- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Peugeot Landtrek 1.9D Allure: Bagi Yang Inginkan Trak Bergaya & Berciri Premium
[PANDU UJI] Peugeot Landtrek 1.9D Allure: Bagi Yang Inginkan Trak Bergaya & Berciri Premium
Benarkah Peugeot Landtrek produk keluaran Perancis?
Sebenarnya tidak, ini bukanlah produk 100% keluaran Perancis walaupun menggunakan jenama ‘singa’ tersebut kerana Landtrek 1.9D Allure dibina oleh Changan, sebuah syarikat daripada negara China.
Trak buatan China? Mungkin ada yang skeptikal, tetapi, kualiti dan prestasinya terbukti melebihi jangkaan. Teruskan membaca untuk kupasannya.
Trak yang kacak
Dari segi rekaannya pula, Peugeot memberikannya gaya yang ‘kacak’ dengan sentuhan moden membuatkannya sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar.
Trak ini kelihatan menyerlah di bahagian luar dengan penggunaan warna krom pada bahagian gril, bampar belakang, perumah cermin sisi, pemegang pintu dan sportbar. Ciri lain ialah rim aloi bersaiz 18 inci, lampu depan LED penuh dan lampu belakang kombinasi LED. Logo Peugeot yang terpapar dengan gahnya pada bahagian hadapan dan belakang trak menaikkan lagi auranya. Selain itu, juga menggunakan warna kontra ialah plat kelincir (skid plate), pemijak sisi dan rel bumbung.
Pada sportbar, terdapat lampu LED untuk memudahkan pandangan di ruang belakang pada waktu malam. Semasa sesi pandu uji, trak Landtrek yang digunakan dilengkapi tayar jenis lasak, all-terrain, Goodyear Wrangler yang membuatkan pengalaman menggunakan trak ini di laluan off-road lebih menyeronokkan. Ini akan kami jelaskan dengan lebih terperinci sebentar lagi.
Bagaimana keadaan di bahagian dalam kabin?
Bergerak masuk ke bahagian dalam, perkara pertama yang menjadi perhatian kami ialah penggunaan plastik keras yang kelihatan murah digunakan pada papan pemuka. Namun kekurangan ini ‘ditebus’ dengan penggunaan balutan kulit yang empuk pada tempat duduk. Upholsteri kulit turut digunakan pada beberapa titik sentuhan utama dan stereng.
Turut menarik perhatian adalah penggunaan suis kawalan iklim dengan reka letak yang diinspirasikan daripada penerbangan (aviation), satu konsep unik yang diketengahkan Peugeot.
Seterusnya, teknologi yang digunakan. Peugeot Landtrek dilengkapi paparan instrumen digital 4.2 inci, unit infotainmen skrin sentuh 10 inci dengan ciri sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, turut terdapat kawalan iklim automatik dua zon serta corong penyejuk udara pada tempat duduk belakang.
Apa yang menarik di sini ialah kamera parkir 360 darjah dengan resolusi yang jelas. Ciri ini sangat berguna untuk memudahkan trak gergasi ini dikendalikan di dalam trafik bandar yang agak padat selain dapat memudahkan proses parkir. Teknologi ini disempurnakan lagi dengan kehadiran ciri keselamatan amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong serta sistem kawalan jelajah pasif.
Bagaimana pula dengan saiz ruangnya? Menurut Peugeot, saiz ruang kabin Landtrek dikatakan sebagai yang paling luas di dalam kelasnya. Ini terbukti benar kerana trak ini dapat memuatkan tiga orang dewasa beserta bagasi dengan mudah semasa sesi pandu uji dilakukan.
Sementara itu dari segi NVH pula, kadar serapan bunyi, gegaran dan kekasaran trak juga cukup baik.
Pengalaman sebagai pemandu dan penumpang
Di atas jalan raya, trak ini mampu menyerap ketidaksempurnaan jalan dengan baik, Dibantu oleh stereng kuasa, trak lebih mudah dikendalikan di kawasan bandar yang padat. Kawalan dipermudahkan lagi dengan adanya sensor dan pemantau parkir 360 darjah.
Namun apabila trak dibawa keluar daripada laluan biasa, mula terasa agak ‘kasar’ terutama sekali bagi penumpang belakang.
Bagaimanapun, kehadiran trenkuasa turbo-diesel 4-silinder 1.9L membuatkan trak ini secara keseluruhannya sesuai untuk pemanduan dalam pelbagai situasi. Dengan output 150 hp/350 Nm, tidak mustahil untuk Landtrek menandingi pesaingnya yang lain jika diletakkan dalam satu perlumbaan.
Kuasa disalurkan kepada roda melalui sistem transmisi automatik 6-kelajuan yang turut digabungkan dengan driveline 4x4 yang menawarkan mod pacuan semua roda high-locking dan low-locking.
Dengan teknologi kawalan turun bukit (HDC) dan tayar all-terrain yang digunakan, trak ini mampu untuk menempuhi laluan mencabar tanpa sebarang masalah.
Patutkah anda pertimbangkan trak ini?
Reka bentuk yang menarik, dengan kemampuan off-road, serta diberikan sentuhan premium, Peugeot Landtrek 1.9D Allure terbukti sebagai sebuah trak pikap yang menarik untuk kegunaan harian. Ciri keselamatan asasnya juga agak lengkap dengan enam beg udara, ABS, kawalan kestabilan (ESP) dan sebagainya.
Dijual pada harga RM120,072 (tidak termasuk insurans), harganya sangat berbaloi jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam lingkungan harga sama memandangkan ia lengkap dengan pelbagai kelengkapan dan ciri premium.
Pembelian adalah termasuk perlindungan selama 5 tahun atau 100,000 km oleh Bermaz Auto Alliance. Dengan rekod servis pasca jualan yang baik oleh syarikat ini, tidak hairan sekiranya ramai yang mempertimbangkan trak ini untuk dibeli pada masa akan datang. Setuju?
SPESIFIKASI
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv