- Berita
- Pandu Uji
- Rebiu Skuter Elektrik, Apa Kata Penunggang Perempuan! Boleh Gerak Sejauh 110km, Harga Mampu Milik
Rebiu Skuter Elektrik, Apa Kata Penunggang Perempuan! Boleh Gerak Sejauh 110km, Harga Mampu Milik
Sebelum ini, penulis sudah beberapa kali memandu uji kereta elektrik namun sepanjang berkecimpung dalam dunia automotif, penulis belum pernah menguji mana-mana skuter elektrik.
Jadi pada hari ini, penulis agak bertuah kerana berkesempatan menguji sendiri ketangkasan skuter elektrik R1 keluaran anak syarikat Sharkgulf Technologies Group, Blueshark.
Sejurus majlis pelancaran skuter elektrik itu di ibu pejabat Blueshark di Shah Alam, pihak media diberi peluang untuk menunggang uji skuter berkenaan di litar berhampiran Blueshark.
Mujur, penulis memiliki lesen B2. Maka, saya tidak melepaskan peluang untuk menikmati tungganggannya.
Untuk makluman anda, skuter ini adalah skuter elektrik 100 peratus dan tidak menggunakan petrol.
Pandangan Keseluruhan:
Skuter siri R Blueshark itu ditawarkan dalam dua jenis model iaitu R1 dan R1 Lite untuk pasaran Malaysia.
Ia disumbat dengan motor elektrik 500kW yang menawarkan kuasa tork sehingga 201Nm.
Dari segi daya pecutannya, ia mampu memecut dari 0-50 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 4.9 saat.
Jentera yang seberat 92 kilogram ini turut menggunakan penukaran bateri yang membolehkannya ia bergerak sejauh 110 kilometer.
Mengenai tempoh pengecasan, ia mengambil masa 2.5 jam untuk isi 0 sehingga 80% dan mengisi penuh boleh dilakukan dalam masa 3.5 jam.
Bahagian Luaran
Jika anda melihat deretan skuter ini, terdapat pelbagai warna-warna yang terang, sebagai wanita saya cukup tertarik dengan warna merah jambu.
Memang cute semacam!
Selain dari segi rekaannya, ia kelihatan agak minimalis dan futuristik.
Ia dipadankan dengan lampu LED nipis bersama kemasan hitam kilat pada bawah lampu, kepala serta cermin sisi.
Jika melihat lampu belakangnya, ia sama seperti rekaan logo Blueshark. Sementara itu, kedua-dua rodanya juga menggunakan brek disc dan tayarnya adalah bersaiz 12 inci.
Selain itu, terdapat juga pemegang di bahagian kiri dan kanan yang dipasang untuk pembonceng.
Tidak ketinggalan, terdapat dua kamera yang dipasang di bahagian hadapan dan belakang.
Satu untuk paparan hadapan manakala satu lagi untuk kamera dashcam.
Bagi bahagian tempat duduknya, jika dibuka, anda sebenarnya boleh menyimpan dua pek bateri.
Untuk pengecasan, anda boleh cas di rumah atau di beberapa stesen minyak terpilih. Anda hanya dikenakan RM1.95 untuk sekali cas.
Jika nak cas dua bateri, kiralah sendiri!
Skuter ini dikatakan mampu melakukan perjalanan sejauh 110 kilometer (dengan menggunakan dua bateri) namun bergantung kepada cara tunggangan anda.
Jika anda memasang satu bateri, ia masih mampu bergerak tetapi hanya dalam 60km.
Ketika penulis mengangkat baterinya, ia tidak begitu berat, katanya lebih kurang 11kg. Jadi bagi golongan wanita, saya berasa tidak menjadi masalah untuk mengangkat keluar bateri ini.
Canggih, Moden
Saya cukup tertarik dengan butang yang boleh membuatkannya mengundur ke belakang.
Jadi, anda tidak perlu menggunakan kudrat atau rakan anda untuk menarik keluar skuter ini daripada tapak parkir sebaliknya tekan sahaja butang undur itu.
Mudah dan pantas!
Selain itu, ia juga dilengkapi denganpaparan digital bersaiz 10 inci dimana ia memaparkan semua maklumat seperti baki bateri, mod tunggangan dan pelbagai maklumat.
Ia menggunakan sistem operasi pintar ArkRide OSi dan menawarkan ketersambungan dipaparkan kepada skrin HD IPS bersaiz 10 inci.
Antara kelengkapan lain ialah Bluetooth, 4G, perakam tunggangan dan tidak ketinggalan sistem bantuan pemanduan ADAS.
Dikhabarkan dengan menggunakan aplikasinya, anda sebenarnya boleh mengawal skuter ini tidak kira dimana anda berada memandangkan ia dilengkapi dengan sistem GPS.
Dari segi tungganggan, saya berasa cukup selesa dan ia langsung tidak mengeluarkan sebarang bunyi bising
Saya berasa ia sesuai untuk digunakan untuk ke tempat kerja selain boleh menjadi satu pengangkutan untuk memudahkan urusan harian anda seperti menghantar anak ke sekolah, pasar atau ke mana-mana lokasi yang berdekatan dengan rumah.
Sebaliknya Blueshark berkata, ia dibangunkan untuk pengangkutan bandar dan juga cukup sesuai digunakan di kawasan pinggir bandar.
Namun saya tidak pasti apa kesannya sekiranya tayar skuter ini terperosok ke dalam jalan lubang memandangkan bahagian sekeliling tayarnya dilihat agak kurang sedikit.
Apapun, untuk mengetahui impaknya, anda kena tunggu sesi tunggangan penuh apabila Blueshark meminjamkan kepada kami nanti.
Apapun, saya berasa agak berbaloi jika anda ingin membeli skuter ini berbanding skuter elektrik seolah-olah basikal.
Top-up sedikit, anda dah dapat skuter elektrik yang bukan sahaja boleh digunakan untuk urusan harian tetapi boleh ke tempat kerja.
Mengenai harga, R1 2023 dijual pada harga RM9,390 manakala R1 Lite 2023 pula RM7,190.
Cuma bagi varian R1 Lite, ia tidak didatangkan dengan ADAS, kamera undur, skrin HD IPS dan beberapa ciri lain menyebabkan ia dijual pada harga yang murah.
Apapun tunggu tunggang uji sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini!
Gallery







Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari