- Berita
- Pandu Uji
- Sudah Diuji: Kia Sportage CKD 2025
Tahun 2024 menyaksikan pasaran automotif tempatan dipenuhi dengan pelbagai SUV segmen C baharu, daripada jenama Jepun sehinggalah jenama dari China yang agak unik.
Di antara kumpulan SUV segmen C ini, terdapat satu lagi pesaing baharu dari Korea yang hadir agak lewat, iaitu Kia Sportage generasi kelima.
Ia yang dipasang secara tempatan di kilang Inokom Kulim, Kedah ini menjanjikan sebagai pilihan alternatif yang menarik berbanding SUV segmen C Jepun yang mendominasi pasaran, selain memberikan tahap keyakinan yang lebih tinggi berbanding jenama-jenama dari China.
Untuk menguji keupayaan sebenar Kia Sportage CKD baharu, kami dijemput oleh perintis syarikat Bermaz Auto Berhad (BAuto), untuk menyertai sesi pandu uji khas selama sehari baru-baru ini.
Sesi pandu uji ini merangkumi pelbagai jenis permukaan jalan, daripada lebuh raya sehinggalah jalan berliku dan berbukit.
Ini pengalaman kami sepanjang melakukan pandu uji Kia Sportage yang dipasang dari Kedah.
PENGALAMAN PEMANDUAN:
Untuk makluman anda, Kia Sportage CKD ini ditawarkan dalam empat varian, tetapi sepanjang sesi pandu uji sehari ini, kami hanya berpeluang mencuba dua daripadanya, iaitu varian pertengahan 2.0 High dan varian tertinggi 1.6T High AWD.
Bermula dengan varian pertengahan, Sportage ini dikuasakan oleh enjin petrol SmartStream 2.0-liter 4-silinder yang mampu menghasilkan 156 HP dan tork 192 NM tork. Kesemua kuasa dihantar sepenuhnya ke roda hadapan (FWD) melalui transmisi automatik konvensional 6-kelajuan.
Sementara itu, model 1.6T High AWD pula disumbat dengan enjin 1.6 liter 4-silinder pengecas turbo dan digandingkan dnegan kotak gear automatik DCT 7-kelajuan untuk membolehkan ia menghamburkan kuasa setakat 177 HP dan 265 NM.
Menjengah luarannya, kedua-dua model ini kelihatan agak serupa, namun hanya terdapat sedikit perbezaan yang ketara iaitu lampu utama LED (LED standard untuk varian 2.0 liter, , projektor LED untuk (AWD 1.6T), reka bentuk roda (17-inci untuk 2.0 liter, 18-inci untuk 1.6T High AWD), dan ada lencana 1.6T AWD AX.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan pada bahagian kabinnya untuk kedua-dua varian berkenaan.
Seperti biasa, varian tertinggi dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan standard.
Antaranya adalah paparan infotainmen 12.3 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, kluster instrumen digital 12.3 inci dengan Pemantau Titik Buta, panel kawalan penyaman udara digital, serta sistem audio premium 8-pembesar suara Harman Kardon, dan banyak lagi.
Sementara itu, varian pertengahan 2.0 High pula dilengkapi dengan skrin infotainmen lebih kecil 8 inci yang masih menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, kluster instrumen separa digital dengan skrin TFT 4.2 inci, serta sistem audio standard 6 pembesar suara
Bagaimanapun, kedua-dua varian Sportage 2.0 High dan 1.6T High AWD menerima pakej keselamatan aktif yang sama, termasuk fungsi ADAS seperti Bantuan Suluh Tinggi, Amaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak-Perlanggaran Trafik Melintas Belakang (RCCA), Sistem Bantuan Mengelak Lorong, Kawalan Jelajah Pintar dan banyak lagi
Untuk makluman, sesi pandu uji ini dibahagikan kepada tiga bahagian yang man sesi pertama bermula dari Glenmarie hingga ke Kampung Bukit Tinggi melalui beberapa lebuh raya.
Menerusi sesi ini, kami berpeluang menguji keupayaan Sportage CKD sebagai kenderaan untuk urusan harian di kawasan dan juga untuk jarak jauh.
Ketika melakukan sesi pertama, kami berpeluang memandu Sportage 2.0 High .
Ketika menelusuri laluan lebuh raya yang diturap dengan baik, pemanduan terasa lancar dan selesa, malah mampu memecut dengan stabil walaupun melebihi had laju lebuh raya.
Namun, sebaik sahaja memasuki laluan mendaki di Lebuh Raya KL-Karak, enjin 2.0 liter tanpa pengecas turbo ini mula terasa agak lemah dan kurang bertenaga, manakala transmisi 6-kelajuan automatik juga terasa sedikit lambat dalam penukaran gear.
PERJALANAN KEDUA:
Untuk sesi kedua perjalanan, kami membuat keputusan untuk keluar dari lebuh raya dan memilih laluan yang menghidangkan pemandangan hijau dengan melalui jalan lama Gombak menuju ke Janda Baik.
Di sinilah Sportage menunjukkan taring sebenarnya kerana ketika melalui selekoh tajam dan jalan berliku, SUV segmen C ini terasa tangkas dan stabil, walaupun keselesaan penumpang belakang bukanlah yang terbaik.
Ini mungkin berpunca daripada tekanan tayar yang berlebihan.
Walaupun Sportage 2.0 High kadangkala terasa sedikit kurang bertenaga, kami berpendapat bahawa SUV ini masih merupakan pilihan yang baik bagi mereka yang mencari kenderaan untuk kegunaan harian .
PERJALANAN KETIGA
Perjalanan yang terakhir ini membabitkan perjalanan dari Janda Baik ke Serendah, Di sini kami menukar Sportage 2.0 High dengan varian tertinggi, Sportage 1.6T High AWD.
Secara serta-merta, pemanduannya terasa lebih responsif dan bertenaga, disebabkan penggunaan enjin 1.6-liter turbo petrol yang lebih berkuasa.
Biarpun semasa pendakian bukit dari Janda Baik ke Gohtong Jaya, Sportage tidak mengalami sebarang kelewatan dalam pertukaran gear atau kekurangan kuasa.
Ini kerana dengan transmisi DCT 7-kelajuan terasa jauh lebih lancar dan responsif berbanding 6- kelajuan yang digunakan pada varian 2.0 High.
Apa yang menarik ketika menuju ke tapak perkhemahan di Serendah, kami berpeluang memandu Sportage merentasi sungai yang agak cetek . Jarak kelegaan tanahnya sekitar 181 mm, sebenarnya sudah membuktikan Kia Sportage boleh meredah air cetek dengan cukup baik.
Apapun, kami menasihatkan agar tidak membawa Sportage ke laluan off-road di hutan kerana SUV crossover ini sebenarnya direka untuk kegunaan harian dan bukannya untuk aktiviti lasak.
Satu perkara yang kami suka tentang Sportage CKD ini ialah ia sebenanrta tidak seperti kebanyakan SUVyang lain kerana Kia masih mengekalkan banyak kawalan fizikal dan butang untuk fungsi penting seperti kawalan iklim, pilhan mod pemanduan, dan banyak lagi.
Kehadiran butang-butang ini sebenarnya mahu mengelakkan pemandu daripada bergantung sepenuhnya pada skrin, sekali gus membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada jalan raya.
Di sebalik pandu uji singkat ini, kami mendapati Kia Sportage CKD 2025 sebagai alternatif yang cukup baik kepada model C-SUV biasa, terutamanya jika anda memilih varian 1.6T High AWD .
Dengan reka bentuk yang berani dan menonjol, ia sebenarnya menawarkan kabin yang agak luas serta serba lengkap.
Bagi kami, prestasi pemanduan dan pengendalian yang agak memuaskan membuatkan kami berani bertaruh bahawa Kia Sportage ini adalah sebuah SUV yang serba boleh dan berbaloi untuk dibeli.
Bagi yang berminat, BAuto ada menawarkan pakej waranti yang cukup komprehensif .
Semua varian Sportage CKD hadir dengan waranti kenderaan 5 tahun atau 100,000 KM serta pakej penyelenggaraan berjadual percuma selama 5 tahun atau 100,000 KM.
Berikut adalah varian dan harga:
Gallery





















Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari