SUV RM80K Paling Masuk Akal? Tengok Dulu Kos Maintenance Sebelum Sign Loan

Beberapa bulan lalu, penulis berkesempatan memandu uji Perodua Traz varian tertinggi, iaitu varian H yang dijual pada harga RM81,100.
Memandangkan kekangan tugasan lain, artikel ulasan ini tertunggak agak lama. Namun begitu, saya terdorong menyiapkannya hari ini selepas ramai yang bertanya mengapa model ini jarang kelihatan di atas jalan raya.
Hakikatnya, Traz memang sudah banyak di atas jalan, cuma ramai yang tidak menyedarinya. Menurut data rasmi, sebanyak 14,912 unit Perodua Traz telah didaftarkan di Malaysia sejak SUV segmen-B kompak ini dilancarkan pada Disember 2025.

Selepas tujuh hari memandu Perodua Traz dalam kesesakan Lembah Klang, masuk keluar bangunan, mencari parkir sempit, ulang-alik kerja dan sesekali melayan jalan yang lebih terbuka, saya mula faham satu perkara — Traz bukan SUV yang dibina untuk menunjuk siapa paling laju sebaliknya dibangunkan untuk menjadi kereta keluarga bandar yang mudah hidup bersamanya.
Itu sebenarnya kekuatan utama Traz tetapi sebelum saya sampai kepada kesimpulan, mari kita lihat dahulu apa yang ditawarkan oleh SUV baharu Perodua ini.
SUV Malaysia sekarang bukan lagi sekadar pilihan kedua. Pasaran SUV di Malaysia sudah berubah banyak.
Kalau dahulu SUV dianggap kereta yang besar, mahal dan agak "berat" untuk kegunaan harian, hari ini hampir semua pengeluar mahu mengeluarkan sekurang-kurangnya satu model SUV kompak dalam barisan masing-masing.
Ada yang mengejar prestasi, ada yang mengejar teknologi, ada yang mengejar reka bentuk dan ada pula yang bermain dengan formula paling mudah difahami rakyat Malaysia — harga, praktikaliti, penggunaan minyak dan kos penyelenggaraan.
Di sinilah Perodua Traz cuba masuk.
Traz berada di antara Ativa dan Aruz dalam keluarga SUV Perodua. Dari segi ukuran, ia bukan lagi SUV kecil. Panjangnya 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,655 mm dengan jarak roda 2,620 mm.

Harga rasminya bermula RM76,100 untuk X, RM81,100 untuk H, manakala H dua tona RM82,000. Harga tersebut ialah atas jalan tanpa insurans.
Sebaik sahaja saya tengok Traz buat kali pertama, saya terus nampak kenapa Perodua berani masuk ke ruang ini. Ia nampak jauh lebih matang daripada Ativa.
Bukan bermaksud Ativa tidak cantik. Cuma Traz mempunyai bentuk badan yang lebih panjang, lebih lebar dan lebih "SUV". Ia memberikan aura kereta yang lebih besar tanpa membuatkan saya rasa saya sedang memandu sebuah SUV yang gedabak.
Bagi saya, itu penting.
Projek ini sebenarnya bermula sejak 2021
Ramai mungkin melihat Traz sebagai model baharu yang tiba-tiba muncul di pasaran. Sebenarnya tidak.
Projek ini menggunakan kod pembangunan D66B dan bermula sekitar Mei 2021. Ia dibangunkan dengan nilai pelaburan sekitar RM563.3 juta, manakala kandungan tempatan mencecah kira-kira 95 peratus. Pengeluaran dilakukan di kilang Perodua di Sungai Choh, Rawang.
Maksudnya, Traz bukan projek yang dibuat sambil lewa. Ia adalah hasil projek yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum akhirnya sampai ke bilik pameran.
Dan menariknya, Traz sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan Toyota Yaris Cross dari segi asas kejuruteraan. Kedua-duanya menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
Rangkaian kuasa Traz menggunakan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi D-CVT, iaitu sistem CVT 'split gear' pertama di dunia.
Ini juga menjadikan Traz agak menarik dalam sejarah Perodua.
Kita sudah biasa melihat Perodua menggunakan asas Daihatsu untuk pelbagai model. Tetapi kali ini, Traz memberi rakyat Malaysia peluang mendapatkan sebuah kereta yang mempunyai pertalian teknikal dengan model Toyota pada harga yang jauh lebih rendah.
Jadi, kalau hendak cakap "dapat rasa ala Toyota dengan harga dan kos pemilikan Perodua", saya rasa ada asas untuk mengatakan begitu — cuma jangan salah faham seolah-olah Traz itu sebuah Toyota yang ditukar lencana. Ia tetap Perodua dengan penalaan, spesifikasi dan kelengkapan tersendiri.
Kenapa nama Traz?

Saya sendiri tertanya-tanya juga. Traz? Bunyinya hampir seperti "trust" — kepercayaan.
Namanya memang sesuai dengan imej yang Perodua cuba bina: kereta yang mudah, praktikal, menjimatkan dan boleh dipercayai untuk kegunaan keluarga.
Bagaimanapun, penjelasan yang lebih tepat ialah nama Traz berasal daripada perkataan Melayu "teras", yang merujuk kepada sesuatu yang menjadi asas atau inti. Ia juga kebetulan mempunyai bunyi yang dekat dengan "trust".
Jadi saya melihat nama itu lebih kepada gambaran falsafah produk — sesuatu yang menjadi teras kepada keperluan pengguna.
Hari pertama: keluar rumah dan terus faham saiz Traz

Perkara pertama yang saya sedar apabila memandu Traz keluar dari rumah ialah: "Eh, ini SUV tapi rasa macam kereta biasa."
Saya memang sudah biasa dengan SUV. Masalahnya, sesetengah SUV membuatkan saya rasa macam membawa sesuatu yang terlalu besar.
Masuk kawasan perumahan yang padat, kena lalu lorong sempit, kemudian hendak keluar masuk bangunan atau mencari tempat parkir — semuanya boleh menjadi sedikit meletihkan.
Tetapi Traz tidak memberikan perasaan itu. Untuk golongan macam "mak-mak" seperti saya, saya rasa ketinggiannya just nice.
Tak terlalu rendah seperti kereta biasa, tetapi tidak pula terlalu tinggi sampai saya rasa perlu "memanjat" untuk masuk.

Walaupun dimensinya agak besar, radius pusingan minimumnya ialah 5.2 meter. Dalam trafik Lembah Klang yang padat, saya boleh mencelah dengan lebih yakin.
Bukan bermaksud Traz tiba-tiba bertukar menjadi hatchback. Tetapi rasa mengendalikan kereta itu jauh lebih ringan daripada rupa luarnya.
Malah, sepanjang beberapa hari pertama saya semakin rasa karakter pemanduannya lebih dekat dengan sebuah Alza daripada SUV yang agresif.
Ia tenang, mudah dan tidak memaksa saya untuk memandu secara "SUV".
Hari kedua: masuk kabin, baru nampak kelebihan saiznya

Sebaik masuk ke dalam kabin, saya terus perasan satu perkara: Ruangnya memang besar.
Berbanding Ativa, Traz memberikan rasa ruang yang jauh lebih meyakinkan. Dengan jarak roda 2,620 mm dan panjang 4,310 mm, ruang penumpang terasa lebih lapang.
Ruang kepala juga baik. Untuk penumpang yang tinggi, saya tidak rasa kepala terlalu dekat dengan bumbung. Posisi duduk pula memberikan pandangan jalan yang baik tanpa membuatkan saya rasa duduk terlalu tinggi.
Kemudian ada ruang but 471 liter.

Bagi keluarga, ini lebih penting daripada angka kuasa enjin. Barang dapur? Boleh. Beg sekolah anak? Boleh. Beg kerja? Boleh. Pergi balik kampung? Masih munasabah.
Malah, salah satu kelebihan Traz ialah ia mempunyai tayar ganti, sesuatu yang saya secara peribadi hargai. Perodua menyediakan tayar ganti 205/65 R16 dengan rim keluli.

Bagi saya, ini ciri yang nampak kecil tetapi sangat melegakan.
Kalau tayar pancit di tempat yang tidak ada kedai tayar berdekatan, saya lebih rela ada tayar ganti di dalam kereta daripada berharap kepada perkhidmatan tunda.
Tetapi jangan harap kabin ini terasa seperti kereta RM150,000
Ini bahagian yang saya perlu jujur. Kabin Traz praktikal. Tetapi ia bukan kabin mewah.
Perodua menggunakan pendekatan "Engineered Simplicity" dan memang jelas falsafah itu.
Butangnya mudah. Susun atur tidak terlalu kompleks. Saya suka perkara ini kerana saya tidak perlu belajar satu sistem baharu hanya untuk menukar tetapan asas kereta. Tetapi dalam masa sama, saya tidak boleh menutup mata bahawa ada beberapa perkara yang nampak agak konservatif.
Contohnya, meter masih analog dengan paparan TFT kecil, bukan meter digital penuh seperti sesetengah pesaing.
Bagi saya tidak salah. Tetapi kalau anda jenis orang muda yang sudah biasa dengan kereta moden dan pernah memandu Ativa, anda mungkin akan tertanya: "Kenapa yang ini nampak lebih basic?" Dan saya faham persoalan itu.
Traz terasa seperti kereta yang sengaja memilih perkara penting dan meninggalkan sebahagian perkara yang dianggap "nice to have".
Hari ketiga: macam mana rasa memandunya?
Spesifikasi rasmi menunjukkan ia menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter, empat silinder, menghasilkan 78 kW atau kira-kira 106 PS, serta 138 Nm pada 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi D-CVT dan pacuan roda hadapan.

Jadi, jangan masuk ke dalam Traz dengan harapan ia akan memberikan pecutan seperti X50. Memang tidak.
Malah saya juga berpendapat rasa Perodua sendiri tidak pernah berniat begitu.
Traz adalah kereta keluarga bandar. Dalam trafik, kuasa yang ada sebenarnya cukup.
Sesekali saya cuba tekan pedal, kereta bergerak dengan lancar. Untuk keluar simpang, masuk bulatan, menyelit ketika trafik perlahan dan memotong kenderaan di lebuh raya, semuanya boleh dilakukan.
Cuma apabila saya mahu lebih banyak kuasa, saya memang perlu menerima hakikat bahawa 106 PS tetap 106 PS. Kalau dibandingkan dengan kereta turbo yang lebih berkuasa, Traz terasa santai.
Dan bunyi enjinnya pula menjadi lebih jelas apabila saya tekan pedal dengan lebih dalam. Pada kelajuan biasa, ia tidak mengganggu, tetapi ketika melakukan pecutan atau mendaki, bunyi enjin 1.5 liter naturally aspirated itu memang akan masuk ke dalam kabin.
Suspensi: ini salah satu kejutan saya
Selepas beberapa hari, saya mula menghargai talaan suspensi Traz. Saya tidak merasakan ia terlalu keras. Lubang kecil, bonggol dan permukaan jalan yang kurang cantik masih dapat ditangani dengan baik.
Bagi kegunaan keluarga, saya lebih menghargai sifat ini berbanding talaan suspensi yang terlalu sporty. Traz bukan kereta yang membuatkan saya mahu masuk selekoh pada kelajuan tinggi.
Ia kereta yang membuatkan saya mahu sampai ke destinasi tanpa rasa penat. Itu perbezaan besar.
Malah, dari segi keselesaan keseluruhan, saya rasa Traz sudah meninggalkan tahap Myvi, Axia dan Bezza.
Bukan bermaksud model-model tersebut tidak selesa tetapi Traz memberikan lebih banyak ruang, posisi duduk lebih tinggi dan badan kereta yang lebih besar.
Ia memang terasa seperti satu kelas di atas untuk kegunaan keluarga.
Hari keempat: kesesakan Lembah Klang adalah ujian sebenar
Kalau hendak menguji kereta, saya rasa tidak perlu pergi ke litar. Bawa sahaja ke Lembah Klang waktu puncak.
Itu sudah cukup. Sepanjang tempoh ini, saya melalui kesesakan, simpang yang padat, kawasan parkir sempit dan bangunan dengan susur masuk yang tidak begitu mesra SUV. Bermula di sinilah saya semakin suka saiz Traz.
Walaupun atas kertas ia hampir menghampiri dimensi SUV yang lebih besar, saya tidak rasa terbeban ketika mengendalikannya.
Sterengnya membantu saya meletakkan kereta dengan mudah, kamera pula sangat membantu pada varian H.
Untuk orang yang selalu parkir di pusat beli-belah, saya rasa varian H lebih menarik kerana ciri seperti kamera 360 darjah dan pintu but berkuasa memang memudahkan kehidupan harian.
Hari kelima: Traz lawan Proton X50 — di sinilah ceritanya berubah
Sekarang kita masuk ke perbandingan yang tidak dapat dielakkan.
Perodua Traz vs Proton X50.
Harga semasa X50 bermula sekitar RM89,800 untuk varian Executive, manakala Premium RM101,800 dan Flagship RM113,300. Traz pula bermula RM76,100 dan berakhir RM82,000. Jadi jurang harga itu memang besar.
Bercakap tentang kuasa, saya perlu mengaku sesuatu: X50 memang berada dalam liga yang berbeza.
X50 generasi semasa menggunakan enjin 1.5 turbo dengan output sehingga 181 PS dan 290 Nm, serta pecutan 0-100 km/j sekitar 7.6 saat bagi versi tersebut.
Traz? 106 PS dan 138 Nm.
Jadi kalau soalan ialah "bolehkah Traz menyaingi X50 dari segi kuasa?" Jawapan saya mudah: Tidak. X50 menang besar dari segi kuasa dan prestasi.
Kalau anda orang muda, suka tekan pedal, suka pecut masuk lebuh raya dan mahukan teknologi serta pengalaman pemanduan yang lebih sporty, perbezaan itu memang akan dirasai.
Tetapi Traz ada senjata lain iaitu harga, kesederhanaan mekanikal, ruang. dan kos pemilikan yang tidak menyeksa.
Bagi mereka yang mahu menyimpan kereta untuk tempoh yang panjang, perkara seperti ini mungkin lebih relevan daripada siapa paling laju.
Bagaimana pula dengan Chery Tiggo Cross?
Ini pesaing yang menarik kerana harganya lebih dekat. Harga rasmi Tiggo Cross 1.5 Turbo pernah disenaraikan pada sekitar RM88,800 OTR tanpa insurans di Semenanjung, manakala spesifikasinya menawarkan 147 PS dan 210 Nm.
Jadi dari segi teknologi dan kuasa, Tiggo Cross memang menawarkan angka yang lebih tinggi sementara Traz mempunyai kelebihan dari sudut kesederhanaan mekanikal dan ekosistem Perodua yang sudah sangat biasa kepada rakyat Malaysia.
Di sinilah pilihan menjadi sangat peribadi. Tiggo Cross memberi lebih banyak kuasa dan kelengkapan pada harga yang hampir. Traz pula bermain dengan formula yang berbeza:
"Saya tidak mahu terlalu banyak benda. Saya mahu kereta yang senang digunakan dan senang dijaga."
Hari keenam: ujian tangki penuh
Bahagian ini saya paling suka kerana ia menentukan sama ada Traz benar-benar kereta keluarga yang ekonomik.
Tangki Traz berkapasiti 42 liter, manakala angka rasmi penggunaan bahan api ialah 21.3 km/l mengikut Malaysian Driving Cycle (MDC).

Kalau kita buat kiraan teori:
42 liter × 21.3 km/l = kira-kira 895 km
Tetapi saya tidak mahu menulis "saya berjaya dapat 895 km" seolah-olah itu bacaan ujian sebenar, kerana penggunaan dunia sebenar bergantung kepada kesesakan, gaya pemanduan, penghawa dingin, beban dan kelajuan.
Pendek kata jika anda memandu Traz di Lembah Klang seperti saya — berhenti, gerak, berhenti, gerak — angka sebenar memang tidak akan sama dengan angka makmal.
Apa yang saya boleh katakan ialah, dengan kapasiti tangki 42 liter dan enjin 1.5 naturally aspirated yang ringan, Traz memang dibina dengan fokus kepada kecekapan.
Kalau objektif anda ialah jimat minyak, Traz lebih masuk akal berbanding mengejar SUV turbo yang kuasanya jauh lebih tinggi tetapi berpotensi memerlukan lebih banyak bahan api apabila dipandu agresif.
Hari ketujuh: semakin lama saya pandu, semakin jelas siapa sasaran Traz
Selepas tujuh hari, saya semakin nampak Traz bukan kereta untuk semua orang. Kalau anda seorang pemandu muda yang panas baran dan mahu kereta kecil tetapi laju, anda mungkin akan merungut.
Tambahan pula yang pernah memandu Ativa turbo dan sudah biasa dengan respons enjin turbo, anda mungkin rasa Traz agak perlahan.
Jika anda mahukan skrin besar, meter digital penuh, ADAS yang lebih lengkap dan teknologi yang banyak, anda juga mungkin melihat beberapa pesaing dengan lebih serius.
Traz tidak cuba menjadi semua benda. Hakikatnya, jika anda seorang ibu atau bapa yang mahu kereta keluarga untuk bandar, saya mula faham mengapa Traz masuk akal.
Ia luas, terlalu besar. selesa, mudah dipandu, ada tayar ganti dan yang paling penting, ia tidak membuatkan saya rasa seperti saya sedang mengendalikan sebuah SUV besar.
Pertama, ruang kabin.


Ia jauh lebih meyakinkan daripada Ativa. Malah, ruang keseluruhannya terasa lebih praktikal untuk keluarga. Kedua, keselesaan.
Untuk sebuah Perodua, saya rasa penebat bunyi kabinnya merupakan antara yang terbaik dalam barisan model Perodua. Ia bukan tahap premium, tetapi berbanding model Perodua yang lebih kecil, peningkatan itu memang terasa. Ketiga, saiz. Nampak besar, tetapi tidak menyusahkan ketika digunakan dalam bandar.
Keempat, tayar ganti. Saya tahu ada orang tidak kisah. Saya kisah. Kelima, kesederhanaan. Butang mudah. Sistem tidak terlalu rumit. Enjin naturally aspirated. D-CVT. Bagi saya, ada ketenangan fikiran pada formula seperti ini.
Akhirnya, harga. Pada lingkungan RM76,100 hingga RM82,000, Traz berada dalam kawasan harga yang menarik untuk sebuah SUV lima tempat duduk.
Apa yang saya tidak suka?
Ini pula bahagian yang saya rasa penting untuk pembeli tahu.
1. Kuasa bukan kekuatannya
106 PS dan 138 Nm cukup untuk bandar. Tetapi jangan bandingkan Traz dengan X50 dari segi pecutan. Memang tidak sama.
2. Meter analog
Bagi saya, ia bukan masalah besar. Tetapi dalam dunia sekarang, meter digital penuh sudah menjadi semakin biasa. Traz terasa sedikit konservatif di sini.
3. Tiada cruise control
Ini antara kekurangan yang saya rasa agak ketara untuk perjalanan lebuh raya. Traz mempunyai pelbagai ciri keselamatan, tetapi cruise control bukan sebahagian daripada kelengkapan standardnya.
4. Bunyi enjin apabila diperah
Ketika pemanduan biasa, semuanya baik namun apabila memerlukan kuasa maksimum, enjin 1.5 naturally aspirated itu akan bekerja kuat dan bunyinya jelas kedengaran.
Jadi, siapa patut beli Traz?
Selepas seminggu, saya melihat Traz sesuai untuk beberapa jenis pembeli. Keluarga kecil dalam bandar — ya.
Bekas pemilik Myvi yang mahu naik taraf kepada SUV — ya. Orang yang mahu simpan kereta 10 tahun — ini antara profil yang paling saya nampak sesuai.
Orang yang mahu jimat minyak dan mahu penyelenggaraan yang mudah — juga ya. Tetapi kalau anda jenis yang mahukan prestasi, saya akan suruh anda tengok pilihan lain. Sebab Traz bukan kereta prestasi. Ia kereta praktikal.
Maintenance murah
Ketika membeli sebuah kereta baharu, ramai pengguna biasanya melihat satu angka sahaja — harga atas jalan. Namun bagi saya, harga pembelian sebenarnya baru permulaan.
Selepas kereta keluar dari bilik pameran, ada pula kos minyak, insurans, tayar, servis berkala dan pelbagai perbelanjaan lain yang perlu ditanggung pemilik.
Sebab itu, satu slaid yang dipaparkan ketika pembentangan Perodua mengenai kos penyelenggaraan Perodua Traz ini cukup menarik perhatian.
Daripada jadual tersebut, Perodua menunjukkan jadual servis bagi tempoh lima tahun atau sehingga 60 bulan, dengan interval penyelenggaraan yang disusun mengikut jarak masa dan perbatuan.
Antara pertama yang saya perhatikan ialah — Perodua masih cuba mengekalkan identiti sebagai pengeluar kereta yang kos penjagaannya mesra poket.
Servis
Jadual tersebut menunjukkan penyelenggaraan Traz bermula daripada servis awal dan diteruskan sehingga 60 bulan.
Antara komponen yang disenaraikan termasuk pemeriksaan menyeluruh, minyak enjin, penapis minyak, penapis udara, bendalir brek, CVT fluid, palam pencucuh dan penapis kabin.
Menariknya, upah kerja atau labour ditunjukkan sebagai percuma, manakala terdapat juga komponen seperti cukai perkhidmatan yang disenaraikan secara berasingan.
Ini penting kerana apabila kita bercakap mengenai kos pemilikan, bukan harga alat ganti semata-mata yang perlu dikira. Kos buruh, cukai dan kekerapan servis juga memainkan peranan.
60 bulan — inilah angka yang patut pembeli tengok
Yang paling menarik perhatian saya ialah angka di bahagian bawah jadual. Untuk tempoh sehingga 60 bulan, jadual tersebut menunjukkan jumlah kos penyelenggaraan yang berbeza mengikut pecahan harga dan cukai yang dipaparkan.
Antara angka yang kelihatan pada slaid ialah sekitar RM758.78 sebelum cukai, meningkat kepada kira-kira RM769.38 selepas cukai bagi salah satu pecahan kos yang ditunjukkan. Terdapat juga angka sekitar RM793.88 dan RM804.48 untuk pecahan lain dalam jadual.
Apa yang jelas, Perodua cuba menunjukkan bahawa kos servis berkala Traz sepanjang lima tahun pertama berada pada tahap yang terkawal. Bagi saya, inilah antara perkara yang boleh menjadi daya tarikan Traz.
Traz bukan SUV paling berkuasa.
Selepas tujuh hari, saya rasa formula Traz boleh dirumuskan dengan satu ayat: Traz bukan kereta yang cuba membuat anda kagum setiap kali tekan pedal — ia kereta yang cuba membuat kehidupan harian anda lebih mudah.
Dari segi kuasa, X50 memang jauh meninggalkannya. Dari segi teknologi pula, ada pesaing yang menawarkan lebih banyak.
Tetapi dari segi ruang, keselesaan bandar, kesederhanaan mekanikal, penggunaan bahan api dan harga, Traz mempunyai hujahnya sendiri. Kabin Traz juga terasa lebih besar daripada beberapa pesaing yang berada dalam lingkungan harga yang sama, termasuk Tiggo Cross dan Subaru XV/Crosstrek generasi tertentu dari sudut pengalaman ruang — walaupun perbandingan sebenar bergantung kepada konfigurasi dan generasi model.
Dan kalau dibandingkan dengan Myvi, Axia atau Bezza, Traz memang memberikan pengalaman SUV keluarga yang lebih selesa. Kuasa dan teknologi? Pesaing seperti X50 boleh menang.
Kesederhanaan dan potensi kos pemilikan jangka panjang? Itulah permainan Traz.
Bagi saya, inilah kereta yang lebih mudah saya bayangkan dipandu selama 10 tahun daripada kereta yang saya beli semata-mata kerana angka kuasanya paling besar.
Dan mungkin itulah maksud sebenar nama Traz. Bukan untuk menjadi yang paling hebat SEBALIKNYA menjadi kereta yang kita boleh percaya untuk melakukan kerja hari-hari.
Akhirnya… adakah saya sendiri akan membelinya?
Kalau duit itu datang daripada poket saya sendiri, jawapan saya: Ya — tetapi saya akan ambil H.
Bukan kerana H paling mahal. Tetapi kerana saya rasa kelengkapan tambahan seperti kamera 360 darjah, ciri keselesaan dan beberapa peralatan tambahan menjadikan ia lebih sesuai untuk kegunaan keluarga harian.
Saya tidak akan beli Traz kerana mahu berlumba dengan X50. Saya juga tidak akan beli kerana mahu menunjuk. Saya akan beli kerana saya mahukan kereta keluarga yang mudah dipandu dalam bandar, ruangnya cukup besar, tidak terlalu kuat makan minyak, mudah diselenggara dan boleh saya simpan lama.
Gallery
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
Nombor Plat JPJ Terbaru
KUALA LUMPUR
VRR5408
SELANGOR
BST9876
JOHOR
JE7634J
PULAU PINANG
PSF8270
PERAK
APL7152
PAHANG
CFH8367
KEDAH
KGJ2490
NEGERI SEMBILAN
NEM670
KOTA KINABALU
SJU2779
KUCHING
QAB6255P
Terakhir Kemas Kini 26 Sep, 2026
Harga Bahan Bakar
Petrol
RON 95
RM 3.97
+1.38
RON 97
RM 4.90
+1.75
RON 100
RM 7.20
+2.20
VPR
RM 8.23
+2.00
Diesel
EURO 5 B10
RM 5.12
+2.08
EURO 5 B7
RM 5.32
+2.08
Terakhir Kemas Kini 30 Apr, 2026
Berita Terkini
SUV RM80K Paling Masuk Akal? Tengok Dulu Kos Maintenance Sebelum Sign Loan
Dalam harga RM80,000 Untuk SUV Sebegini? Ini Pengalaman Saya Bersama Perodua Traz.
25-09-2026
BUDI95 Tak Cukup? Haval H6 HEV 'Tapau' 1,000KM 1 Tangki
SUV jimat minyak, Haval H6 HEV sekali isi, boleh redah lebih 1,000KM.
31-03-2026
Perodua Traz Bakal Cabar PROTON X50? Ini Sebabnya..
Penulis berkesempatan memandu uji Perodua Traz, baru-baru ini.
17-12-2025
Pandu Uji Ringkas Perodua QV-E, Nampak Gaya Ada Potensi Kalahkan EV "Luar"
Penulis berpeluang memandu uji Perodua QV-E di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.
01-12-2025
BMW i4 eDrive35 M Sport LCI 2025 Sudah Diuji, Antara EV Mampu Milik
Carz.com berpeluang memandu uji BMW i4 eDrive35 M Sport LCI, baru-baru ini.
10-11-2025
Proton Saga 2026: Tujuh Perkara Menarik Yang Perlu Anda Tahu
Ini dia tujuh perkara menarik yang perlu anda tahu tentang sedan segmen A, Proton Saga generasi keempat (Saga MC3).
04-11-2025
Perasaan Pandu Uji Proton e.MAS 5: EV Lincah, Senyap, Selesa! Nampaknya EV Paling Sesuai Untuk Wanita
Penulis berpeluang memandu uji Proton e.MAS 5 di COE, Shah Alam, pada minggu lepas.
17-10-2025
Pandu Uji Hyundai Tucson Facelift 2025 , SUV Paling Ideal Untuk Wanita Malaysia?
Sebagai wanita dan ibu kepada dua orang anak, ini komen jujur saya mengenai Hyundai Tucson Facelift 2025.
14-10-2025
Tunjuk Lebih
trending_flat

