- Berita
- Gaya Hidup
- Koleksi Puma Motorsport Musim Luruh-Sejuk 2024 Kini Boleh Dibeli – Dari RM185
Koleksi Puma Motorsport Musim Luruh-Sejuk 2024 Kini Boleh Dibeli – Dari RM185
Jenama pakaian sport terkemuka, Puma memperluaskan barisan produk Puma Motorsport melalui Koleksi Musim Luruh-Sejuk 2024. Koleksi ini menampilkan pakaian dan kasut yang meraikan tiga nama besar dalam dunia permotoran dan sukan permotoran iaitu Porsche, Mercedes-AMG dan Ferrari.
Koleksi Mercedes-AMG: Menyerlahkan Aura Berani ‘The Hammer’
Dimulakan dengan jenama terkenal berlogo bintang tiga bucu, lima item baharu yang diilhamkan oleh Mercedes-Benz 300 CE AMG generasi W124 yang digelar ‘The Hammer’ diperkenalkan.
Sentuhan rekaan yang diberikan untuk koleksi ini mencerminkan semangat agresif The Hammer dengan gabungan warna yang berani dan penggunaan fabrik yang bertekstur. Antara item utama ialah jaket pilot berwarna hitam, seluar sukan yang sepadan, t-shirt berwarna Bright Melon, serta topi besbol.
Melengkapkan koleksi ini ialah kasut Puma Palermo OG berwarna hitam dan Bright Melon, dengan tapak coklat gelap dan tag tali kasut yang istimewa. Harga bagi item dalam koleksi ini bermula daripada RM185 hingga RM629.
Baca: Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition, RM558,888, HANYA Ada 10 Unit!
Koleksi Porsche Motorsport: Sempena Ulang Tahun Ke-50 911 Turbo
Seterusnya, empat item baharu diperkenalkan dalam Koleksi Porsche Motorsport Musim Luruh-Sejuk 2024 yang memberi penghormatan kepada model Porsche 911 Turbo. Tahun ini, pengeluar kereta sport terkenal itu meraikan ulang tahun ke-50 911 Turbo.
Item utama termasuk baju flanel bercorak Tartan merah dan biru yang mengambil inspirasi daripada rekaan kabin 911 Turbo yang klasik. Selain itu, terdapat juga seluar berwarna biru laut serta t-shirt berjenama Porsche dan tulisan 'Turbo'.
Turut ditawarkan dalam koleksi ini ialah kasut Puma Suede Classic yang diberi sentuhan Tartan pada bahagian depan dan lidah kasut, yang juga memaparkan tulisan 'Porsche' dan 'Turbo'. Harga untuk koleksi ini bermula daripada RM269 hingga RM599.
Baca: Porsche 911 Hibrid Pertama Bakal Dilancarkan 28 Mei Ini – 8.7 Saat Lebih Laju!
Koleksi Ferrari: Meraikan Kegemilangan Ferrari
Tidak lengkap koleksi Motorsport Musim Luruh-Sejuk 2024 tanpa jenama Ferrari yang sinonim dengan kelajuan dan kemenangan. Koleksi ini tampil menyerlah dengan grafik peta haba pada t-shirt berlengan panjang dan topi besbolnya.
Item lain termasuk seluar hitam minimalis dan t-shirt klasik dengan tulisan 'Scuderia Ferrari'. T-shirt berwarna merah terang 'Rosso Corsa' ini pasti akan menarik perhatian peminat setia Ferrari.
Turut ditawarkan ialah kasut Puma RS-X baharu dalam gabungan warna hitam dan merah Intense dengan tapak putih. Kasut ini adalah satu-satunya item dalam koleksi yang memaparkan lambang kuning dan hitam 'Cavallino' Ferrari, simbol kebanggaan supercar dan kereta lumba mereka. Harga bagi koleksi Ferrari ini bermula daripada RM185 hingga RM599.
Baca: Ferrari Tubuhkan 'E-Building' Percepat Pengeluaran Supercar Elektrik
Kini Di Pasaran
Semua pakaian, kasut dan aksesori dalam koleksi ini sudah boleh dibeli melalui laman web rasmi Puma dan di semua cawangan Puma di seluruh negara.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv