- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI RINGKAS] 6 Ciri Ini Menyerlah Pada Leapmotor C10
[PANDU UJI RINGKAS] 6 Ciri Ini Menyerlah Pada Leapmotor C10
Sempena hari yang istimewa untuk kaum wanita yang cantik, manis dan ayu, Leapmotor Malaysia hari ini telah menganjurkan Sesi Pandu Uji Eksklusif dan Majlis Makan Tengah Hari, Hari Wanita bersama Leapmotor C10.
Untuk makluman pembaca, Leapmotor C10 adalah sebuah kenderaan elektrik (EV) yang telah dilancarkan pada Oktober tahun lalu
Walaupun masih agak ‘muda’ di pasaran berbanding pesaingnya, jenama ini telah mencatatkan prestasi jualan yang cukup memberangsangkan di kebanyakan pasaran global, termasuk Malaysia setelah mencatatkan hasil jualan keseluruhan mencecah hampir 300,000 unit! Apa yang istimewanya tentang model ini sehingga berjaya mencuri hati ratusan ribu pengguna?
Dalam sesi pandu uji hari ini penulis berpeluang untuk merasai sendiri keistimewaan Leapmotor C10 walaupun hanya untuk beberapa jam. Teruskan membaca untuk kupasannya...
#1 Tempat Duduk Empuk Seperti Kereta Mewah
Perkara pertama yang menarik perhatian penulis sebaik memasuki kabin Leapmotor C10 ialah tempat duduknya yang selesa. Untuk sebuah model yang dijual pada harga agak berpatutan, RM159,000 kabinnya terasa mewah, dengan penggunaan material sentuhan lembut pada pelbagai sudut.
Fungsi pengudaraan tempat duduk turut ditawarkan untuk keselesaan tambahan dalam cuaca Malaysia yang kadangkala panas terik.
#2 Lapang, Tidak 'Lemas' Untuk Perjalanan Jauh
Diposisikan dalam segmen D, Leapmotor C10 berukuran 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,680 mm tinggi dengan jarak roda 2,285 mm. Ruang kaki dan kepala cukup lapang. Kalau tercari-cari SUV elektrik yang sempurna untuk keluarga, jangan terlepas pandang C10.
Keluasan ini sebenarnya tidak jauh berbeza daripada Tesla Model Y yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada 18 Februari lalu. Jika dibandingkan, Model Y dijual pada harga yang kira-kira RM36,000 lebih tinggi.
#3 Praktikal, Setiap Ruang Dimanfaatkan
Bukan sedikit, setiap ruang dioptimumkan penggunaannya. Secara keseluruhannya, ada 18 ruang simpanan barangan dan 8 pemegang cawan di sekitar kabin. Ruang kargo pula berkapasiti 435 liter, cukup luas untuk keperluan harian. Masih tak cukup? Boleh diperluaskan lagi sehingga 1,410 liter sekiranya kerusi barisan kedua ditumbangkan. Memang luas!
#4 Teknologi Pintar di Sebalik Penggunaan Tenaga yang Rendah
Untuk sesi pandu uji hari ini, kami berpeluang untuk membawa EV ini dari KL ke Putrajaya dan kembali semula ke KL dengan jarak perjalanan secara keseluruhannya kira-kira 80 km. Memandangkan kami banyak menggunakan laluan bandar dengan trafik yang agak padat, penggunaan tenaga adalah di tahap yang agak rendah kerana banyak pembrekan dibuat dari masa ke masa.
Sistem Leapmotor C10 menunjukkan bahawa sejak kali terakhir ia dicas, jentera ini hanya menggunakan sekitar 12.7 kWj/100 km!
Turut membantu penjimatan adalah penggunaan mod pemanduan Eco yang membuatkan sistem Regenerative Braking berfungsi di tahap lebih tinggi (Strong) untuk janaan semula tenaga bateri EV secara automatik setiap kali kereta dibrek.
Ciri One Pedal Mode juga disediakan, dengan ini, Regenerative Braking berlaku setiap kali pedal pecutan dilepaskan, tanpa perlu menekan brek.
#5 Pemanduan yang Selesa & Stabil
Dalam perjalanan pergi, penulis sempat membuat pecutan dalam waktu yang singkat di lebuh raya. Kereta terasa stabil kekal ‘melekat’ di jalan walau dipecut laju. Untuk pengetahuan pembaca, sistem suspensi Leapmotor C10 ditala oleh Maserati, dan casis pula oleh pasukan Stellantis di Balocco, Itali, lokasi yang sama untuk ujian jentera Maserati.
Brek pula terasa agak sensitif pada peringkat awal tetapi memerlukan sedikit lebih tekanan apabila perlu memberhentikan kenderaan pada kelajuan tinggi. Mungkin sekiranya lebih lama masa dapat diluangkan untuk memandu kereta ini, pemandu dapat lebih ‘menjiwai’ karakter brek ini, dan kawalan kenderaan terasa lebih natural dan mudah. Hanya perlukan kebiasaan.
#6 Lima Bintang Euro NCAP
Bukan EV biasa, C10 menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP! SUV ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) yang termasuk kawalan pelayaran adaptif (ACC), pengekalan lorong (LCC), amaran gangguan pemandu (ADDW) dan sebagainya.
Amaran daripada sistem ADAS terasa agak ‘agresif’ di awal pemanduan kerana hampir semua ciri diaktifkan dan mungkin kerana pemandu sudah terbiasa ‘mengawal’ kereta sendiri tanpa bantuan sistem. Isu kecil ini boleh diselesaikan dengan mematikan beberapa ciri atau mengurangkan tahap sensitivitinya melalui skrin tengah, cukup fleksibel.
Berbaloi atau tidak untuk dimiliki?
Secara keseluruhannya, Leapmotor C10 menawarkan pakej yang sangat menarik untuk sebuah SUV elektrik keluarga. Dengan harga yang kompetitif, model ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang selesa dan stabil, ruang kabin yang luas dan praktikal, serta tahap penggunaan tenaga yang agak baik. Ciri keselamatan yang disematkan juga cukup canggih!
Walaupun terdapat sedikit kekurangan seperti amaran ADAS yang agak ‘agresif’ dan brek yang memerlukan masa untuk penyesuaian, isu-isu ini bukanlah penghalang besar. Kebanyakannya boleh diatasi dengan mudah setelah pengguna terbiasa dengan ciri-cirinya.
Jadi, adakah Leapmotor C10 berbaloi? Pada pendapat penulis, jawapannya ya, terutamanya jika anda mencari SUV elektrik yang selesa, praktikal, dan dilengkapi dengan teknologi terkini pada harga yang kompetitif.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv