- Berita
- Global
- Nissan Kicks 2026 Versi Facelift ‘Make-Up Tebal’ Bakal Tiba Di Thailand
Nissan Kicks 2026 Versi Facelift ‘Make-Up Tebal’ Bakal Tiba Di Thailand

Nissan Kicks e-Power facelift (P15) dilaporkan bakal dilancarkan secara rasmi di Thailand pada Mac ini. Walaupun pasaran Amerika Syarikat sudah pun menerima generasi kedua (P16), Nissan nampaknya memilih strategi berbeza untuk rantau ini dengan memperkenalkan kemas kini besar-besaran yang diinspirasikan daripada model Nissan ‘Kait’ di Brazil.
Adakah Reka Bentuk Luarannya Alami Perubahan Besar?
Ya, transformasi kali ini sangat ketara. Walaupun saiznya kekal (4,304mm panjang, 1,760mm lebar), rupa parasnya kelihatan menyerlah dengan aura lebih moden.




Sudut depan kini disematkan dengan lampu LED halus yang bersambung dengan gril melintang bersama logo Nissan di tengah-tengahnya. Paling menarik, kedudukan plat nombor belakang yang dulunya berada pada pintu but kini dialihkan ke bahagian bampar, pada sudut bawah, memberikan imej yang lebih kemas di bahagian belakang. Rim aloi 17 inci dengan rekaan baharu turut melengkapkan gaya sporty model ini.
Bagaimana Pula Dengan Ruang Kabin?
Tiada lagi papan pemuka (dashboard) ‘old-school’ yang mempunyai bonggol pada sudut penyaman udara. Versi 2026 ini akan meminjam reka bentuk kabin daripada model Kait. Corong udara juga berbeza dengan bentuk segi empat, menggantikan rekaan bulat yang digunakan sebelum ini.
Masih Kekal Dengan Teknologi e-Power Yang Sama?
Dedah Autolife Thailand, walaupun model Kait di Brazil menggunakan enjin 1.6L biasa, pasaran Thailand akan tetap setia dengan teknologi e-Power.
Untuk makluman pembaca, sistem ini berfungsi secara unik di mana enjin hanya bertindak sebagai penjana dan tidak memacu roda secara terus.
Berikut adalah spesifikasi sistem yang akan digunakan sistem e-Power model facelift Kicks 2026 Thailand kelak:
- Enjin: HR12DE 1.2 liter (3 silinder) sebagai penjana kuasa bateri.
- Motor Elektrik: Kod EM47 yang menghasilkan 136 hp dan tork 280 Nm.
- Prestasi: Mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat, cukup responsif untuk pemanduan bandar dan lebuh raya.
Sejauh Mana Tahap Keselamatan Nissan Intelligent Mobility?
Model facelift ini dijangka mengekalkan pakej ADAS yang lengkap termasuk:
- Kawalan Jelajah Pintar dengan fungsi Stop & Go.
- Amaran Titik Buta (BSW) & Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB) & Kamera 360 darjah dengan Pengesan Objek Bergerak.
Bilakah Ia Akan Tiba Di Malaysia?
Di pasaran tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru sahaja memperkenalkan edisi penggayaan yang sporty, Impul, bagi Nissan Kicks e-Power generasi pertama pada Julai tahun lalu. Kehadiran versi facelift 'Kait' di sana biasanya memberi petanda bahawa giliran Malaysia akan menyusul tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya.
Juga Menarik: Nissan Kicks e-Power Impul Edition: Pakej Sporty Pada Hanya RM8,500
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv






