- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] 9 Sebab Kenapa Honda City e:HEV RS Facelift Kereta Balik Kampung Terbaik
[PANDU UJI] 9 Sebab Kenapa Honda City e:HEV RS Facelift Kereta Balik Kampung Terbaik
Dalam keadaan trafik yang tidak menentu, permukaan jalan yang pelbagai dan keterikan matahari negara kita, kereta yang selesa, selamat dan jimat minyak cukup penting untuk perjalanan jarak jauh seperti pulang ke kampung. Di sinilah Honda City e:HEV RS Facelift tampil sebagai pilihan ideal untuk pemandu moden yang mahukan lebih daripada sekadar rupa.
Sempena Hari Raya Aidilfitri awal bulan lepas, CariCarz berpeluang untuk menggunakan sedan segmen B ini selama seminggu, berikut adalah sembilan sebab kenapa City e:HEV RS ini kereta yang terbaik untuk dijadikan teman perjalanan pulang ke kampung bersama keluarga.
1. Kombinasi Gaya Sporty & Elegan
Dari segi rekaan, Honda City e:HEV RS sedap dipandang mata, walaupun tidaklah next level stylo seperti Civic, garis badannya di bahagian sisi membuatkannya kelihatan elegan, sementara perincian seperti gril bercorak sarang lebah eksklusif untuk versi RS, diffuser belakang dan spoiler, membuatkannya kelihatan menyerlah berbanding kebanyakan sedan dalam segmennya.
2. Ruang Kabin Yang Luas & Praktikal
Honda City memang terkenal dengan keluasan kabinnya. Tiga dewasa boleh duduk dengan selesa di belakang. Ruang kaki dan kepala cukup selesa untuk saiz badan orang Asia, tetapi mungkin kurang selesa untuk mereka yang berbadan tinggi sehingga 6 kaki.
Ruang butnya juga cukup luas, dengan keluasan 410 liter, penulis dapat memuatkan sekitar tiga ke empat bagasi dan beg berukuran besar serta beberapa lagi beg kecil.
3. Keselesaan yang Dirasai Semua Penumpang
Tempat duduk yang direka semula untuk versi facelift ini menjadikannya lebih empuk dan ergonomik sama ada di bahagian pemandu, penumpang depan mahupun di belakang.
Untuk raya, penulis telah membawa keluarga menaiki Honda City dari KL ke Sabak Bernam sebelum ke Kuantan pada raya kedua dan ke Kuala Terengganu pada raya ketiga. Tiada sebarang 'aduan' daripada ahli keluarga yang sudah terbiasa menaiki Estima dan HR-V sebagai kereta keluarga. Semuanya menyatakan rasa selesa.
Kehadiran sistem penyaman udara untuk tempat duduk belakang juga menambahkan keselesaan. Duduk depan atau belakang, "make-up tak cair” walaupun cahaya mentari terik di luar.
4. Pemandu ‘Tak Pening Kepala’
Kehadiran butang kawalan fizikal untuk pelbagai ciri penting kenderaan memudahkan akses semasa sedang memandu, berbeza dengan kebanyakan kereta moden lain yang ‘menghilangkan’ butang kawalan yang mana segalanya perlu ‘digali’ di dalam skrin infotainmen.
Untuk perjalanan jarak jauh, kadangkala pemandu dibiarkan bersendirian apabila semua penumpang lain lena dibuai mimpi. Kemudahan untuk mengakses ciri-ciri seperti pendingin hawa dan audio cukup penting supaya pemandu kekal relaks sepanjang perjalanan. Turut memudahkan pemandu adalah kehadiran ciri auto brake hold dan brek parkir elektronik yang hanya ditawarkan pada varian ini.
Mengenai skrin infotainmennya, ya, boleh disambungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay, tanpa memerlukan wayar. Tetapi, kekurangan skrin ini adalah apabila sinaran matahari terlalu kuat, sukar untuk melihat apa yang dipaparkan dengan jelas.
5. Enjin Hibrid yang Canggih
Sistem e:HEV Honda (Sumber: Honda Global)
City e:HEV RS menampilkan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti sebelum ini di mana sistem hibrid yang digunakan bertukar secara automatik antara tiga mod pemanduan iaitu antara Electric Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive, bergantung kepada situasi dan gaya pemanduan. Pertukaran antara ketiga-tiga mod ini berlaku secara lancar tanpa memerlukan sebarang input daripada pemandu.
Sistem ini menggabungkan dua motor elektrik dan enjin petrol 1.5 liter Atkinson Cycle DOHC i-VTEC. Di atas kertas, motor elektrik utama menghasilkan 108 hp (109 ps) dan tork 253 Nm, disalurkan terus kepada roda hadapan untuk pemanduan harian.
Sementara itu, enjin petrol pula yang memiliki kuasa sebanyak 97 hp (98 ps) dan tork 127 Nm bertindak sebagai penjana tenaga pada kebanyakan masa, tetapi boleh clutch-in secara langsung pada kelajuan tinggi melalui transmisi e-CVT satu kelajuan yang cukup efisien.
Berdasarkan paparan power flow pada skrin instrumen, aliran kuasa dan pengecasan sistem elektrik dapat dilihat dengan jelas.
Di awal pemanduan dan pada kelajuan rendah, kereta akan meluncur dengan hanya menggunakan tenaga elektrik. Semasa kereta dipecut atau mendaki, sistem beralih kepada mod hibrid, kuasa elektrik masih digunakan, tetapi ketika ini enjin petrol dihidupkan untuk menjana tenaga elektrik. Enjin petrol akan mula berfungsi sebagai penggerak jentera sepenuhnya, apabila pedal ditekan dengan lebih agresif. Menambahkan lagi perisa, ada bunyi ‘garau’ enjin yang membangkitkan adrenalin.
6. Berkuasa Tetapi Jimat Minyak
Jika dibandingkan dengan versi petrol, varian hibrid menjanjikan prestasi yang lebih mantap dengan masa pecutan 0-100 km/j hanya 9.9 saat, lebih pantas berbanding varian petrol V/RS pada 10.4 saat dan S/E pada 10.2 saat.
Bagaimanapun, sebagai sebuah model hibrid dengan sistem i-MMD yang canggih seperti yang dijelaskan tadi, ia menjanjikan kadar penjimatan bahan api yang lebih tinggi. Berdasarkan angka di atas kertas, model hibrid mencatatkan penggunaan minyak hanya 3.6 liter/100 km atau 27.8 km/liter berbanding 5.6 liter/100 km atau 17.9 km/liter pada versi petrol.
Dalam dunia sebenar, berdasarkan pengalaman sepanjang sesi pandu uji, penulis berjaya mencatatkan kadar penggunaan serendah 20.7 km/liter dengan sesekali pecutan dibuat semasa memotong kenderaan depan, dengan kelajuan tertinggi 120 km/j dan kelajuan biasa antara 100-110 km/j dalam Eco Mode.
Dalam perjalanan dengan gaya pemanduan sedikit agresif, dengan kelajuan tertinggi 130 km/j tanpa Eco Mode, penulis berjaya mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 19 km/liter.
Dengan isian penuh hanya sekitar RM65 selepas tinggal 1 bar, Honda City e:HEV RS boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 735 km.
Dengan isian minyak penuh, jentera ini dapat mencapai jarak perjalanan sehingga 735 km! Untuk makluman, minyak diisi semasa tangki hanya tinggal 1 bar sahaja, dan dengan isian sekitar RM65, dapat memenuhkan satu tangki.
7. Kekal Stabil Dipandu Laju
Satu lagi kelebihan versi hibrid ini adalah berat tambahan dari sistem bateri yang menjadikan kereta terasa lebih stabil pada kelajuan tinggi. Ini memberi lebih keyakinan terutama ketika membuat pecutan dengan kelajuan antara 110–130 km/j di lebuh raya.
Jika dibandingkan dengan varian bukan hibrid, varian tertinggi ini memiliki berat 1,250 kg, lebih tinggi daripada varian tertinggi versi petrol pada 1,139 kg.
8. Kualiti NVH Memuaskan
Kadar serapan NVH atau bunyi, gegaran dan kekasaran kereta cukup baik tetapi bukanlah di tahap ‘premium’, masih terdengar bunyi angin, tayar dan gegaran semasa kereta dipecut laju terutamanya sekitar 120 km/j. Namun secara keseluruhannya, untuk penggunaan harian yang tidak terlalu agresif, ruang kabinnya cukup senyap dan selesa.
Kesemua varian Honda City didatangkan dengan set sistem suspensi yang sama iaitu MacPherson Strut di hadapan dan Torsion Beam di belakang. Sistem ini dirasakan cukup baik untuk menyerap hentakan atau laluan yang tidak rata, tanpa gegaran yang ketara.
Semasa kereta dihidupkan, enjin petrol akan kedengaran terutamanya dari luar atau semasa enjin masih sejuk di awal pagi. Ketika ini, enjin akan bekerja sedikit keras untuk mengecas bateri. Sebaik cas bateri mencukupi dan semasa kereta mula digerakkan pada kelajuan rendah, keadaan agak senyap, seolah-olah berada dalam sebuah kenderaan elektrik (EV).
Di saat banyak kuasa enjin diperlukan seperti semasa pecutan mencecah 120 km/j dan ke atas, bunyi deruman enjin agak jelas kedengaran.
9. Dijamin Selamat Tetapi…
Salah satu ciri penting jentera yang ingin digunakan untuk dibawa pulang ke kampung ialah ciri keselamatan. Untuk versi facelift ini, semua varian dilengkapi Honda Sensing yang termasuk ciri seperti amaran pelanggaran hadapan (FCW), sistem pembrekan mitigasi pelanggaran (CMBS), sistem bantuan kekal lorong (LKAS), amaran keluar lorong (LWD), mitigasi pergerakan keluar jalan (RDM), kawalan jelajah adaptif (ACC), lampu suluh tinggi automatik (AHB) dan notifikasi pergerakan kenderaan hadapan (LCDN).
Yang menariknya, khas bagi varian e:HEV ini, terdapat teknologi tambahan, iaitu Low Speed Follow (LCDN) yang membolehkan kenderaan bergerak atau membrek secara automatik pada jarak yang selamat daripada kereta hadapan tanpa input pemandu. Ciri ini menarik untuk dimanfaatkan terutama semasa kesesakan jalan.
Bagaimanapun, ciri canggih seperti kamera pandangan 360 darjah tidak ditawarkan, berbeza dengan pesaingnya, Toyota Vios.
Penulis juga merasakan ciri Honda LaneWatch iaitu kamera yang memaparkan sisi kiri kenderaan pada skrin tengah agak mengganggu, walaupun paparan boleh dimatikan dengan menekan butang pada hujung tuil signal. Kerana beberapa kali ia berlaku semasa penulis sedang melihat peta navigasi. Sistem ini seeloknya digantikan dengan sistem pemantauan titik buta (BSM) yang tidak terlalu intrusif.
Berbaloikah untuk Dimiliki?
Sekiranya Honda City e:HEV RS yang ditawarkan di pasaran pada harga RM111,900 ini kedengaran terlalu mahal, beberapa pilihan lagi turut ditawarkan, dengan harga bermula daripada RM84,900 untuk varian asas S, RM89,900 untuk varian E, RM94,900 bagi varian V dan RM99,900 untuk RS versi petrol.
Namun, anda akan kehilangan beberapa ciri seperti teknologi hibrid canggih, i-MMD yang menjanjikan penjimatan minyak yang agak tinggi perbezaannya (atas kertas) iaitu 3.6 liter/100 km (hibrid) vs 5.6 liter/100 km (petrol). Selain itu, pakej Honda Sensing juga lebih padat pada versi tertinggi. Ia juga hadir dengan ciri tambahan seperti auto brake hold dan brek parkir elektronik.
Jika dibandingkan dengan varian tertinggi pesaingnya, Toyota Vios 1.5G, yang juga pernah kami uji sebelum ini, Honda City e:HEV RS mungkin kelihatan jauh lebih mahal, kerana Vios hanya dijual pada harga RM95,500. Namun, Vios juga tidak hadir dengan teknologi hibrid, tetapi ada kelebihannya yang tersendiri seperti sistem infotainmen yang lebih moden, kamera 360 darjah dan pemantau titik buta (BSM).
Masih Tak Rugi Beli Honda City e:HEV RS Sebab...
Pembelian model ini didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, termasuk servis buruh percuma sebanyak lima kali dalam tempoh lima tahun atau sehingga 100,000 km, serta waranti bateri lithium selama lapan tahun tanpa had perbatuan.
Jadi apa pendapat anda?
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv