- Berita
- Pandu Uji
- BMW i4 eDrive35 M Sport LCI 2025 Sudah Diuji, Antara EV Mampu Milik
BMW i4 eDrive35 M Sport LCI 2025 Sudah Diuji, Antara EV Mampu Milik

BMW Group Malaysia telah mengemas kini barisan model BMW i4 gran coupe elektrik sepenuhnya, dimana versi Life Cycle Impulse (LCI) atau facelift kini hanya menampilkan satu varian bukan-M, iaitu eDrive35 M Sport.
Biarpun ia masih mengekalkan reka bentuk coupe fastback empat pintunya, versi LCI ini menerima beberapa penambahbaikan pada rekaan, terutamanya pada bahagian lampu.


Menjengah bahagian hadapannya, BMW i4 kini hadir dengan gril buah pinggang (kidney grille) yang lebih ringkas dengan rekaan sisipan berbentuk berlian, serta lampu utama LED baharu dengan signatur lampu nyalaan siang hari jenis Dberkembar.


Lampu depannya dipadankan dengan lampu belakang LED laser baharu yang menampilkan rekaan pencahayaan serupa dengan BMW M4 terbaharu.
Memandangkan ia adalah varian M Sport, i4 eDrive35 turut menerima beberapa ciri luaran M Sport seperti kit badan M Sport, pelbagai aksen hitam berkilat melalui kemasan M High Gloss Shadowline, rim aloi dua tona Style-966M bersaiz 19 inci, serta lencana M Sport.


Malah, ia hadir dengan dua warna baharu yang diperkenalkan untuk versi i4 iaitu — Cape York Green dan Fire Red, dan antara warna yang sedia ada ialah Mineral White, Black Sapphire, M Portimao Blue, dan Brooklyn Grey.


Sporty, Teknologi Cangguh, Kabin Ergonomik

Menjengah bahagian luarannya yang cukup sporty, nampaknya BMW i4 LCI hadir dengan pelbagai ciri moden seperi mana yang anda jangkakan daripada sebuah sedan elektrik premium.
Ini kerana ia hadir dengan elemen M Sport dimana bahagian stereng kulitnya juga merupakan M Sport, tempat duduk hadapan juga M Sport yang dibalut dengan kain M PerformTex baharu serta jahitan merah dan biru serta pelbagai perincian sporty yang lain.

Walaupun tampil dengan rekaan dalaman yang sporty dan ergonomik, ruang kabin masih didominasi oleh skrin jenis lengkung BMW (BMW Curved Display) di papan pemuka hadapan, skrin infotainmen 14.9 inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta paparan meter digital 12.3 inci dengan grafik khas M.

Antara kelengkapan lain ialah, BMW i4 ini juga dilengkapi dengan pengecas tanpa wayar, beberapa port USB-C, dail kawalan tengah BMW iDrive, dan sistem audio 10 pembesar suara.
Di sebalik itu, terdapat perubahan paling ketara yang mana rekaan semula saluran udara dan susun atur hadir dengan lampu ambien.


Apapun, ruang dalaman bukanlah satu kelebihan utama buat i4 kerana garisan bumbungnya sporty menyebabkan ruang kepala penumpang belakang tidaklah begitu luas namun penumpang belakang masih menikmati penghawa dingin daripada saluran pendingin hawa yang disediakan khas untuk penumpang belakang selain dilengkapi port USB-C tersendiri, serta balutan tempat duduk M PerformTex yang sama seperti mana kerusi hadapan.




mengenai ruang butnya, ia menawarkan ruang but seluas 470 liter tetapi jika tempat duduk belakang direbahkan, ruang butnya menjadi seluas 1,290 liter.

Namun tidak dinafikan, BMW i4 eDrive35 M Sport baharu ini tidak sebenarnya tidak didatangkan dengan kemudahan premium, seperti bumbung panoramik dan pengudaraan tempat duduk hadapan, yang sepatutnya melengkapkan harga premium model ini. Namun begitu, kami tetap berpendapat bahawa i4 masih layak digelar sedan EV premium, namun janganlah meletakkan harapan ia semewah BMW 5 Series.
Macam Pandu Kereta Mewah Walaupun Varian eDrive35 Ini Standard Biasa!

Hakikatnya, BMW dilihat sentiasa membuktikan dirinya sebagai pakar dalam menghasilkan pemanduan yang cukup menyeronokkan tanpa mengira bentuk atau jenis rangkaian kuasa, dan BMW i4 LCI baharu ini adalah contoh terbaik!

Berbeza dengan model pra-facelift, model facelift kali ini hanya ditawarkan dalam versi eDrive35 yang lebih sederhana, dengan motor pacuan roda belakang tunggal (RWD) yang menghasilkan kuasa setakat 286 PS (210 kW) dan tork 400 Nm.
Untuk itu, ia mampu memecut dari 0–100 km/j hanya dalam masa 6 saat berbanding 5.7 saat untuk model pra-facelift eDrive40.


Namun, di sebalik angka itu, BMW i4 eDrive35 M Sport baharu ini masih mengekalkan DNA pemanduan Bavarian sebenar, dimana ia menawarkan pengalaman pemanduan yang mendebarkan dengan kuasa elektrik yang cukup responsif, iaitu sama seperti model-model BMW elektrik lain.
Ia sebenarnya menunnjukkan karakteristik BMW terutama apabila melalui selekoh tajam dan jalan berliku, namun masih kekal stabil dan tenang ketika memecut di lebuh raya.

Rahsia kehebatan ini sebahagiannya terletak pada platform CLAR yang cemerlang iautu struktur asas yang dikongsi dengan model BMW lain seperti 3 Series, 5 Series, dan banyak lagi.
Untuk varian M Sport ini, i4 ini dilengkapi sistem suspensi M Sport, manakala tayar Michelin Pilot Sport 4 yang dipasang sebagai standard turut menyumbang kepada cengkaman dan kestabilan yang luar biasa.
Adakah ia sama seperti EV lain?

Kereta elektrik berprestasi tinggi, walaupun sering dipuji kerana pemanduan dan pecutan yang mengujakan. Bagi versi LCI, BMW i4 tidak menerima sebarang peningkatan besar dari segi bateri, kerana varian eDrive35 masih menggunakan pek bateri litium-ion 70.3 kWh yang sama seperti sebelumnya, walaupun baterinya kini berkapasiti 67.1 kWh, berbanding 66 kWh pada model lama.
Dengan peningkatan kapasiti ini, BMW mendakwa dengan satu cas penuhia sebenarnya mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 500 km (WLTP).
Memandangkan ia hanya menggunakan motor tunggal RWD yang kurang berkuasa, kadar penggunaan tenaga yang didakwa bagi EV fastback ini adalah antara 15.1 kWh/100 km hingga 18.6 kWh/100 km, yang boleh dianggap munasabah bagi sebuah EV berasaskan sistem 400 volt.


Dari segi pengecasan, i4 eDrive35 masih menyokong dua jenis kaedah — AC 11 kW dan DC 180 kW, di mana pengecasan pantas DC 180 kW membolehkan pengisian bateri dariapada 10–80% hanya dalam masa 32 minit sahaja.
Sepanjang pandu uji selama seminggu, kami berjaya mencatatkan penggunaan tenaga sekitar 18 hingga 19 kWh/100 km, atau kira-kira 300 hingga 350 km bagi setiap cas penuh, yang masih berada dalam julat rasmi yang didakwa oleh BMW.
Memang benar, terdapat beberapa EV buatan China dengan teknologi bateri lebih canggih dan jarak maksimum lebih jauh yang boleh membuatkan i4 kelihatan agak ketinggalan.
Namun begitu, melihat kepada demografi pembelinya, kami yakin jarak dan prestasi bateri bukanlah keutamaan utama mereka.
Tidak dinafikan, i4 eDrive35 masih merupakan EV yang praktikal dan sesuai digunakan untuk kegunaan harian, walaupun tanpa ciri-ciri “wow” yang terlalu futuristik.
Berbaloi Ke Beli?

Dengan reka bentuk yang bergaya, ruang dalaman sporty tetapi ergonomik, serta prestasi pemanduan yang mengagumkan selain praktikal untuk kegunaan harian, BMW i4 eDrive35 M Sport LCI baharu ini meneruskan tradisi BMW dalam menghasilkan EV yang paling menyeronokkan untuk dipandu yang pernah kami uji tahun ini.


Masih diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman, i4 eDrive35 dijual pada harga RM294,800, menjadikannya setaraf dengan sedan premium empat pintu lain, termasuk model enjin pembakaran dalamnya, BMW 3 Series.
Untuk pengalaman pemilikan penuh, anda boleh mendapatkan pakej BMW Service & Repair Inclusive, yang menambah waranti dan servis tanpa had perbatuan selama 5 tahun, namun dengan harga yang sedikit lebih tinggi, iaitu RM315,600.

Ya, ia mungkin bukan EV paling canggih dari segi teknologi bateri, tetapi jika dibandingkan dengan pelbagai EV buatan China yang telah kami uji sebelum ini, tiada satu pun yang mampu menandingi i4 dari segi pengalaman pemanduan.
Namun begitu, jika aspek ini bukan keutamaan anda, mungkin anda bukanlah golongan sasaran utama BMW i4.
SPESIFIKASI
BMW i4 eDRIVE35 M SPORT LCI 2025
| MOTOR | 1x e-motor |
| TRENKUASA | Single-ratio, rear-wheel drive (RWD) |
| KUASA | 286 PS (210 kW) |
| TORK | 400 Nm |
| 0-100 KM/J | 6.0 saat |
| KELAJUAN MAKS | 190 km/j |
| BATERI & PENGECASAN | Bateri: Charging: |
| JARAK | 500 km (WLTP, didakwa) |
| BERAT | 2,075 KG (didakwa) |
| HARGA | RM294,800 |
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/