- Berita
- Teknologi
- Ciri 'Mata Tuhan' Didatangkan Standard Pada Semua Model BYD
Ciri 'Mata Tuhan' Didatangkan Standard Pada Semua Model BYD
‘Mata Tuhan’ akan disematkan ke dalam model BYD? Jangan salah faham, kerana ‘mata’ yang dimaksudkan ialah sistem bantuan pemanduan pintar (ADAS) terbaru BYD yang dinamakan “God’s Eye.”
Sistem ini dilaporkan akan disediakan pada semua model BYD termasuk model mampu milik seperti Seagull yang dijual pada harga RMB 69,800 (~RM43,000).
Teknologi ini akan tersedia dalam tiga peringkat berbeza, dengan setiap satu menggunakan sehingga tiga sensor LiDAR bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan pemanduan.
Tiga Tahap “God’s Eye” – Dari Asas Hingga Tercanggih
Tahap 1: “God’s Eye C” – Sistem Asas untuk Model BYD
Versi asas, “God’s Eye C”, akan dipasang pada model peringkat permulaan BYD. Sistem ini terdiri daripada tiga kamera utama di belakang cermin hadapan, dikuasakan oleh sistem DiPilot 100 dengan keupayaan pemprosesan 100 TOPS (trillion operasi sesaat).
Selain itu, sistem ini turut dilengkapi dengan 12 kamera (termasuk pandangan hadapan, panorama dan sekeliling), 5 radar gelombang milimeter untuk pandangan 360 darjah, serta 12 sensor ultrasonik yang mampu mengesan halangan dengan ketepatan tinggi.
Tahap 2: “God’s Eye B” – Sistem Pertengahan dengan LiDAR
Bagi kenderaan jenama premium, Denza dan beberapa model flagship BYD, sistem “God’s Eye B” akan diperkenalkan. Ia hadir dengan satu sensor LiDAR bagi meningkatkan tahap ketepatan pengesanan objek.
Sistem ini menggunakan DiPilot 300, dengan keupayaan pemprosesan 300 TOPS, menjadikannya lebih berkuasa berbanding versi asas.
Baca: Denza D9 Bakal Dilancarkan 20 Februari Ini – Harga Sekitar RM280K?
Tahap 3: “God’s Eye A” – Teknologi Pemanduan Paling Canggih
Versi paling maju, “God’s Eye A”, direka untuk jenama mewah BYD seperti YangWang. Ia menggunakan tiga sensor LiDAR dan dikuasakan oleh DiPilot 600, dengan keupayaan pemprosesan 600 TOPS.
Untuk membuktikan keupayaannya, BYD telah mempamerkan sebuah supercar elektrik Yangwang U9 yang berjaya melengkapkan satu pusingan penuh di Litar Antarabangsa Hunan Zhuzhou, pada waktu siang dan malam tanpa pemandu!
BYD Kini Seiring Pesaing Dalam Teknologi Pemanduan Pintar
Sebelum ini, sistem bantuan pemanduan BYD sering dianggap ketinggalan berbanding pesaing di China. Namun, dengan pelancaran “God’s Eye”, syarikat ini kini semakin hampir untuk menyaingi jenama lain dalam industri.
Pengerusi BYD, Wang Chuanfu, menekankan bahawa syarikatnya mempunyai kelebihan dalam pengumpulan data dan kepakaran tenaga kerja. Dengan 110,000 jurutera, termasuk 5,000 pakar khusus dalam pemanduan pintar, BYD kini memiliki pangkalan data kenderaan terbesar di China.
Pada tahun 2024, jumlah latihan pemanduan pintar BYD telah mencapai 72 juta km sehari, membolehkan sistem mereka berkembang dengan pantas. Wang juga meramalkan bahawa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, teknologi pemanduan pintar akan menjadi satu keperluan utama bagi pembeli kenderaan baharu.
21 Model BYD Bakal Dilengkapi “God’s Eye” Tanpa Caj Tambahan
Sebanyak 21 model BYD termasuk dari siri Dynasty, Ocean, Denza dan YangWang, bakal menerima sistem “God’s Eye” secara standard. Berbeza dengan Tesla, semua model ini akan dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan secara percuma tanpa memerlukan bayaran tambahan.
Baca: BYD Atto 3 2024 Terima Penarafan "Tidak Disyorkan", Tapi Ada Sebabnya
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv