- Berita
- EV
- XPeng SEPA3.0: Cas 80% Dalam 12 Minit, Jarak Cecah 1,400 KM!
Jenama automotif China, XPeng, baru-baru ini mengadakan acara berprestij 2025 Brand Night yang turut disertai dengan sesi taklimat teknikal bertajuk “Driven by Passion” sempena XPeng Global Experience Day.
Dalam sesi eksklusif itu, XPeng memperincikan inovasi terbarunya, platform SEPA3.0, yang bakal menggantikan platform sedia ada, SEPA2.0, yang kini menjadi asas kepada model seperti XPeng G6 dan X9.
Evolusi Teknologi EV Dari SEPA2.0 kepada SEPA3.0
Platform SEPA2.0 telah membawa nama XPeng ke peringkat global menerusi keupayaan binaan elektrikal 800 volt yang membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 280 kW. Model seperti G6 boleh dicas dari 20% ke 80% dalam masa kurang 20 minit.
Namun kini, SEPA3.0 menjanjikan peningkatan yang signifikan bukan sekadar dari aspek pengecasan, malah dalam kecekapan tenaga dan jarak pemanduan.
Sokong BEV dan REEV
Salah satu pencapaian penting teknologi SEPA3.0 ialah keupayaannya untuk menyokong dua jenis sistem kuasa elektrik iaitu kenderaan elektrik bateri (BEV) yang boleh menawarkan jarak sehingga 430 km sekali cas dan kenderaan elektrik penambah jarak (REEV) yang mampu capai sehingga 1,400 km melalui gabungan kuasa bateri dan enjin.
Cas 10-80% Hanya 12 Minit
Melalui kadar pengecasan ultra-pantas 5C, SEPA3.0 membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa hanya 12 minit. Ini satu peningkatan besar berbanding sistem sedia ada yang ditawarkan pada model G6 dan X9, sekaligus membuktikan XPeng berada di hadapan dalam perlumbaan teknologi EV global.
Bateri ‘Kebal’
XPeng turut menitikberatkan aspek keselamatan dan ketahanan bateri. Antara ciri baharu yang ditawarkan ialah lapisan perlindungan khas yang mampu menahan tekanan ekstrem yang bersamaan dengan berat 20 ekor gajah. Selain itu, bateri terbarunya juga menerima penarafan IP68 untuk ketahanan terhadap air dan habuk.
Baterinya juga kini menjanjikan prestasi jangka panjang yang mana dengan penggunaan biasa dalam tempoh tujuh tahun, kapasiti bateri berkurang lebih rendah daripada 10%.
Enjin Penambah Jarak Senyap Berasaskan AI
Untuk model REEV, XPeng memperkenalkan enjin penambah jarak berkuasa AI yang hanya berfungsi apabila diperlukan. Apa yang menarik, operasi enjin ini begitu senyap, hanya menambah kira-kira 1dB kepada kebisingan kabin, hampir tidak dapat dikesan oleh telinga manusia biasa.
Masih Ada Tempat Untuk REEV dan Hibrid
Walaupun dunia kini lebih memberi tumpuan kepada kenderaan dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya, XPeng menegaskan bahawa REEV dan hibrid masih relevan, terutama dalam konteks pemanduan jarak jauh dan keperluan pengguna dalam dunia sebenar.
Secara keseluruhan, platform SEPA3.0 bukan sekadar naik taraf teknikal, tetapi satu strategi pintar yang menggabungkan kelebihan sistem elektrik dan enjin penambah jarak secara serentak.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv