- Berita
- Teknologi
- Toyota Bangunkan Kartrij Hidrogen Mudah Alih – Lebih Praktikal Dari EV?
Toyota Bangunkan Kartrij Hidrogen Mudah Alih – Lebih Praktikal Dari EV?

Dalam era peralihan kepada elektromobiliti, Toyota masih mengekalkan pendekatan unik dengan meneroka alternatif lain selain kenderaan elektrik bateri (BEV). Kali ini, jenama automotif tersebut telah memperkenalkan beberapa inovasi terbaru, namun yang paling menarik perhatian adalah inovasi dalam bentuk kecil, kartrij hidrogen mudah alih.
Kartrij Hidrogen Mudah Alih: Solusi Praktikal Masa Hadapan


Kartrij hidrogen ini merupakan versi kecil kepada tangki hidrogen yang biasanya memerlukan ruang besar dan berat, menjadikan kenderaan hidrogen kurang praktikal. Dengan inovasi ini, Toyota berharap dapat menjadikan hidrogen sebagai sumber tenaga mesra alam yang mudah digunakan dalam pelbagai situasi harian.


Selain digunakan dalam kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV), kartrij ini juga boleh dimanfaatkan secara domestik, seperti membekalkan elektrik atau untuk memasak. Untuk tujuan memasak, Toyota bekerjasama dengan syarikat perkakas gas Jepun, Rinnai, bagi membangunkan dapur masak berkuasa hidrogen.
Fleksibel dan Mudah Alih


Kartrij hidrogen ini, dengan saiznya yang kecil dan mudah dibawa ke mana-mana berfungsi seperti bateri AA besar. Pemilik FCEV hanya perlu menukar kartrij hidrogen ini untuk ‘mengisi semula’ kenderaan mereka, yang sekali gus menjimatkan ruang berbanding penggunaan tangki hidrogen yang besar.
Jika teknologi ini berjaya diterapkan dalam kegunaan harian, Toyota mungkin mampu menawarkan alternatif yang lebih praktikal berbanding kenderaan yang menggunakan bateri tetap seperti BEV dan EV.
Pameran di Japan Mobility Show 2024


Kartrij hidrogen mudah alih ini akan dipamerkan di Japan Mobility Show Bizweek 2024 pada 15 Oktober, bersama konsep GR Corolla H2 yang dikuasakan hidrogen. Selain itu, Toyota turut memperkenalkan sistem penyimpanan tenaga ‘sweep’ yang menggunakan bateri daripada kenderaan elektrik dan hibrid yang tidak lagi digunakan.
Sistem ini membolehkan pelbagai jenis bateri dengan tahap kemerosokan prestasi (deterioration) berbeza dimanfaatkan semula untuk memaksimumkan kapasiti penyimpanan tenaga yang masih ada. Toyota percaya teknologi ini akan menyumbang kepada bekalan elektrik yang stabil dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv
