- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Hilux GR Sport: Trak Sporty Dengan Suspensi Padu
[PANDU UJI] Hilux GR Sport: Trak Sporty Dengan Suspensi Padu
REKA BENTUK LUARAN HILUX GR SPORT
Jika dibezakan dengan dengan Corolla Cross GR Sport yang telah kami cuba baru-baru ini, ciri sporty pada trak pikap generasi ke-8 ini lebih terserlah.
Dari segi luaran, Hilux kali ini hadir dengan ciri yang menyerlah terutamanya pada sudut hadapan yang hadir dengan gril dan bampar baharu. Sudut ini menonjol dengan penggunaan gril bermotifkan sarang lebah berwarna hitam dengan tulisan ‘Toyota’ yang besar di bahagian tengah. Pada bahagian tepi, dalam tulisan yang lebih kecil, terdapat logo ‘GR Sport.’
Dari tepi, Hilux GR Sport menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci berwarna hitam, di sebalik rim ini, terdapat kaliper brek yang eksklusif GR Sport berwarna merah, tampalan atau decal yang sporty pada pintu, dan pemijak kaki berwarna hitam.
Pada bahagian belakang, tema sporty diserlahkan melalui penggunaan bampar hitam, dengan tampalan sporty sama seperti yang dapat dilihat pada bahagian pintu kereta. Selain itu, terdapat sportbar dan juga logo GR Sport.
KABIN HILUX GR SPORT
Bergerak masuk ke bahagian dalam kabin Hilux ini, tema GR Sport cukup menonjol. Tempat duduk dibaluti kulit dan suede, dikemaskan dengan jahitan berwarna merah. Jahitan kontra ini turut dapat dilihat apda bahagian dashboard dan stereng. Pada penyandar kepala terdapat logo GR Sport. Logo ini turut diletakkan pada butang penghidup enjin.
Seterusnya, ciri sporty jelas terpancar daripada penggunaan pedal aluminium, panel meter 'Optitron' khas GR Sport dan juga pedal penukar gear pada stereng.
Dari segi teknologi, banyak yang digunakan pada Hilux 2.8 Rogue dikekalkan pada versi GR Sport, antaranya ialah skrin infotainmen 9 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pendingin hawa automatik dua-zon dengan saluran udara untuk tempat duduk belakang, serta kamera pandang 360 darjah dan 3D, dan banyak lagi.
PENGALAMAN SEBAGAI PEMANDU
Walaupun ini merupakan versi sport, nama GR Sport yang dibawa tidak membawa apa-apa perubahan mekanikal berbeza dengan apa yang Toyota tawarkan kepada pengguna di negara Australia, Hilux GR Sport mereka diberikan enjin yang sepadan dengan penampilan sportynya.
Sebaliknya, Hilux di Malaysia masih menggunakan enjin sama dengan Rogue iaitu enjin diesel turbo 4-silinder 2.8 liter dengan output yang juga sama, 201 hp (204 PS) dan 500 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda melalui transmisi automatik 6 kelajuan. Ini bermakna, ini tidak boleh mengharapkan prestasi peralihan gear yang pantas walaupun terdapat pedal penukar gear dan mod pemanduan ‘Sport.’
Tapi, ada beberapa ciri yang membuatkan GR Sport masih lagi berbaloi untuk dimiliki walaupun tidak menggunakan enjin lebih berkuasa iaitu kelengkapan sistem Limited Slip Differential (LSD), Diff-Lock Belakang dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang sangat meyakinkan. Ciri ini dapat meningkatkan kualiti pemanduan (yang penting, perlu tahu bagaimana untuk memanfaatkan ciri ini sebaik mungkin).
Tidak cukup dengan itu, keseimbangan dan kemampuan pengendaliannya terutama di selekoh juga lebih baik. Ini disebabkan oleh penggunaan absorber atau penyerap hentak jenis monotube dan spring di bahagian depan yang telah diberikan talaan semula. Tindak balas stereng juga terasa lebih ‘tajam.’
Peningkatan ini membuatkan trak terasa cukup stabil, satu ciri yang sukar untuk didapati pada kebanyakan trak. Hasilnya, membolehkan pemandu mengambil selekoh dengan lebih yakin dan lebih pantas.
TALAAN SEMULA YANG MEMBAWA SATU KEKURANGAN?
Suspensi yang telah ‘dikeraskan’ melalui talaan semula ini, walaupun dapat meningkatkan tahap kestabilan dan keseimbangan kereta, secara tidak langsung memberi kesan kepada tahap keselesaan. Ini kerana penumpang yang duduk di bahagian kabin, dapat merasakan perjalanan yang lebih ‘kasar’ lebih-lebih lagi apabila melalui jalan dengan permukaan yang tidak rata.
Walaupun diberikan talaan sporty sebegini, kemampuan Hilux untuk menakluki laluan yang mencabar tidak terganggu. Ini kerana terdapat banyak teknologi bantuan pemandu aktif daripada Hilux 2.8 Rogue dikekalkan pada Hilux GR Sport sepertoi kawalan jelajah radar dinamik (DRCC) dengan amaran keluar lorong (LDA) dan bantuan Yaw, paparan titik buta (BSM) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).
Jika dibandingkan Hilux GR Sport dengan pesaing terdekatnya, Ford yang berharga lebih kurang sama dalam kelas premium, mungkin sesetengah mengkritik kekurangan kemudahan tambahan seperrti soket 12V atau plug tiga pin serta ketiadaan pengecas tanpa wayar di dalam kabin.
Tetapi ini digantikan dengan tambahan beberapa ciri ADAS lain (selain yang disebutkan sebelum ini) seperti dashcam pandangan hadapan dengan pilihan dashcam untuk rakaman di bahagian belakang, serta 7 beg udara.
HARGA JUALAN HILUX GR SPORT
Tidak termasuk insurans dan aksesori tambahan, Toyota Hilux GR-Sport dijual pada harga RM169,080. Berbeza dengan pesaingnya, yang tidak memiliki ciri sporty tetapi lengkap dengan pelbagai ciri menarik, Ford Ranger Wildtrak yang dijual pada harga RM169,688.
Jadi, apa pendapat anda? Adakah trak pikap yang bergaya sporty ini berjaya mencuri hati? Tambahan lagi, dengan jaminan 5 tahun atau 150,000 km, semestinya menjadikan pembelian lebih berbaloi.
SPESIFIKASI TOYOTA HILUX GR SPORT
ENJIN | Diesel, 4 silinder berpengecas turbo 2.8L |
TRENKUASA | Automatik 6 kelajuan, 4x4 |
KUASA | 201 HP (204 PS) @ 3,400 RPM |
TORK | 500 NM @ 1,600 - 2,800 RPM |
0-100 KM/J | N/A |
V-MAX | N/A |
TAHAP PENGGUNAAN BAHAN API | 10.2L/100 KM (berdasarkan pandu uji) |
BERAT | 2,120 KG (bersih) |
HARGA | RM169,080 (tidak termasuk insurans) |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv