- Berita
- Pandu Uji
- Sudah Diuji: GWM Tank 300
Buat masa ini, anda mungkin sudah cukup mengenali nama GWM Malaysia dan model SUV off-road terbaharunya, GWM TANK 300.
Malah, GWM sudah pun melancarkan secara rasminya TANK 300 pada minggu lepas dimana ia dijual pada harga RM250,000.
Susulan itu, GWM turut menawarkan pelbagai ganjaran eksklusif yang hanya ditawarkan untuk 300 pelanggan awal yang menempah jentera itu.
Bagi penulis, harganya yang diletakkan itu adalah setimpal dengan keupayaannya yang luar biasa.
Pendek kata, GWM Tank 300 bukan sahaja menawarkan pemanduan off-road namun di sebalik kelasakannya itu, ia tetap bergaya dan kelihatan mewah berbanding seterunya dari Jepun mahupun Eropah.
Bagaimanapun, penulis bernasib baik kerana dipilih untuk mengikuti sesi pandu uji GWM Tank 300 yang diadakan di Pusat Latihan dan Pengalaman 4WD Malaysia (M4TREC) di Semenyih, pada minggu lepas.
Para pemandu mahupun penumpang telah menyaksikan kelasakan sebenar GWM Tank 300 semasa mengemudi litar yang menampilkan enam jenis cabaran dinamik.
Sebelum menceritakan mengenai pengalaman pandu uji saya, jom tengok reka bentuk GWM Tank 300.
Gaya Rugged
Menjengah bahagian luarannya, ia jelas sekali menawarkan penggayaan retro moden. Ini membuatkannya antara salah satu SUV off-road yang paling macho dijual setakat ini di pasaran tempatan.
Sekali pandang, ia mempunyai iras seperti Pajero dan Jeep namun badannya lebih berkotak.
Semua lampu di depan mahupun belakang adalah jenis lampu LED dan sudah pastinya ia menawarkan beberapa ciri off-road.
Antaranya seperti saiz bampar depan dan belakang agak besar selain menawarkan imej maskular kerana rupa bentuk gerbang rodanya juga agak besar.
Jentera ini juga didatangkan dengan rel bumbung serta pemijak sisi bagi memudahkan si pemandu dan penumpang masuk ke dalam dengan mudah.
Lagipun, jarak kelegaan tanahnya adalah sekitar 224 mm. Ini membuatkan anda perlu sedikit kudrat untuk masuk ke dalam kabinnya.
Penulis juga sempatlah mengetuk-ngetuk bahagian luarannya, namun lantunan bunyinya kedengaran ia menawarkan kualiti yang cukup mengagumkan.
Antara satu kekurangan pada jentera ini ialah ia tidak menggunakan tayar All Terrain yang merupakan sejenis tayar yang boleh digunakan untuk semua permukaan jalan.
Sebaliknya ia menggunakan tayar SUV sahaja namun ia bukanlah satu kelemahan yang akan menghalang anda untuk membeli jentera ini.
Kenapa saya katakan begitu, ini sebabnya!
Boleh Redah Banjir
Anda boleh membeli SUV ini jika mahu meredah banjir. Ini kerana ia boleh meredah air sedalam 700 mm dengan begitu baik.
Bagi membuktikan perkara itu, penulis sempat menguji jentera ini di lokasi harungan air dalam (Deep water wading) di litar M4TREC.
Pada mulanya, saya berasa enjinnya akan mati namun sangkaan saya meleset kerana ia meredah air tanpa sebarang masalah.
Walaupun tidak menggunakan tayar AT, namun Tank 300 masih mampu menavigasi dengan mudah melalui landskap yang sukar dan meredah air.
TRENKUASA HEBAT
Ujian harungan air itu sebenarnya agak mencabar kerana ia boleh meredah air yang cukup dalam.
Namun, saya tidak menolak kemungkinan ia mampu bertindak sedemikian kerana ia digandingkan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
Ini membolehkan ia menghamburkan kuasa setakat 217 hp dan tork 380 Nm.
Mujur ia menggunakan petrol bukannya diesel. Lagipun, seperti mana yang diketahui umum, harga diesel kini tidak bersubsidi.
Jadi, ramai penggemar jentera off-road mungkin berfikir dua kali dengan pembakar minyak sekarang.
Jadi, anda boleh menarik nafas lega kerana jentera ini disumbat dengan enjin petrol turbo 4-silinder 2.0L .
Selain itu, dengan menggunakan kotak automatik 8-kelajuan, ia sebenarnya menawarkan kuasa yang cukup licin walaupun berada dalam pemanduanya yang mencabar.
Antara punca Tank 300 ini agak hebat disebabkan barisan pemanduan 4x4 yang disusun dengan betul.
Dengan sistem 4WD separuh masa, TANK 300 juga dilengkapi dengan ‘Ladder Frame Construction’ , ‘Professional Off-road Chassis’ serta dilengkapi dengan kunci pembezaan gandar elektronik hadapan dan belakang bagi membolehkan ia meredah semua jenis permukaan jalan raya.
Antara ciri Istimewa yang ada pada jentera ini ialah ia hadir dengan tiga mod gear: 2H, 4H dan 4L.
Jika ia masih tidak mencukupi, GWM memenuhi TANK 300 dengan pelbagai bantuan pemacu elektronik yang membantu menjadikan pemanduan off-road lebih mudah.
Apa yang lebih mengagumkan di sini ialah kamera 360 darjah . Ia menawarkan pandangan yang menyeluruh dengan begitu jelas.
Bukan itu sahaja, ia juga menawarkan pandangan casis lutsinar yang sangat berguna untuk melihat keadaan sekeliling melalui skrin di tengah.
Bagaimanapun perkara yang benar-benar menjadikan TANK 300 menonjol sebagai off-roader ialah dua daripada bantuan loff-road yang akan kami perincikan dalam perkara seterusnya…
Bagi yang tidak tahu, Tank 300 juga mempunyai fungsi Tank Turn dimana ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkannya membelok rapat di kawasan sempit.
Ini adalah wow factor yang anda perlu tahu mengenai Tank 300.
Satu lagi, ia mempunyai kemampuan mendaki cerun dengan gradien sehingga 70%, sudut pendekatan 33 darjah, sudut keberangkatan 34 darjah.
Ia jelas membuktikan ia boleh terangkat ketika saya mengujinya di kawasan Axle Twister dimana tayarnya bergolak dengan begitu baik.
Perkara lain yang sama mengagumkan ialah Crawl Control. Fungsi itu digunakan untuk kawalan jelajah di kawasan mencabar dimana anda perlu menetapkan terlebih dahulu jumlah tork dan kuasa yang anda mahu dikekalkan.
Untuk ujian ini, saya gagal kerana tidak dapat mendaki bukit yang cukup curam disebabkan tidak menekan pedal minyak dengan sepenuhnya.
Ini membuatkan unit yang diuji terpaksa diundur namun saya meminta untuk tidak melakukan ujian itu kerana hati berdebar.
Namun ujian ini tidak menjadi masalah besar buat rakan-rakan media lain.
Sudah tentu, ini adalah satu ciri yang cukup diminati oleh pemandu pemula dan amatur kerana ia mudah meredah di semua permukaan jalan raya mahupun rupa bumi.
KABIN
Di sebalik pandu uji itu, GWM Malaysia meletakkan Tank 300 sebagai produk gaya hidup pengembaraan.
Selain pemanduannya yang agak padu, ia menerapkan ciri kemewahan selain menawarkan teknologi yang cukup canggih.
Selain itu, dari segi kabinnya pula, GWM TANK 300 dilihat menawarkan kabin dibaluti dengan kulit NAPPA hitam, dimana tempat duduk pemandu dilaraskan dengan lapan hala.
Kerusinya itu didatangkan dengan fungsi urut selain ada bumbung panaromik.
Antara kelengkapan lain ialah, ia dilengkapi dengan dua skrin instrument bersaiz 12.3 inci dan sistem infotainmen skrin sentuh yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.
Tidak ketinggalan, konsol tengahnya juga agak moden kerana mempunyai penukar gear dengan rekaan berinspirasikan seolah-olah dalam kokpit.
Terdapat juga pengecasan tanpa wayar, pencahayaan ambien 64 warna dan 9 pembesar suara dengan sistem bunyi Infinity.
Sementara itu, ciri praktikal tambahan yang ada pada jentera ini ialah corong pendingin hawa di belakang, ada soket kuasa USB, danperehat tangan tengah yang boleh dilipat dengan pemegang cawan.
Bagi tempat penumpang belakang, ia didatangkan dengan dua tahap pelarasan dan tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 60:40 dimana ruang butnya boleh memuatkan barangan yang besar.
Dari segi ciri-cici keselamatan, anda jangan bimbang kerana GWM TANK 300 cukup sarat dengan ciri-ciri keselamatan yang cukup canggih.
Difahamkan, jentera ini jdilengkapi dengan ciri Bantuan Pemanduan L2 ADAS seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Kawalan Pintar (ICA), Bantuan Kekal Lorong(LCK), Bantuan Trafik Sesak (TJA), kamera 360 darjah.
Kesemua ciri keselamatan ini membolehkan GWM TANK 300 telah diberi penarafan keselamatan 5- bintang ANCAP.
GWM TANK 300 yang merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dari China ini dijual pada harga RM250,000.
Bagi saya, harganya agak setimpal dengan pemanduan off-road yang cukup menakjubkan.
Jika tidak yakin, apa kata anda sendiri merasai sesi pandu uji yang akan diadakan pada 20 dan 21 Julai ini di M4trec, Semenyih.
GWM TANK 300
SPESIFIKASI
ENJIN |
2.0-litre 4-cyl turbo petrol |
TRENKUASA |
8-speed automatic part-time 4x4 with front & rear diff. |
KUASA |
217 HP @ 5,500 RPM |
TORK |
380 NM @ 1,800 - 3,600 RPM |
0-100 KM/J |
N/A |
V-MAKS |
175 KM/J (didakwa) |
Penjimatan Minyak |
N/A (tidak diuji) |
BERAT |
2,155 KG (kerb, didakwa) |
HARGA |
RM250,000 (Tidak termasuk insurans) |
Gallery


























Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari