- Berita
- Pandu Uji
- Chery Tiggo Cross Bakal Dilancar, Ada 2 Varian, Harga Bawah RM100K!
Chery Tiggo Cross Bakal Dilancar, Ada 2 Varian, Harga Bawah RM100K!
Chery Malaysia menjemput kami untuk memandu uji varian terbaharunya iaitu Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo dan satu lagi Chery 1.5 Hybrid Chery Super Hybrid (CSH) di Taman PARC, Subang Jaya semalam. Bagaimanapun, disebabkan terdapat dua slot pagi dan petang, pandu uji untuk kedua-dua varian ini hanya dibuat selama 12 minit.
Bagi yang tidak tahu atau mungkin ada yang terlepas pandang mengenai Chery Tiggo Cross, varian Chery Tiggo Cross Hybrid CSH sebenarnya sudah pun didedahkan kepada umum sempena pameran Malaysia Autoshow 2025 yang diadakan di MAEPS, Serdang pada bulan lepas.
Apa yang terbaharu di sini ialah varian Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo yang didedahkan buat julung kalinya kepada media semalam. Ini bermakna, Chery Malaysia akan menawarkan Chery Tiggo Cross dalam dua varian iaitu Tiggo Cross 1.5 Turbo dan Tiggo Cross 1.5 Hybrid Chery Super Hybrid (CSH).
Sebagai makluman, kedua-dua varian ini sebenarnya dipasang secara tempatan di kilang Inokom di Kulim, Kedah.
Tiggo Cross sudah didedahkan sempena MAS 2025 pada Mei lalu.
Ketika digasak dengan soalan anggaran harga Chery Tiggo Cross ini, saya difahamkan, ia berkemungkinan besar akan dijual di bawah harga RM100,000 sahaja. Bagaimanapun, mengenai waranti dan harga sebenar jentera ini, semuanya akan didedahkan dalam majlis pelancaran yang akan dibuat tidak lama lagi.
Jadi, mungkin ada tertanya-tanya mengenai apa beza Tiggo Cross 1.5 Turbo dan Tiggo Cross 1.5 Hybrid Chery Super Hybrid (CSH)? Malah, ada juga bakal pembeli mungkin sukar untuk membuat keputusan mana satu yang patut dibeli Turbo atau Hybrid?
Berikut adalah perincian kedua-dua varian Tiggo Cross!
LUARAN NAMPAK MACAM KEMBAR!
Bahagian depan Tiggo Cross CSH.
Dari segi dimensi, ukuran saiz kedua-dua varian ini adalah sama. Kedua-duanya berukuran 4,318mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,670 mm tinggi manakala jarak roda pula 2,610 mm. Melihat kepada ukurannya, ini meletakkannya ia sama dengan SUV crossover subkompak lain seperti Honda WR-V, Perodua Ativa, dan Mazda CX-3. Pendek kata, Tiggo Cross adalah pesaing terdekat buat WR-V, Ativa dan juga Proton X50.
Sementara itu, bahagian wajah hadapan kedua-dua varian ini juga sama!
Masing-masing hadir dengan lampu depan jenis LED, ada Follow Me Home, lampu depan automatik, lampu nyalaan siang hari dan lampu belakang jenis LED. Terdapat juga lampu kabus, di bahagian belakang, ada rel bumbung dan spoiler sport di belakang.
Rim CSH bersaiz 17 inci.
Jika melihat perbezaan dari luarannya, sebenarnya tiada langsung perbezaan, cuma rim varian Turbo sebesar 18 inci manakala Hybrid pula rim 17 inci. Beza satu inci!
Bahagian depan Tiggo Cross 1.5 Liter Turbo.
Menjengah bahagian belakang, apa yang membezakan mereka berdua ialah yang Hybrid tertera perkataan HYBRID di bahagian kanan manakala Turbo tiada sebarang plat dipasang di belakang badannya.
KABIN PUN SAMA!
Ketika sesi pandu uji, penulis sempatlah membelek kedua-dua kabin Tiggo Cross. Apa yang membezakannya ialah stereng varian Turbo "dicop" dengan logo Chery manakala Hybrid pula tertera perkataan CHERY di bahagian stereng.
Selain itu, kedua-dua varian menerima tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala tetapi hanya varian Hybrid menerima sokongan lumbar. Malah, varian Hybrid hadir dengan tujuh beg udara manakala Turbo cuma enam beg udara.
Selebihnya, kesemua ciri-ciri dalam kabin ada pada kedua-dua varian. Antaranya seperti skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen kamera panaromik 540 darjah, sambungan Bluetooth, Apple CarPay dan Android Auto, Bantuan Suara Pintar dan masing-masing menerima enam pembesar suara.
Kabin Tiggo Cross 1.5 Liter Turbo.
Kelengkapan lain yang dikongsi bersama untuk kedua-dua varian Tiggo Cross ini adalah roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, terdapat dua port pengecas di depan dan satu port pengecas di belakang, penghawa dingin dua zon dengan liang udara kabin belakang, penghidup enjin jarak jauh, sistem kemasukan tanpa kunci, perehat tangan depan dan belakang, sistem start-stop 12V, ada simbol peringatan untuk penyelenggaraan pengelap cermin automatik dan sebenarnya banyak lagi.
Mengenai ruang butnya, kedua-dua varian seluas 380 liter. Sebelum terlupa, kedua-duanya varian ini juga diberikan tayar ganti. Ini agak menarik kerana varian Hybrid diberikan tayar ganti memandangkan selalunya, kereta Hybrid cuma menerima kit baiki tayar.
Kabin Tiggo Cross CSH.
Dari segi ciri keselamatan pula, kedua-dua varian cukup sarat dengan pelbagai ciri keselamatan. Kedua-duanya dilengkapi dengan Sistem Bantuan Brek (BAS), Program Kestabilan Elektronik (ESP), Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Kunci Keselamatan Kanak-Kanak, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TCS), Peringatan Had Kelajuan , Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Pemantau Titik Buta, Kawalan Jelajah Adaptif, Amaran Perlanggaran Depan, Brek Kecemasan Autonomi, Amaran Lintasan Belakang
Bagaimanapun, varian turbo tidak didatangkan dengan Amaran Buka Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW),Sistem Brek Lintasan Trafik Belakang (RCTB), Bantuan Tukar Lorong (LCA), Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELK),Brek Perlanggaran Pelbagai (MCB). Bantuan Kesesakan Trafik (TJA), Kawalan Jelajah Integrasi (ICC) dan Sistem Bantuan Pengehad Kelajuan (ISA).
SEMUANYA SAMA, APA YANG TAK SAMA? PASTINYA BAHAGIAN ENJIN
Untuk Tiggo Cross 1.5 Liter Turbo, ia mampu menghasilkan kuasa setakat 147 PS dan 210 Nm. Untuk itu, ia mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam hanya dalam 10.3 saat tetapi dengan kuasa Sporty,.
Jika dibandingkan dengan varian Hybrid pula, ia disumbat dengan enjin 1.5Liter N/A dimana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 96 PS dan tork 120Nm. Dengan adanya motor elektrik di hadapan, ia mampu menghasilkan kuasa 204 PS, 310 Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear khas untuk enjin hibrid (DHT).
Varian ini pula jika menggunakan mod Sport, ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 8.9 saat.
Mengenai mod pemanduan, varian Turbo didatangkan dengan Eco, Normal dan Sport manakala Hybrid hanya hadir dengan Eco/Sport. Bagi bab penggunaan bahan api, varian Turbo menawarkan penjimatan bahan api purata dengan catatan 6.3 liter untuk setiap 100 kilometer manakala Hybrid 5.4 liter/100 km. Malah, Chery mendakwa secara keseluruhannya, model ini sebenarnya mampu melakukan perjalanan sehingga 1,000 km..
Ketika rakan-rakan automotif bersembang, saya dapat tahu bahawa ini adalah kereta Chery yang pertama menggunakan Chery Super Hybrid di Malaysia.
Difahamkan, varian hibrid ini juga tidak didatangkan dengan pilihan sama ada mahu menggunakan mod EV memandangkan jentera berkenaan akan berfungsi secara automatik sama ada mahu menggunakan motor elektrik atau kuasa enjin ataupun menggunakan kedua-dua trenkuasa.
PANDU UJI RINGKAS:
Seperti yang dikatakan awal tadi, sesi pandu uji ini cukup ringkas kerana pihak Chery cuma mahu setiap media merasai pemanduannya. Untuk sesi pertama, saya memandu uji varian Hybrid. Ketika saya menghidupkan enjinnya, saya tidak berasa bunyi yang menandakan enjinnya sudah dihidupkan kerana kabinnya cukup senyap.
Sebaik menekan pedal minyak, kuasanya terus berdesup sehinggakan saya sedikit gementar kerana kuasanya terlalu over. Rupa-rupanya, mod pemanduannya berada di Sport, patutlah agresif semacam. Apabila saya menekan pedal minyak sehinggakan ke lantai, kedengaran ngauman enjinnya. Selebihnya, saya tidak dapat komen lebih-lebih kerana durasi pandu ujinya cukup singkat.
Mengenai varian 1.5 liter Turbo pula, saya sebenarnya lebih suka dengan varian ini kerana walaupun saya cuba menekan pedalnya, pemanduannya tetap lancar., tidak tersekat-sekat.
Dengan adanya turbocharged, pecutannya dilihat cukup baik. Selain itu, saya dapati respons throttle sebenarnya agak sama dengan Proton X50 dan Proton X70. Malah, penyerap hentak juga berfungsi baik kerana "menyerap" pergerakan badan kereta secara cepat tanpa berayun-ayun dan sebenarnya lebih kurang sama dengan Proton X70!
Selebihnya, saya tidak dapat komen dengan terperinci sehinggakan saya menerima unit pandu uji untuk diuji selama beberapa hari. Selepas itu, barulah saya dapat menyelami pemanduan kedua-dua varian ini dengan lebih baik.
Apapun, teruskan bersama kami!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/