- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Ambil Tahu 9 Perkara Ini Sebelum Beli smart #1 Brabus
[PANDU UJI] Ambil Tahu 9 Perkara Ini Sebelum Beli smart #1 Brabus
CariCarz.com berpeluang untuk memandu uji varian tertinggi smart #1 yang telah dilancarkan pada November tahun lalu, Brabus.
EV YANG DILAHIRKAN DUA ‘GERGASI’ AUTOMOTIF
Bagi yang masih belum tahu, model ini dibangunkan hasil kerjasama Geely dan Mercedes-Benz. Dalam penghasilannya, Geely mencurahkan kepakaran teknologinya, manakala Merc pula memberi tumpuan kepada aspek rekaan setiap inci smart #1, luar dan dalam.
Jadi bagi yang tertanya-tanya sejauh mana hebatnya produk yang dihasilkan dua syarikat ternama ini, dalam artikel kali ini kami kongsikan pendapat jujur kami. Teruskan membaca…
#1 REKA BENTUK YANG UNIK
Dari luar, bumbung kelihatan seperti ‘helmet’ merah.
Reka bentuk smart #1 sememangnya menyerlah. Model yang diuji, berwarna kelabu Atom Grey-Matte dengan bumbung merah Radiant Red.
smart #1 Brabus ditawarkan dalam tujuh pilihan warna dua tona.
Pelbagai pilihan warna dua tona ditawarkan. Warna merah ‘Laser’ dan putih ‘Digital’ ditawarkan dengan bumbung berwarna hitam ‘Eclipse.’ Badan kereta berwarna hitam ‘Meta’ ditawarkan dengan bumbung merah ‘Radiant’, manakal model berwarna kelabu ‘Atom’ kusam dan perak ‘Cyber’ ditawarkan dengan dua pilihan warna bumbung iaitu hitam ‘Eclipse’ dan merah ‘Radiant.’
Khas untuk varian ini, Brabus diberikan aerokit eksklusif dengan aksen merah, rim Dynamo bersaiz 19 inci dan komponen ambilan udara pada sudut hadapan bonet.
#2 KABIN YANG LAPANG
Apabila pintu bahagian pemandu Brabus dibuka, aura futuristik dan mewah varian tertinggi ini jelas terpancar. Papan pemuka (dashboard) dan konsol tengah kelihatan lapang, tanpa sebarang tombol atau butang melainkan pada stereng dan beberapa lagi di bahagian pintu.
Seperti di bahagian luar, ruang kabin juga diberikan aksen merah pada beberapa bahagian seperti penyandar kepala, yang kontra dengan warna tempat duduk kulit Alcantara hitam.
Tali pinggang dan sudut tepi penyandar kepala yang berwarna merah menyala.
#3 TEKNOLOGI YANG MEMUDAHKAN (DAN MENYUKARKAN)
Memandangkan model ini agak lapang daripada kehadiran tombol dan butang, pelbagai fungsi ‘terbenam’ di dalam sistem infotainmen. Butang fizikal yang ada dalam kereta ini boleh dibilang dengan jari.
Walaupun ada butang fizikal, tetapi agak mengejutkan, kerana pelaras cermin sisi bukan salah satu daripadanya. Fungsi ini juga hanya boleh diakses melalui infotainmen.
Untuk mengakses kira-kira 90% fungsi yang ditawarkan, anda perlu mendekatkan badan kepada skrin paparan tengah atau infotainmen dan menekan satu persatu menu yang dipaparkan sehingga menemui fungsi yang dicari. Bagi mereka yang baru menggunakan kereta ini, perkara ini agak mencabar, ibarat mencari fail di dalam fail sebuah PC.
Namun model ini didatangkan dengan ciri arahan suara yang agak responsif. Anda boleh menyebut arahan seperti, “Hello smart, open the sunroof” untuk pengaktifan sesuatu ciri secara automatik tanpa perlu menyentuh skrin.
Walaupun ada beberapa perkara yang pada pendapat penulis agak menyusahkan, tetapi kelancaran sistem operasi yang digunakan menyejukkan hati. Sistem ini juga mempunyai kemampuan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.
Sistem infotainmen 12.8 inci yang bukan sekadar padat dengan fungsi, tetapi juga sedap dipandang mata, dan yang penting, responsif!
Bukan sekadar hiburan, inilah ‘pusat segala fungsi’ smart #1 Brabus. Antara fungsi menarik yang ada ialah sistem navigasi yang turut memaparkan senarai lokasi stesen pengecas EV terdekat.
#4 SARAT DENGAN CIRI PREMIUM
Melengkapkan aura kecanggihannya adalah kehadiran sistem audio Beats 13 speaker yang memang padu! Seterusnya, ciri penapisan udara N95, pencahayaan ambien 64 warna, ambang pintu bercahaya, pad pengecas tanpa wayar dan kluster instrumen digital 9.2 inci dengan papar pandu (HUD).
#5 PRESTASI MENGANCAM
Berbeza dengan varian smart #1 lain, #1 Brabus menggunakan sistem yang lebih berkuasa. Varian ini diberikan sistem pacuan semua roda (AWD) dua motor berkuasa 422 hp (315 kW) dan 534 Nm. Ini membolehkan Brabus melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 180 km/j.
Sejauh manakah kebenaran segala yang ditulis dalam spesifikasi atas kertas varian ini? Menggunakan mod pemanduan paling berprestasi, ‘Brabus’, kepantasan kereta berubah secara drastik, namun masih stabil, walaupun meluncur laju semasa di laluan yang lurus.
#6 SELESA
Kadar serapan NVH atau bunyi, gegaran dan kekasaran kereta cukup baik, memberikan keselesaan yang optimum kepada semua penumpang depan dan belakang. Tetapi, ada sedikit bunyi angin semasa kereta dipecut laju seperti dalam mod ‘Brabus' yang dinyatakan tadi.
Dari segi ruang, smart #1 tidak mengecewakan. Ruang kaki dan kepala untuk barisan tempat duduk hadapan dan penumpang belakang cukup luas walaupun tampil kompak dari luar.
#7 SISTEM YANG MEMUDAHKAN PENGGUNA EV
Dibangunkan berdasarkan platform SEA-E yang sama seperti varian smart #1 lain, Brabus menggunakan bateri jenis NMC berkapasiti 66 kWh yang sama seperti varian Premium. Namun begitu, sebagai varian yang lebih berprestasi, model ini boleh mencapai jarak EV hanya sejauh 400 km (WLTP) berbanding 440 km (WLTP) pada varian Premium.
Agak-agak boleh tak smart masukkan aplikasi Netflix dalam sistem infotainmen satu hari nanti? Boleh tengok movie sambil tunggu kereta dicas.
Dalam aspek pengecasan, #1 Brabus boleh dicas daripada 10% ke 80% menggunakan pengecas DC 150 kW dalam masa hanya 29 minit, sementara itu, menggunakan pengecas AC 22 kW pula hanya mengambil masa hanya kira-kira 3 jam.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sistem infotainmennya hadir dengan pelbagai fungsi dan salah satunya ialah sistem navigasi yang turut memaparkan lokasi stesen pengecas EV di sepanjang perjalanan.
Aplikasi Hello smart turut hadir dengan ciri peta lokasi stesen pengecas EV
Bukan itu sahaja, di setiap destinasi, terdapat anggaran kapasiti bateri yang tinggal sebaik kita tiba di lokasi tersebut. Tak perlu lagi ‘menggeletar’ takut tak sempat sampai lokasi, sebab dah boleh rancang perjalanan dengan mudah.
#8 RUANG SIMPANAN YANG FLEKSIBEL
Memandangkan smart #1 sangat memudahkan rancangan perjalanan EV, mungkin ada yang terfikir-fikir untuk bawa kereta balik kampung. Jadi muat ke semua beg dalam satu kereta?
But hadapan smart #1 Brabus
Untuk pengetahuan pembaca, smart #1 didatangkan dengan dua ruang simpanan, depan dan belakang. Memandangkan varian Brabus menggunakan tambahan lebih satu motor yang terletak pada gandar hadapan, ruang simpanan pada bahagian frunk (but simpanan depan) kurang sebanyak 15 liter berbanding varian lebih rendah.
Sementara itu, but belakang pula menawarkan kapasiti sebanyak 323 liter. Tetapi, terdapat ruang simpanan tambahan memandangkan lapik di bawahnya boleh dibuka, dan tempat duduk belakang juga boleh dilipat.
#9 SARAT DENGAN PELBAGAI FUNGSI KESELAMATAN
Dari segi keselamatan, kesemua fungsi yang dinyatakan terdapat pada model ini ‘menjalankan tugas’ dengan baik. Kesemua sensor dan kamera kereta dapat mengesan segala marabahaya dengan tepat, amaran juga diberikan seawal yang mungkin.
Antara ciri keselamatan penting yang terdapat pada model ini ialah:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Mitigasi Pelanggaran Depan dan Belakang (FCMS & RCMS)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
- Bantuan Tukar Lorong Automatik (ALCA)
- Bantuan Pergerakan Evasif (EMA)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (FCTA & RCTA)
- Pengesan Titik Buta (BSD)
- Bantuan Lebuhraya
- Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
- Bantuan Parkir Visual 360 Darjah
Bagaimanapun, hanya fungsi seperti ACC dan Bantuan Parkir boleh diakses dengan mudah menggunakan butang pada stereng, hampir kesemua ciri ADAS lain pula boleh diakses melalui skrin tengah.
Bukan itu sahaja, melalui aplikasi ‘Hello smart’ terdapat beberapa ciri keselamatan tambahan lain seperti pemantau status kenderaan dan penjejakan lokasi kereta.
BERBALOI ATAU TIDAK?
Ditawarkan pada harga RM249,000 atas jalan, smart #1 Brabus merupakan antara EV mewah yang paling berpatutan di pasaran. Jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain dengan prestasi yang hampir sama, iaitu Volvo XC40 dan C40 Recharge, ditawarkan pada harga hampir RM300,000.
Pembelian smart #1 adalah termasuk waranti standard selama 4 tahun tanpa had perjalanan, serta waranti alat ganti selama dua tahun tanpa had perjalanan bersama-sama dengan bantuan tepi jalan 24/7. Selain itu, smart #1 Brabus juga didatangkan dengan waranti bateri selama 8 tahun atau 200,000 km dan juga waranti komponen bervoltan tinggi selama 8 tahun atau sehingga 150,000 km.
Bergaya sporty, sarat dengan ciri premium, berprestasi dan boleh mencapai jarak 400 km dengan cas penuh, apa lagi yang anda mahukan daripada sebuah EV?
SPESIFIKASI SMART #1 BRABUS
MOTOR | 2x Permanent synchronous electric motor |
DRIVETRAIN | Pacuan Semua Roda (AWD) |
KUASA | 422 hp (315 kW) |
TORK | 543 Nm |
0-100 KM/J | 3.9 saat |
V-MAX | 180 KM/J |
BATERI & CAS | Bateri: Nickel Manganese Cobalt (NMC) 66 kWh Masa pengecasan: AC @ 22 kW (10-80%: 3 jam) DC @ 150 kW (10-80%: 29 min) |
JARAK EV | 400 KM (atas kertas, WLTP) |
BERAT | 1,900 KG (atas kertas, bersih) |
HARGA | RM249,000 (atas jalan, tidak termasuk insurans) |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv