- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Suzuki Jimny Rhino – Model Retro & Ranggi Yang Seronok Dipandu
[PANDU UJI] Suzuki Jimny Rhino – Model Retro & Ranggi Yang Seronok Dipandu
Baru-baru ini penulis berpeluang untuk memandu uji salah satu kei car terkenal negara Jepun, Suzuki Jimny. Daripada pengalaman selama beberapa hari dengan model 4x4 ini, boleh diringkaskan bahawa model ini seronok dipandu selain menarik dipandang mata.
Tetapi benarkah harga jualan yang lebih dari RM170K sesuai untuk 4x4 sekecil ini? Adakah Jimny berbaloi untuk dimiliki? Ini pendapat jujur penulis…
PANDANGAN PERTAMA…
Setibanya penulis di bilik pameran Suzuki Jimny bertempat di Naza Eastern Motors, Petaling Jaya, penulis disambut oleh beberapa buah Jimny dalam pelbagai warna, dan pastinya yang paling menyerlah warna hijau terang.
Mustahil untuk tidak ‘terpandang’ Jimny berwarna kuning Kinetic Yellow ini, cukup menyerlah
Jimny Rhino yang dipandu uji
Namun untuk sesi pandu uji kali ini, CariCarz diberi peluang untuk membawa keluar Suzuki Jimny dalam versi yang lebih istimewa, Suzuki Jimny Rhino, Jimny yang diberikan sentuhan rekaan ranggi dengan peningkatan kosmetik bernilai RM15K.
Tampil lebih ranggi
Versi lebih bergaya ini diberikan beberapa elemen rekaan baharu yang dapat dilihat pada bahagian gril dengan tulisan penuh jenama ‘Suzuki.’
Ciri tambahan lain ialah decal atau pelekat khas Rhino pada beberapa sudut kereta untuk menyerlahkan aura lasak model off-road ini. Selain itu, sebagai perlindungan daripada hujan terdapat pemesong atau deflector angin/hujan. Versi Rhino turut ditambah dengan kemasan bawah sudut bampar hadapan dan skirt sisi yang bukan sahaja menyerlahkan lagi gaya lasaknya tetapi juga berfungsi sebagai pelindung tambahan.
Penahan lumpur dan pelindung differential
Elemen baharu lain pada model edisi khas ini ialah penutup tayar Rhino, penahan lumpur berwarna merah serta penutup bahagian differential untuk melindungi sistem ini daripada sebagai kerosakan semasa menempuhi perjalanan off-road.
Pelekat diletakkan di sekitar sudut luar Jimny edisi Rhino
Penutup tayar ganti Rhino
Jimny yang kini ditawarkan di pasaran ialah Jimny generasi keempat, menggantikan Jimny generasi ketiga yang dijual antara tahun 1998 hingga 2018. Antara reka bentuk pada model terkini yang masih dikekalkan daripada versi lama adalah bentuk klasik petaknya, dan kemampuan off-road.
Sentuhan terbaru yang diberikan pada generasi kali ini ialah lingkungan roda (wheel arch) serta bampar depan dan belakang yang lebih menonjol atau ‘terkeluar’ menjadikannya tampil lebih lasak. Ciri moden lain adalah penggunaan lampu depan LED.
Suzuki Jimny Rhino ditawarkan dalam warna eksklusif, putih Pure While Pearl
KABIN JIMNY RHINO
Model ini hadir dengan ciri asas kabin seperti skrin infotainmen 7 inci dengan sambungan Apple CarPlay, pendingin hawa automatik satu zon, pengaktifan ciri lampu hadapan automatik dan kawalan jelajah pasif
Jimny edisi khas yang dilancarkan pada bulan Jun tahun ini, kekal minimal, benar-benar mencerminkan aura klasik model ini. Namun dalam masa yang sama dipertingkat dengan ciri moden supaya tampil menarik untuk pengguna era kini melalui penggunaan skrin infotainmen bersaiz 7 inci yang boleh disambungkan dengan Apple CarPlay menggunakan wayar.
Ciri moden lain ialah kamera pandangan belakang/undur, butang kawalan fungsi kenderaan/hiburan pada stereng, port pengecas USB dan soket 12V.
Rekaan kabin yang ringkas bukanlah satu masalah, kerana ramai yang sukakan pengekalan atmosfera retro seperti ini, namun untuk sebuah model yang dijual pada harga lebih daripada RM170K mungkin akan terasa lebih berbaloi sekiranya aspek keselesaan dipertingkatkan lagi. Antara yang boleh dipertimbangkan adalah penambahan ciri pelarasan teleskopik untuk stereng dan tempat duduk yang lebih fleksibel dengan fungsi pelarasan tambahan (contohnya: ketinggian/sokongan lumbar).
Untuk ruang simpanan, jika dibuat dari but belakang, ruang kargo cukup kecil. Untuk menjadikannya lebih luas, tempat duduk barisan belakang boleh dilipat sepenuhnya, memberikan ruang simpanan berkapasiti 377L.
PENGALAMAN SEBAGAI PEMANDU
“Jeep marhaen” bersaiz kompak ini secara jujurnya bukanlah sebuah kereta yang menjanjikan keselesaan seperti SUV lain dalam lingkungan harga sama.
Dari segi NVH, semasa dipandu di lebuh raya, kadar serapan bunyi kereta cukup baik, bunyi tayar atau luar kereta tidak ketara. Namun bunyi enjin agak jelas.
Dari segi gegaran, agak terasa memandangkan dibina dengan kerangka berbentuk tangga (ladder frame), menjadikannya tidak sesuai untuk dipandu pada kelajuan tinggi, ketidakstabilannya agak terasa. Bagaimanapun, penggunaan kerangka jenis tangga ini sesuai untuk sebuah off-roader bagi kegunaan lasak, yang memerlukan lebih kekukuhan, mudah diselenggara dan sebagainya.
Namun, pada pendapat penulis, kekurangan keselesaan semasa dipandu di jalan raya biasa dapat diselesaikan sekiranya tempat duduk yang lebih menyokong badan atau supportive digunakan.
Selain itu, model ini turut dipasangkan dengan tayar jenis all-terrain yang khas untuk kegunaan lasak, Dunlop Grandtrek AT20. Lebih sesuai untuk pemanduan di atas laluan yang berbatu atau berlumpur berbanding laluan bertar.
Untuk kegunaan off-road, pengguna boleh memanfaatkan tetapan mod pemanduan untuk 4x4, high/low-locking serta kawalan turun bukit yang disediakan. Dengan jarak kelegaan tanah 210 MM serta pilihan fungsi yang dinyatakan, kemampuan sebenar Jimny sebagai sebuah 4x4 terserlah. Sebagai sebuah 4x4 bersaiz kecil juga, menjadikannya model yang cukup sesuai bagi sesiapa yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia off-road.
Menggunakan enjin petrol aspirasi natural 4 silinder 1.5L memberikannya kuasa yang ‘cukup-cukup’ sahaja untuk kegunaan off-road dan atas jalan iaitu 100 HP/103 NM. Dengan prestasi enjin ini, semasa memandu di jalan raya, anda perlu tumpukan jiwa hanya untuk pemanduan santai, tidak lebih dari itu dan ini terbukti apabila penulis cuba menekan pedal minyak untuk bergerak lebih laju, tiada pecutan sepantas ‘whoosh’ dapat dirasakan.
ASPEK KESELAMATAN SUZUKI JIMNY
Dari segi keselamatan, Suzuki Jimny dilengkapi dengan ciri asas seperti tali pinggang keledar, dua beg udara (hadapan), sistem lepas pedal, cangkuk ISOFIX tempat duduk kanak-kanak, rasuk sokongan pintu (door beam) sebagai penahan impak sisi, fungsi ABS, program kestabilan elektronik (ESP), bantuan brek, kawalan pegun bukit, kawalan turun bukit dan sebagainya.
BERBALOI ATAU TIDAK UNTUK DIBELI?
Suzuki Jimny Rhino, Jimny versi ranggi ini ditawarkan di pasaran pada harga RM174,900. Ya, jangan terkejut, kerana dalam harga yang sama, tidak disangkal lagi, anda boleh dapatkan model kereta yang lebih selesa dan lengkap.
Tetapi, adakah model-model lain itu dapat menjanjikan keseronokan memandu seperti Jimny? Reka bentuk yang dapat mengimbau masa lalu seperti Jimny? Kereta kecil dengan kemampuan off-road seperti Jimny? Walaupun ada kekurangannya, 4x4 kompak ini tetap menarik untuk dimiliki.
Sekiranya anda tergoda dengan Suzuki Jimny Rhino, boleh kunjungi Naza Eastern Motors secepat mungkin kerana hanya 30 unit versi edisi khas ini ditawarkan!
SPESIFIKASI
SUZUKI JIMNY RHINO
ENJIN | Petrol 1.5L 4 silinder |
TRANSMISI | Auto 4 kelajuan, 4x4 |
KUASA | 100 HP @ 6,000 RPM |
TORK | 130 NM @ 4,000 RPM |
0-100 KM/J | - |
KELAJUAN TERTINGGI | 140 KM/J |
PENGGUNAAN BAHAN API | 6.8 L/100 KM (atas kertas) |
BERAT | 1,435 KG (atas kertas, bersih) |
HARGA | RM174,900 |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv