- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Honda Civic e:HEV RS: Hibrid Sporty Ini Lebih Hebat Dari Turbo?
[PANDU UJI] Honda Civic e:HEV RS: Hibrid Sporty Ini Lebih Hebat Dari Turbo?
Pasaran tempatan telah diserang oleh ‘wabak SUV’ dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Di tengah-tengah kebanjiran SUV, masih wujud beberapa model sedan yang masih ada peminatnya walaupun dalam skala yang kecil.
Antara sedan yang masih tersisa dalam segmen C, ialah Honda Civic, yang telah dilancarkan sebagai generasi yang kesebelas dengan kod casis FE1.
Honda Civic e:HEV RS dilancarkan sebagai varian Civic FE tertinggi yang baharu!
Walaupun model generasi kesebelas ini telah berada di pasaran kita buat beberapa tahun, Honda Malaysia telah memperkenalkan Honda Civic e:HEV RS, varian tertinggi yang baharu tahun lalu. Setelah meluangkan masa berberapa hari bersama varian hibrid sporty ini, Honda Civic e:HEV RS boleh dikatakan berjaya menandingi kemampuan kembar turbonya. Jom kita lihat dengan lebih terperinci…
PANDANGAN PERTAMA HONDA CIVIC E:HEV RS
Dari segi rekaan, Civic generasi FE tidak memiliki sebarang persamaan dengan model terdahulu, kerana reka bentuk kali ini lebih 'matang' dan moden berbanding generasi FC yang diberikan sentuhan agak ‘ekstra.’
Model hibrid RS ini diberikan kemasan krom pada beberapa bahagian termasuk roda 18 inci yang baharu
Sama seperti model RS bukan hibrid, Civic e:HEV RS turut diberikan beberapa sentuhan sporty, tetapi untuk versi kali ini, lebih banyak kemasan krom digunakan. Krom digunakan pada sekeliling lampu depan jenis LED kereta, rim bersaiz 18 inci dua tona (gabungan warna krom dan hitam berkilat), gril hadapan, pemegang pintu dan sekeliling tingkap. Eksklusif untuk varian hibrid adalah penggunaan warna biru pada logo Honda.
Berbeza dengan RS turbo yang memiliki dua ekzos di bahagian belakang, model hibrid ini hanya mempunyai satu corong ekzos. Tetapi kedua-duanya masih menggunakan spoiler but belakang yang sama dengan logo RS di depan dan belekang.
Bentuk fastback Civic FE membuatkannya lebih menyerlah berbanding Civic FC
BAHAGIAN KABIN CIVIC E:HEV RS
Sebagai varian utama, kabin Civic e:HEV RS boleh dikatakan sebagai varian tercanggih dan paling lengkap berbanding yang lain. Kelengkapan standard ditawarkan pada model RS adalah penggunaan aksen merah pada tempat duduk yang diberikan balutan separa kulit. Upholsteri sama digunakan pada bahagian stereng, pintu dan perehat lengan.
Melengkapkan atmosfera ialah teknologi pencahayaan ambien, selain teknologi seperti paparan pemandu TFT 10.2 inci serta skrin infotainmen 9 inci yang menyokong sambungan Android Auto (berwayar) dan Apple CarPlay (tanpa wayar). Hanya terdapat pada varian RS hibrid ialah pad pengecas tanpa wayar.
Dua ciri baharu yang ditawarkan Honda Malaysia buat pertama kali turut tersedia, iaitu Kad Kunci Honda dan fungsi Honda CONNECT. Kad Kunci Honda ini memiliki fungsi yang sama seperti fob kunci biasa. Anda hanya perlu bergerak menghampiri kereta untuk membuka kunci secara automatik. Dengan hanya membawa kad sama (tanpa fob kunci), enjin kereta juga boleh dihidupkan.

Kad Kunci Honda (kiri) & aplikasi mudah alih Honda CONNECT (kanan)
Untuk Honda CONNECT pula, perkhidmatan ini memberikan akses kepada beberapa fungsi jarak jauh seperti pembukaan kunci pintu dan penghidup enjin dari jauh, pra-persiapan, fungsi telematik untuk mengesan kedudukan kenderaan serta pemeriksaan status kereta. Semua ini boleh diakses di hujung jari.
Ruang di dalam kabin Civic FE baharu cukup luas untuk memuatkan sehingga lima orang dewasa, dengan ruang kaki dan kepala yang cukup. Ruang bagasi bagaimanapun hanyalah 497L berbanding 519L pada Civic FC, namun ini masih lagi antara yang terbesar dalam segmen. Di bahagian bawah, terdapat ruang simpanan tayar tambahan, sesuatu yang jarang terlihat dalam kebanyakan kereta elektrik masa kini.
Secara keseluruhannya, Honda Malaysia telah melengkapkan ruang kabin Civic e:HEV RS dengan setiap teknologi dan kemudahan penting, membolehkannya menjadi salah satu model yang paling lengkap dalam segmen. Jika dilihat dari aspek kemewahan atau ciri premium, pada pendapat kami, sedan Mazda 3 adalah yang terbaik.
PENGALAMAN MEMANDU HONDA CIVIC E:HEV RS
Sebagai sebuah varian yang dilengkapkan teknologi elektrik, Honda Civic e:HEV RS membuktikan ianya lebih baik dari segi pemanduan berbanding kembar turbonya (ini pendapat penulis sendiri yang pernah ‘memiliki’ Civic turbo RS).
RS hibrid menggunakan enjin petrol Kitaran Atkinson aspirasi natural 4-silinder 2.0L yang berfungsi sebagai penjana yang membekalkan tenaga kepada pek bateri 1.1 kWh. Bateri ini pula menyalurkan kuasa kepada dua motor elektrik hibrid yang mengeluarkan output sehingga 181 hp dan 315 Nm. Berbanding dengan versi turbo, sistem enjin ini terbukti memberikan prestasi yang lebih baik, dan ini dapat dirasakan dengan ketara apabila pedal minyak ditekan.
Sistem hibrid yang digunakan meningkatkan kemampuan pecutan 0-100 km/j
Dengan teknologi elektrifikasi separa, penghantaran kuasa terasa pantas, membolehkannya membuat pecutan 0-100 km/j dengan lebih cepat iaitu 7.9 saat berbanding 8.5 saat pada RS turbo. Teknologi elektrifikasi separa yang memberikan kereta kuasa, digabungkan pula dengan elemen yang membantu meningkatkan kualiti pengendalian (casis dan susunan peredam belakang multi-link), memberikan keselesaan pemanduan yang luar biasa.
Honda juga melengkapkan Civic e:HEV RS dengan sistem Kawalan Hingar Aktif (ANC) dan Kawalan Bunyi Aktif (ASC) uniknya - yang bekerjasama untuk menghasilkan bunyi enjin buatan, memastikan pemandu kekal berjaga-jaga semasa memandu. Tetapi kadangkala penulis merasakan ‘soundtrack’ enjin ini agak mengganggu, lebih baik sekiranya terdapat butang kawalan untuk mematikan bunyi ini.
Tahap bunyi, getaran, dan kekasaran (NVH) kereta ini masih agak tinggi. Ini dapat dirasai lebih-lebih lagi apabila melebihi kelajuan 100 km/j, di mana bunyi ‘ngauman’ tayar dapat didengar di dalam kereta - mungkin juga disebabkan oleh tayar yang dilengkapkan secara standard pada Civic ini, tayar yang dihasilkan khas untuk prestasi, Michelin Pilot Sport 4. Isu ini mungkin dapat dicegah sekiranya Honda Malaysia melengkapkan ruang pemasangan tayar (wheel well) dengan insulasi yang lebih baik.
Bagaimanapun, Honda Civic e:HEV RS masih merupakan kereta yang menjanjikan pemanduan yang memuaskan jiwa, dengan teknologi elektrifikasi separa yang dapat memberikan dinamik pemanduan yang lebih diperhalus, berbanding kembar turbonya.
CIRI KESELAMATAN HONDA CIVIC E:HEV RS
Sama seperti model RS bukan hibrid, Honda Civic e:HEV RS dilengkapi dengan versi pakej pemanduan Honda Sensing yang terkini.
Kamera Honda LaneWatch
Ini melengkapkan kereta dengan fungsi-fungsi penting ADAS seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan fungsi Henti-Mula, Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak ke Depan (FDA), Kamera Honda LaneWatch, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan banyak lagi. Model ini turut dilengkapi ciri keselamatan pasif seperti enam beg udara, cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak, ABS dengan EBD, kawalan cengkaman (TCS) dan kawalan kestabilan (ESC).
Banyak fungsi yang ditawarkan dalam aplikasi Honda CONNECT!
Selain itu, fungsi telematik Honda CONNECT yang baru juga menambahkan lagi 'lapisan keselamatan' kereta, di mana pemilik dapat menjejaki lokasi kereta, mengunci dan mematikan enjin dari jarak jauh, serta perkhidmatan sokongan kecemasan. Dua fungsi pertama yang dinyatakan adalah sangat penting dalam situasi kecurian.
Secara keseluruhannya, Civic e:HEV RS hadir dengan ciri dan teknologi keselamatan yang sepadan dengan pesaing dalam segmen sama, walaupun dengan satu kekurangan, tiada fungsi Pemantau Titik Buta (BSM).
KOS PEMILIKAN DAN KETAHANAN HONDA CIVIC E:HEV RS
Dalam aspek ini, Civic e:HEV RS cukup menyerlah bukan hanya berbanding pesaing kembar turbonya, tetapi juga dengan pesaing dalam segmen sama.
Penggunaan trenkuasa hibrid bermakna ia kurang menggunakan bahan api, menurut Honda Malaysia, kadar penggunaan bahan apinya hanyalah 4 liter/100 km atau 25 km/liter. Ini bermakna Civic hibrid ini tidak jauh di belakang berbanding Perodua Axia baharu yang menggunakan 3.7 liter/100 km atau 27.4 km/liter.
Mungkin ramai yang ada ‘ketakutan tak berasas’ terhadap tahap ketahanan hibrid, tetapi anda tidak patut ragu dengan kualiti teknologi hibrid yang ditawarkan pada kenderaan moden, lebih-lebih lagi teknologi hibrid e:HEV daripada Honda. Teknologi terbaru keluaran syarikat Jepun ini telah terbukti bebas isu, dan yang menariknya lagi, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan istimewa untuk sistem bateri hibrid, bukan sekejap, tetapi selama lapan tahun, sebagai tambahan kepada jaminan standard selama lima tahun tanpa had jarak perjalanan termasuk caj upah percuma untuk lima servis pertama dalam jarak 100,000 km.
Keseluruhannya, kereta hibrid moden tidak sama seperti model hibrid lama daripada dekad-dekad yang lepas. Teknologi kali ini bukan sahaja lebih tahan, tetapi juga menjanjikan prestasi yang lebih baik dan penjimatan minyak yang lebih tinggi.
ADAKAH HONDA CIVIC E:HEV RS BERBALOI UNTUK DIMILIKI?
Honda Civic e:HEV RS baharu adalah kereta yang sempurna bagi sesiapa yang mencari kenderaan bergaya dengan prestasi cemerlang dan dinamik pemanduan yang hebat, ditambah lagi dengan ciri praktikal seperti SUV dan ekonomi bahan api seperti sebuah supermini. Dengan kata lain, ini adalah kenderaan yang memenuhi semua kriteria yang penting, sekiranya anda mampu untuk membelinya.
Namun, faktor kemampuan kewangan adalah satu isu bagi Honda Civic baharu, pada harga RM166,500, ini bukan sahaja menjadikannya varian Civic FE paling mahal, malah, termahal dalam segmennya.
Mungkin ada yang berpendapat Toyota Corolla 1.8G pada harga RM147,800 menawarkan dinamik pemanduan yang lebih baik, manakala sedan Mazda3 High+ dilengkapi dengan kabin lebih mewah dan pemanduan yang lebih selesa pada harga hanya RM161,059. Namun begitu, sukar untuk bersaing dengan pakej menyeluruh yang ditawarkan Civic e:HEV RS.
Setelah mengambil kira kesemua aspek, kami berpendapat Honda Civic baharu berada pada kedudukan yang terbaik dalam kelasnya, dan berhak mendapat gelaran 'raja segmen C.’
SPESIFIKASI HONDA CIVIC E:HEV RS
TRENKUASA | Enjin Pembakaran Dalaman (ICE): Petrol, Kitaran Atkinson aspirasi natural 4-silinder 2.0L Elektrik: Motor Elektrik Hibrid Tunggal |
TRANSMISI | eCVT Automatik, Pacuan Roda Hadapan (FWD) |
KUASA | ICE: Elektrik: |
TORK | ICE: Elektrik: |
0-100 KM/J | 7.9 saat |
V-MAX | 180 KM/J |
KADAR PENGGUNAAN BAHAN API | 4 liter/100 km (atas kertas) |
BERAT | 1,445 KG (bersih) |
HARGA | RM166,500 |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv