- Berita
- Teknologi
- Kemas Kini OTA XPENG XOS 5.4 Kini Tersedia Termasuk Malaysia – Sistem Keselamatan Lebih Menyeluruh, Ciri Personalisasi Lebih Banyak
Kemas Kini OTA XPENG XOS 5.4 Kini Tersedia Termasuk Malaysia – Sistem Keselamatan Lebih Menyeluruh, Ciri Personalisasi Lebih Banyak
XPeng secara rasmi melancarkan kemas kini perisian XOS 5.4 over-the-air (OTA) yang menawarkan penambahbaikan pada aspek keselamatan, pemanduan pintar dan ciri personalisasi untuk pemilik kenderaannya di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Walaupun XPeng Malaysia belum mengumumkan secara rasmi mengenai penaiktarafan sistem operasi terbaru ini, beberapa pemilik XPeng G6 di media sosial mengesahkan bahawa kemas kini ini boleh diakses oleh pemilik kenderaan tempatan.
Kenderaan Sentiasa Dalam Pemantauan
Antara ciri utama dalam kemas kini ini ialah AI Guard System, pakej keselamatan yang dibangunkan untuk meningkatkan perlindungan kenderaan. Sistem Sentry Mode akan memantau dan merakam aktiviti mencurigakan di sekitar kenderaan yang tidak berpenumpang, seperti pergerakan luar biasa atau kehadiran ‘sesuatu’ dalam masa yang lama.
Apabila diaktifkan, sistem ini akan menghantar amaran terus kepada pemilik melalui aplikasi XPeng. Rakaman kejadian akan disimpan dalam peranti USB yang disambungkan ke kenderaan.
Selain itu, ciri Driving Recorder (Dashcam) turut diperkenalkan untuk merakam insiden semasa perjalanan. Namun, XPeng menyatakan bahawa ciri ini mungkin tidak tersedia di sesetengah pasaran disebabkan oleh peraturan tempatan.
Pembantu AI Pelbagai Bahasa
Kemas kini XOS 5.4 turut meningkatkan fungsi pembantu AI onboard, termasuk sokongan pelbagai bahasa seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Kantonis dan Thai. Namun, Bahasa Malaysia belum lagi dimasukkan.
Teknologi Pemanduan Pintar Yang Diperbaik
Ciri baharu seperti Smart Speed Limit Recognition membolehkan sistem mengenal pasti papan tanda lalu lintas yang kritikal, seperti larangan masuk atau penanda jalan keluar, meningkatkan keselamatan pemanduan.
Skrin Belah
Personalized Operating System 2.0 kini menyokong fungsi skrin belah (split-screen multitasking) dan menawarkan lebih banyak pilihan susun atur untuk infotainmen melalui sistem XDock.
Pengaktifan Ciri Penting Secara Automatik
Ciri X-Combo pula menjadikan beberapa fungsi kenderaan automatik seperti pengaktifan kunci keselamatan kanak-kanak apabila gear ditukar ke mod pemanduan.
Visual Animasi Yang Indah
Selain itu, visual animasi pengecasan yang diinspirasikan daripada fenomena cahaya utara (northern light) turut diperkenalkan, dengan paparan jarak pemanduan yang lebih tepat berdasarkan piawaian NEDC.
XPeng Kekal Komited Terhadap Mobiliti Pintar
XPeng menegaskan bahawa pelancaran kemas kini XOS 5.4 mencerminkan komitmen mereka dalam membangunkan mobiliti pintar berasaskan AI. Penekanan juga diberikan pada inovasi yang selamat, praktikal dan memenuhi keperluan peribadi pengguna untuk pengalaman pemanduan yang lebih terkini.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv