- Berita
- EV
- Tesla Di Ambang Kejatuhan? VW Group Kini Kuasai Pasaran EV Eropah
Volkswagen telah menjual lebih banyak kenderaan elektrik (EV) berbanding Tesla di Eropah pada separuh pertama tahun 2025.
Tesla terus mengalami kemerosotan yang ketara di pasaran Eropah apabila Volkswagen Group (VW Group) berjaya mengatasi jenama EV Amerika itu dengan margin yang besar. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025, VW Group telah menghantar sebanyak 347,900 kenderaan elektrik (EV) di benua tersebut, jauh meninggalkan Tesla.
Berdasarkan laporan portal automotif CarScoops yang memetik data daripada Dataforce, jualan EV Tesla di Eropah merosot dengan mendadak tahun ini, hanya mencatatkan 76,400 unit antara Januari hingga Mei. Sebaliknya, jenama Volkswagen berjaya menjual 192,600 unit EV dalam tempoh sama, melebihi Tesla dengan margin lebih 100,000 unit.
Prestasi Global Tesla
Kejatuhan jualan Tesla di Eropah selari dengan prestasi globalnya yang turut merosot sebanyak 14%, dengan jumlah jualan sebanyak 384,000 unit dalam separuh pertama 2025 berbanding tahun sebelumnya. Ini menunjukkan cabaran besar yang dihadapi Tesla dalam mengekalkan momentum pasaran EV global.
Sebaliknya, VW Group mencatat lonjakan jualan EV global sebanyak 47%, dengan jumlah keseluruhan mencapai 465,000 unit (atau 464,200 unit jika tidak termasuk trak komersial). Jualan di Eropah sahaja melonjak sebanyak 89%, daripada 184,100 unit pada separuh pertama 2024 kepada 347,900 unit tahun ini.
Prestasi Cemerlang Jenama Di Bawah VW Group
Di bawah gergasi VW Group, jenama Volkswagen kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 192,600 unit EV terjual, menjadikannya jenama paling berprestasi dalam portfolio kumpulan itu. Jenama premium seperti Audi pula mencatat jualan sebanyak 101,400 unit EV, mengatasi jenama lain seperti Skoda dan Seat/Cupra.
Manakala Porsche mencatat peningkatan luar biasa dalam jualan EV globalnya, dengan 34,200 unit terjual pada separuh pertama 2025, peningkatan sebanyak 279% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Strategi Pemasaran Yang Digunakan
Menurut laporan dari media Jerman, Handelsblatt, kejayaan jualan VW Group di Eropah sebahagiannya disokong oleh kempen diskaun besar-besaran. Walaupun strategi ini membantu meningkatkan angka jualan, ia turut memberi tekanan kepada keuntungan syarikat. Namun, seorang eksekutif kanan VW menegaskan bahawa syarikat masih mencatat keuntungan dengan margin operasi kurang daripada 6.5% bagi EV mereka.
Peningkatan penghantaran EV adalah kunci untuk memulihkan imej VW Group yang pernah tercalar akibat skandal Dieselgate. Peraturan emisi EU yang ketat turut mendorong kumpulan ini mempertingkatkan pengeluaran EV mereka.
Baca: Ini Dia Volkswagen ID.Buzz AD Versi Pengeluaran – Tidak Perlu Pemandu, Lancar Tahun Depan
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv