- Berita
- Pandu Uji
- Peugeot Sudah Kembali Untuk Bersaing Dalam Segmen SUV Dengan 3008, 5008.
Peugeot Sudah Kembali Untuk Bersaing Dalam Segmen SUV Dengan 3008, 5008.
Beberapa bulan lalu, kami dijemput untuk menyertai sesi pandu uji media untuk menguji kenderaan utiliti sukan (SUV) Peugeot 3008 dan 5008 dan sudah pastinya hasil keputusannya menakjubkan!
Sesi pandu uji media itu dianjurkan oleh Bermaz Auto Alliance. Program itu bermula dari Glenmarie, Shah Alam hingga ke Genting Highlands.
Kira-kira 18 organisasi media tidak melepaskan peluang untuk merasai pemanduan jentera itu.
Di sebalik prosedur operasi standard yang ketat, setiap media diberikan sebuah kereta. Tiada perkongsian kereta kali ini!
Apapun, kami berpeluang menikmati pemanduan 5008 hingga ke Genting Highlands dan kemudian memandu 3008 ketika menuruni puncak Genting.
Untuk makluman anda, kedua-dua model ini dikuasakan dengan enjin 1.6L Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) dan dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Oleh itu, ia mampu menjana 165hp dan tork 240Nm dan kesemua kuasanya dihantar ke roda hadapan.
Berbanding dengan versi pra-faceliftnya, SUV ini yang dipasang di kilang Stellantis di Gurun, Kedah dilengkapi dengan lampu depan LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED bersama indikator belok.
Ia juga hadir gril tanpa bingkai, pintu belakang berkuasa tinggi boleh diprogramkan dengan sensor kick dan sensor parkir di sekeliling SUV.
Berbalik kepada program itu, kesemua media berkumpul di Glenmarie untuk menikmati sarapan, mendengar taklimat sebelum penganjur melepaskan konvoi jentera berkenaan.
Sebaik melangkah masuk ke dalam kabin, kami teruja dengan keluasan dan rekaan dalamannya.
Apa tidaknya, ia bukan sahaja elegan malah kelihatan agak futuristik dan cukup selesa.
Selepas memandua kedua-dua jentera itu, nampaknya Peugeot 3008 dan 5008 dilengkapi dengan i-Cockpit yang terdiri daripada kluster instrumen 12.3 inci, sistem infotainmen 10 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ia juga hadir dengan pengecas wayarles Qi, gabungan upholsteri kulit, getah dan fabrik, stereng kulit dilengkapi dengan pelbagai fungsi, tempat duduk yang dibaluti dengan kulit boleh dilaraskan, bumbung panoramik berkuasa termasuk kawalan iklim automatik dwi-zon
Malah, terdapat juga lubang udara di bahagian belakang (untuk 5008), cermin pandang belakang elektrokromik, lampu ambien biru, perehat tangan dan terdapat sistem kawalan cengkaman dengan lima mod.
Begitupun, bahagian dalamannya kelihatan agak moden.
Rekaan stereng yang kompak, penukar gear dan butang fungsi piano ala-ala piano di bahagian tengah yang menempatkan akses pintas kepada fungsi seperti audio sekali gus membuatkan ia kelihatan seperti kabin kapal angkasa yang anda lihat dalam filem fiksyen sains atau komik.
Reka bentuknya berpusatkan pemandu, dan pemandu boleh mencapai kesemua kawalan dan dan butang begitu mudah
Nampaknya, ia tidak tumpah seperti juruterbang mengawal sesebuah kapal terbang.
Sebaik bendera diturunkan dengan menunjukkan isyarat bahawa kami boleh memulakan perjalanan, kami sudah dapat merasakan kelancaran transmisi dan enjin terutamanya ketika kami memecut di NKVE untuk menuju ke Genting Highlands.
Tidak dinafikan, enjinnya cukup berkuasa untuk mencapai had laju yang sah dengan mudah, dan penukaran gear agak lancar dan kami tidak merasakan jentera itu tersentak ketika penukaran gear.
Nampaknya 5008 tidak mempunyai masalah ketika memotong di lebuh raya mahupun ketika menaiki Genting Highlands.
Ia jelas kekal di jalan raya dan seolah-olah melekat di atas jalan. Kami juga mendapati bahawa pengendalian SUV ini seolah-olah seperti sedan dan bukannya SUV.
Sebaik tiba di kawasan parkir Genting Highlands, kesemua media tidak melepaskan peluang merakam gambar dengan SUV itu.
Selepas rehat seketika, kami bersilih ganti 5008 kepada SUV 3008 dan kemudian menghala ke Mont Kiara untuk menikmati makan tengah hari.
Bahagian dalaman 3008 kelihatan sama seperti 5008 dan ruang dan rekaannya cukup hebat.
Mungkin ramai pembaca teragak-agak dengan perbezaan kedua-dua model ini?
Selain daripada perbezaan harga dan kewujudan lubang udara belakang, perbezaan antara 5008 dan 3008 ialah sebenarnya di bahagian tempat duduknya.
5008 hadir dengan tujuh-tempat duduk (5+2) manakala 3008 pula lima tempat duduk.
Menyentuh mengenai dimensinya, 5008 agak panjang iaitu 160mm, lebih lebar 5mm dan lebih tinggi 27mm dan perbezaan jarak rodanya lebih kurang 110mm.
3008 mempunyai ruang but selebar 591 liter jika kesemua tempat duduk direbahkan ke bawah, manakala 5008 pula memiliki ruang but 952 liter (jika barisan tempat duduk belakang dilipat).
Menyentuh mengenai pemanduannya, saya mendapati pemanduan dari Genting Highlands ke Mont Kiara berjalan dengan lancar dan senyap biarpun pada kelajuan tinggi.
Bayangkan tiada bunyi jalan dan tiada bunyi bising tayar.
Bagaimanapun, kedengaran sedikit bunyi angin. Apabila kereta berada dalam mod sports, kendengaran enjin agak mengaum.
Kami juga tertarik dengan ruang perehat lengan yang kelihatan agak besar. Ia antara yang terbesar dan terdalam yang kami pernah lihat setakat ini.
Ia boleh menyimpan sebuah komputer riba bersaiz 13 atau 15 inci dan kira-kira 40 sentimeter dalam atau pendek kata boleh memuatkan hampir separuh lengan orang dewasa.
Dengan adanya, pengecas wayarles Qi, ia merupakan satu idea yang hebat. Apa tidaknya, kami boleh mengecas telefon bimbit dengan meletakkannya di bahagian atas.
Bagi ciri-ciri keselamatannya, kedua-dua model ini dipadankan dengan pemantau titik buta, bantuan kekal lorong aktif, sistem kawalan turun bukit, enam beg udara, kamera undur, amaran perhatian pemandu dan sistem brek anti-kunci.
Ia juga dilengkapi dengan agihan kuasa brek elektronik, bantuan brek kecemasa, kawalan stabiliti dinamik, anti gelincir, kawalan cengkaman canggih, pintu terkunci secara automati, amaran tidak memakai tali pinggang dan ISOFIX.
Sudah pasti, ramai yang tertunggu-tunggu mengenai harganya.
Peugeot 3008 dijual pada harga RM 161,616 manakala 5008 pula RM 177,311. Kedua-dua harga itu termasuk pengecualian cukai jualan yang telah dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.
Jentera ini hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan sejauh 100,000km. Lebih menarik ia juga didatangkan dengan servis percuma selama tiga tahun atau perbatuan 60,000km (mana-mana tiba dahulu).
Pelanggan boleh memilih di antara warna kelabu, putih dan hitam. Warna coklat (Cuprite Brown) eksklusif untuk 3008 manakala warna hijau (Emerald Crystal) khas buat 5008.
Secara keseluruhannya, kami mendapati bahawa Peugeot 3008 dan 5008 adalah sebuah kereta SUV yang cukup hebat dan ia akan bersaing di pasaran SUV dengan begitu baik.
Biarpun beberapa ciri yang tidak ada dalam SUV ini namun ia akan membuatkan ia kelihatan lebih sempurna.
Pada hemat kami, ia sepatutnya dilengkapi dengan sistem ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto dimana ia sudah menjadi satu ciri wajib yang patut ada dalam sebuah kenderaan moden.
Selain itu, ia juga sepatutnya ada kawalan jelajah adaptif dan brek kecemasan autonomi. Apapun, kami mencadangkan supaya terdapat lebih banyak pilighan warna untuk lampu ambien.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari