- Berita
- Teknologi
- BYD Perkenal Sistem Parkir Autonomi, Syarikat Tanggung Jika Ada Kerosakan
BYD Perkenal Sistem Parkir Autonomi, Syarikat Tanggung Jika Ada Kerosakan
BYD mengumumkan bahawa sistem bantuan pemanduan canggihnya (ADAS) God’s Eye, kini menyokong fungsi parkir autonomi tahap 4. Ini bermakna kenderaan boleh parkir secara automatik tanpa sebarang campur tangan pemandu dalam keadaan tertentu.
‘Ditanggung’ Sepenuhnya Oleh BYD
Syarikat automotif China ini menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap sistem yang diperkenalkan sehingga ‘berani’ berjanji untuk memikul sepenuhnya tanggungjawab atas sebarang kerugian yang disebabkan oleh kesilapan ADAS semasa parkir. Syarikat menegaskan liabiliti akan ditanggung sekiranya kenderaan disabitkan kesalahan melalui prosiding undang-undang.
BYD juga akan menanggung kos pembaikan, ganti rugi kerosakan harta pihak ketiga dan pampasan kecederaan peribadi jika berlaku kemalangan akibat kegagalan fungsi atau ralat algoritma dalam sistem bantuan parkir.
Tiada Keperluan Tuntutan Insurans
Sekiranya insiden berlaku semasa parkir, pemandu tidak perlu membuat tuntutan insurans. Sebaliknya, mereka boleh menghubungi terus pasukan servis BYD. Pendekatan ini bertujuan melindungi pengguna daripada kenaikan premium insurans pada tahun berikutnya, yang biasanya terjadi selepas tuntutan insurans biasa.
Kemas Kini OTA Untuk Fungsi Lebih Lengkap
BYD akan melancarkan kemas kini over-the-air (OTA) untuk kenderaan yang dilengkapi dengan God’s Eye B dan C. Kemas kini ini akan mempertingkatkan sistem parkir dengan fungsi tiga kelajuan serta menyokong situasi parkir yang lebih kompleks.
Menurut BYD, ini adalah kemas kini God’s Eye yang paling menyeluruh setakat ini dan turut akan meningkatkan prestasi pemanduan serta keselamatan, bukan hanya terhad kepada fungsi parkir.
Misi Memperluaskan Penggunaan Ciri Pemanduan Autonomi
Dilancarkan pada Februari 2025, God’s Eye ADAS adalah sebahagian daripada misi BYD untuk memperluaskan penggunaan teknologi pemanduan autonomi. Sistem ini turut dipasang pada model paling mampu milik seperti BYD Seagull, yang dijual pada harga bermula RMB69,800 (kira-kira RM46,300). Sehingga 7 Julai, lebih daripada satu juta kenderaan BYD telah dilengkapi dengan God’s Eye.
BYD mendakwa syarikatnya adalah pengeluar pertama yang mencapai parkir autonomi tahap 4 serta pengeluar pertama yang menawarkan jaminan liabiliti rasmi untuk sistem sebegini.
“Langkah ini menunjukkan keyakinan mutlak kami terhadap God’s Eye ADAS,” kata BYD melalui satu kenyataan rasmi.
Eksklusif Untuk Pasaran China Buat Masa Ini
Setakat ini, sistem God’s Eye ADAS BYD hanya tersedia di pasaran China dan belum diperkenalkan dalam model BYD yang dijual di peringkat antarabangsa.
Sumber: CarNewsChina
Baca: BYD Dolphin 2025 Diperkenalkan Di China – Lebih Canggih, Cas DC 100 kW, God’s Eye
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv