaftaran minat (ROI) untuk model terbaharunya, Volvo ES90, yang akan menyertai barisan model pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.
Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw, berkata:, tahun ini amat bermakna kerana Volvo menyambut ulang tahun ke-60 di Malaysia.


"Lebih istimewa, pencapaian ini diraikan dengan pemasangan tempatan Volvo ES90, sedan elektrik penuh pertama kami. Berteraskan enam dekad pengalaman, pemahaman pelanggan serta inovasi berterusan, ES90 mencerminkan perkembangan Volvo di Malaysia. Ia juga melambangkan komitmen jangka panjang kami kepada pelanggan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi yang tidak tahu, Volvo ES90 memperkenalkan platform paling maju dari segi teknologi oleh Volvo setakat ini, dengan seni bina 800-volt yang direka untuk kecekapan, prestasi dan kemudahan penggunaan.
Model ini menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW, manakala baterinya boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit¹.


Volvo ES90 ini juga boleh menambahkan jarak pemanduan sehingga 300 km dalam hanya 10 minit.
Mengenai trenkuasanya, ia mampu menghasilkan kuasa setakat 333 PS dan tork 480 Nm, manakala jarak pemanduan adalah sehingga 651 km mengikut kitaran WLTP dengan satu cas penuh.
Lebih menarik, Volvo ES90 dibangunkan sepenuhnya sebagai kenderaan berasaskan perisian, menggunakan platform SPA2 Volvo dan disokong oleh Superset tech stack.

Sistem ini menggabungkan modul perkakasan dan perisian secara menyeluruh, membolehkan kenderaan terus dipertingkatkan sepanjang kitaran hayatnya melalui kemas kini perisian over-the-air (OTA).
Bukan itu sahaja, Volvo ES90 turut dilengkapi sistem pengkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin yang pertama digunakan dalam mana-mana model Volvo.
Ini menjadikannya Volvo paling berkuasa dari segi kapasiti pemprosesan setakat ini. Sistem canggih ini menjadi asas kepada generasi baharu kecerdasan keselamatan, integrasi AI serta pengoptimuman berasaskan data, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan pengalaman pemanduan.

Untuk itu, bermula hari ini, pelanggan boleh mendaftarkan minat mereka melalui laman web rasmi Volvo Car Malaysia di volvocars.com/my/cars/es90-electric.
Maklumat lanjut termasuk pelancaran rasmi pasaran, pilihan varian serta harga akan diumumkan kelak. Sebagai keistimewaan kepada pendaftar terawal, Volvo Car Malaysia menawarkan insentif awal sebanyak 2% bagi pembelian Volvo ES90 baharu, terhad kepada 100 unit pertama yang ditempah dari sekarang hingga 31 Mac 2026.
Untuk maklumat lanjut mengenai Volvo Car Malaysia, layari www.volvocars.com/my atau ikuti Volvo Car Malaysia di bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di bit.ly/VolvoMY-IG.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/