- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Ini 5 Kelebihan Toyota GR Corolla & Kenapa Ia Bukan Untuk Semua
[PANDU UJI] Ini 5 Kelebihan Toyota GR Corolla & Kenapa Ia Bukan Untuk Semua
Bukan sekadar bergaya agresif, aura sporty Toyota GR Corolla terserlah di jalan raya semasa dipecut laju
Baru-baru ini, CariCarz.com berpeluang untuk memandu uji sebuah hatchback berprestasi, Toyota GR Corolla. Apa yang menariknya dengan model ini? Menulis berdasarkan pengalaman kami selama beberapa hari dengan model ini, Ini beberapa perkara tentang Toyota GR Corolla yang perlu anda tahu…
#1 GAYA AGRESIF YANG MENJADI PERHATIAN
Sebagai sebuah kereta yang berprestasi, bentuk badan Toyota GR Corolla ini menjadi bukti kemampuannya untuk menyerlah kegarangan di jalan raya.
Daripada pandangan pertama, antara elemen agresif terawal yang dapat dikesan dari luar ialah lengkungan roda yang lebar, komponen ambilan udara dan bumbung karbonnya.
Apabila diamati dengan lebih terperinci, di sebalik setiap satu rim multi-spoke 18 inci ini terdaoat cakera brek dengan angkup berwarna merah. Seterusnya, di sudut belakang, terdapat TIGA ekzos.
Dari segi warna, model yang kami pandu uji ini berwarna kelabu Precious Metal yang memang stylo! Pilihan warna lain yang ditawarkan bagi model ini ialah putih Super White II dan merah Emotional Red II.
#2 'KING' SEBENAR UNTUK T20
GR Corolla menggunakan enjin sama yang terdapat pada GR Yaris, namun diberikan talaan semula supaya lebih sesuai dengan saiz GR Corolla yang lebih besar dan berat. Enjin 1.6 liter tiga silinder yang digunakan mempunyai kuasa sebanyak 296 HP dan tork 370 NM. Apabila dipecut, bunyi yang dihamburkan daripada tiga corong ekzos cukup untuk memacu adrenalin.
Dipadankan dengan transmisi manual 6 kelajuan dan sistem pacuan empat roda GR-FOUR yang pintar, masa pecutan 0-100 KM/J yang dinyatakan Toyota, iaitu 5.3 saat tidak mustahil untuk dicapai.
#3 CENGKAMAN PADU
Berbeza dengan Corolla versi standard, GR Corolla dilebarkan sebanyak 80 MM di bahagian belakang. Bukan itu sahaja, casis badan juganya telah diberikan peningkatan yang ketara untuk menjadikannya lebih mudah dikawal serta memiliki ketangkasan lebih tinggi berbanding Corolla standard.
Hasilnya, GR Corolla dapat menguasai selekoh dengan mudah dengan penuh ketepatan, satu ciri penting sewaktu kereta dipecut laju.
Kemampuan untuk mencengkam jalan ini juga dibantu oleh sistem AWD GR-FOUR yang memberikan traksi dan cengkaman mekanikal yang tinggi kepada kereta, sistem ini menawarkan tiga pilihan mod pecahan tork (torque-split) yang masing-masing hadir dengan sifat tersendiri.
Berdasarkan pengalaman CariCarz.com, model ini menunjukkan prestasi terhebat apabila GR-FOUR ditetapkan dalam mod ‘Track’ yang membolehkan anda untuk meluncur keluar dan masuk selekoh dengan mudah.
Terdapat juga mod 'Track' yang ketiga, yang menawarkan pecahan tork yang lebih seimbang. Apabila dipadankan dengan mod pemanduan 'Sport' yang disediakan oleh trenkuasa, ia benar-benar menukar Corolla menjadi sebuah jentera rally seperti GR Yaris.
#4 GEAR MANUAL UNTUK SENSASI PERLUMBAAN
Bagi yang hanya tahu menggunakan kereta bertransmisi automatik, terpaksalah melupakan GR Corolla, melainkan anda sanggup untuk belajar cara memandu kereta manual demi merasai nikmat memandu hatchback padu ini.
Ada kemungkinan, Toyota hanya menawarkan GR Corolla dalam versi manual untuk menunjukkan betapa relevannya penggunaan transmisi manual pada sebuah kereta berprestasi tinggi. Dan ini juga mungkin menjelaskan mengapa kereta sport lain seperti GR86 dan GR Supra masih ditawarkan dalam versi manual (selain pilihan automatik).
Walaupun disifatkan sebagai sebuah kenderaan yang lebih mesra dan praktikal berbanding GR Yaris, anda mungkin tidak ingin menggunakan GR Corolla dalam kesesakan trafik. Toyota menawarkan banyak pilihan lain yang lebih murah untuk dibeli, murah untuk dijaga dan lebih mudah untuk dikendalikan.
#5 KERUSI SPORTY YANG PREMIUM
Salah satu elemen penting yang wajib ada pada sebuah kereta berprestasi ialah tempat duduk yang selesa. Untuk barisan hadapan, model ini menggunakan semi-bucket seat atau tempat duduk jenis separa perlumbaan yang memegang badan dengan kemas. Semua tempat duduk diberikan balutan kulit dan Alcantara untuk aura premium.
Tak lengkap rasanya ulasan kalau tak ada kritikan. Jadi, apa yang kurang pada GR Corolla?
SISTEM INFOTAINMEN YANG AGAK ‘SIMPLE’
Sebagai sebuah kereta sport yang dijual pada harga kayangan, sistem infotainmen tengah model ini pada pendapat kami, agak ringkas, tanpa elemen premium atau sporty. GR Corolla menggunakan unit skrin sentuh bersaiz 9 inci, sama seperti pada model ‘biasa’ yang lain dan yang sedihnya, resolusi paparan untuk kamera pandangan belakang juga agak kurang memuaskan.
Kekurangan sistem infotainmen ‘terbayar’ dengan ciri premium lain iaitu panel instrumen digital bersaiz 12.3 inci yang interaktif serta papar pandu (HUD).
RUANG YANG AGAK TERHAD
Dari segi keluasannya, tempat duduk hadapan agak memuaskan, namun, untuk penumpang belakang, agak terasa sempitnya. Selain itu, saiz ruang simpanan bagasi di bahagian but juga terhad. 213 liter mungkin tidak cukup untuk memuatkan keperluan satu keluarga. Melainkan anda membeli GR Corolla hanya untuk kegunaan sendiri, ini bukanlah satu masalah besar.
ENJIN YANG DAHAGA
Tidak sama dengan kereta standard, sebagai sebuah kereta sport, GR Corolla pastinya kehausan tenaga yang dibekalkan oleh minyak premium, RON97. Lebih kerap anda memerah 'prestasi sebenar' kereta semasa memandu, lebih besarlah perbelanjaan untuk mengisi minyak kereta setiap bulan.
BUNYI DAN GEGARAN
Dari segi keselesaan untuk pemanduan jarak jauh, GR Corolla mungkin akan mengecewakan penumpang yang inginkan keselesaan. Ini kerana model ini hadir dengan sistem suspensi yang keras. Selain itu, bunyi angin dan ‘deruman’ tayar juga menyumbang kepada kepenatan untuk perjalanan jauh.
BERBALOI ATAU TIDAK?
Dijual pada harga RM355,000, tidak termasuk insurans, GR Corolla menjanjikan prestasi yang pastinya memuaskan jiwa. Namun berdasarkan ulasan ini, boleh diringkaskan bahawa GR Corolla bukanlah sebuah kereta yang sesuai untuk semua. Beberapa ciri sporty pada model ini menjadikan ia tidak begitu praktikal untuk kegunaan dalam kesesakan trafik atau perjalanan jarak jauh.
Tetapi, sekiranya bukan dalam kedua-dua situasi ini, GR Corolla dapat menambah ‘perisa’ kerana boleh menjadikan perjalanan lebih mengasyikkan, di mana pemandu boleh menguji kemampuan kereta di setiap peluang yang ada.
SPESIFIKASI TOYOTA GR COROLLA
TRENKUASA | Enjin pengecas turbo 3 silinder 1.6 liter |
TRANSMISI | Manual 6 kelajuan, AWD |
KUASA | 296 HP (300 PS) @ 6,500 RPM |
TORK | 370 NM @ 3,000 - 5,500 RPM |
0-100 KM/J | 5.3 saat |
V-MAX | 230 KM/H |
PENGGUNAAN BAHAN API | 8.1 liter/100 KM (atas kertas, WLTC) |
BERAT | 1,475 KG (bersih) |
HARGA | RM355,000 |
ATAU CUBA INI
RM399,900
BMW M340I XDRIVE
RM374,800
RM509,888
-full.jpg)
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv