- Berita
- Kereta Baru
- Tiggo 7 PRO: Harga Bawah RM130K

Chery Tiggo 7 PRO yang dipertonton kepada pihak media di KL Wellness, Kuala Lumpur sebentar tadi akan mendarat secara rasminya di pasaran tempatan pada Mei nanti.
Biarpun, harganya masih belum didedahkan namun Chery Malaysia mengesahkan bahawa ia akan ditawarkan di bawah harga RM130,000.


Presiden Chery Malaysia, Leo Chen berkata, Tiggo 7 Pro bukan sekadar SUV biasa kerana ia menampilkan ciri gaya hidup yang direka khas untuk mereka yang menghargai gaya elegan dan praktikaliti.

“Reka bentuknya menjadikannya sebuah SUV yang sempurna untuk keluarga kecil yang menitikberatkan aspek keselamatan dan keselesaan.
“Namun ia juga sesuai buat individu yang mementingkan gaya dan bagi orang muda yang inginkan pengembaraan dan mementingkan ciri teknologi,” katanya.


Menurutnya, SUV yang mempunyai lima tempat duduk ini menawarkan ciri keselamatan terkini dan prestasi yang cekap sekali gus memastikan perjalanan yang menyeronokkan untuk pemandu dan penumpang.
Tiggo 7 Pro disumbat dengan enjin turbo 1.6 liter dimana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 197 hp dan tork 290Nm.

Ia dipadankan dengan transmisi dwikuasa 7-kelajuan (DCT), dimana ia dapat memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan kecekapan yang luar biasa.
Selain itu, penggunaan bahan apinya agak kompetitif iaitu pada 7.0 liter/100km.

Menjengah bahagian kabinnya, Tiggo 7 Pro dilengkapi dengan skrin berkembar bersaiz 24.6 inci, selain terdapat sambungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto yang membolehkan telefon pintar disambungkan dengan sistem infotainmennya tanpa perlu sambungan fizikal.
Tidak ketinggalan ia turut dilengkapi dengan Sistem Audio Sony premium 8 pembesar suara dan turut hadir dengan pencahayaan ambien dengan warna palet 64 warna sekali gus meningkatkan lagi reka bentuknya.
Lebih menarik model Tiggo 7 Pro ini juga didatangkan dengan, kamera 540°, tempat duduk hadapan berventilasi, terdapat 16 fungsi ADAS dan ia turut hadir dengan penghidup enjin jarak jauh.

Dengan ukuran sepanjang 4513mm (panjang) dan jarak roda 2670mm, ia menyediakan ruang yang mencukupi untuk penumpang dan kargo.
Ia hadir dengan ruang but 475 liter namun boleh dibesarkan kepada 1672 liter jika kerusi belakang direbahkan.

Ini bermakna anda boleh menyimpan pelbagai barangan dalam satu masa.
TIGGO 7 PRO ditawarkan dalam empat warna; Bloodstone Red with Black Roof, Carbon Black, Vanilla Blue dan Khaki White dengan bumbung hitam.
Bermula hari ini, pelanggan boleh membuat tempahan TIGGO 7 PRO, dan SUV tersebut akan dipamerkan di semua pusat pameran Chery di seluruh negara bermula April ini.
Jika anda membuat tempahan bermula hari ini, para pelanggan akan menerima kenderaan mereka menjelang akhir Mei 2024.
Untuk maklumat lanjut mengenai TIGGO 7 PRO, layari https://www.chery.my/registeryour-interest-tiggo-7-pro/.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

