- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] BMW i4 eDrive40 M Sport: Ini 7 Perkara Menarik Tentang EV Sporty Dengan 'Ngauman Enjin'
[PANDU UJI] BMW i4 eDrive40 M Sport: Ini 7 Perkara Menarik Tentang EV Sporty Dengan 'Ngauman Enjin'
BMW i4 eDrive40 M Sport dalam warna kelabu M Brooklyn Grey
Kami di CariCarz telah diberikan peluang untuk memandu uji BMW i4 eDrive40 M Sport dalam warna yang menawan, kelabu M Brooklyn Grey. Apa pendapat kami tentang model ini? Dalam artikel ini kami kongsikan 7 perkara menarik tentang model sporty elektrik BMW ini. Teruskan membaca.
1- Reka Bentuk Yang Memukau Jiwa
Tampil dalam reka bentuk fastback yang elegan ‘Gran Coupe,’ setiap sudut diberikan perhatian terperinci. Antara ciri luarannya yang menarik ialah sentuhan M Sport yang memberikannya aura sporty melalui penggunaan aksen berwarna hitam berkilat, rim khas M Sport 19 inci dan kaliper brek berwarna biru. Selain itu, model ini diberikan bampar hadapan dan belakang yang sporty. Bampar untuk sudut belakang ditambah dengan elemen seakan-akan faux diffuser.
2- Kabin Yang Sporty Dan Canggih
Memasuki ruang kabin, pasti ada yang menyangka sebagai sebuah model elektrik, tidak lari daripada konsep futuristik atau ringkas, tidak bagi model ini. Ruang dalamnya tampil sporty sama seperti di bahagian luar serta sarat dengan pelbagai teknologi canggih.
Pelbagai sudut diberikan balutan kulit faux Sensatec serta plastik yang lembut disentuh. Selain itu, terdapat pencahayaan ambien yang menyempurnakan lagi aura mewah kabin.
Ciri sporty yang diberikan pada ruang kabin ialah tempat duduk depan bergaya sport (boleh dilaraskan secara automatik), stereng M Sport, headliner hitam, pedal sport aloi dan kemasan aluminium pada beberapa sudut tertentu.
Dari segi teknologi, i4 eDrive40 dilengkapi dengan modul paparan melengkung digital terkini BMW yang merangkumi panel instrumen 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci. Kedua-duanya dikuasakan oleh sistem operasi BMW Operating System 8 atau iDrive 8. Sistem ini jauh lebih pantas dan intuitif berbanding sebelumnya.
Sistem ini juga lebih pintar dengan pakej arahan suara interaktif di samping integrasi yang mudah termasuk dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa menggunakan wayar.
Namun, memandangkan ia diberikan gaya fastback, ruang kepala agak terhad berbanding model 3 Series terbaru (generasi ke-7). Tetapi ini bukanlah satu isu yang besar kerana secara keseluruhannya, keselesaan dan saiz ruang kabin cukup memuaskan.
3-Praktikal Untuk Kegunaan Harian
Ruang simpanan sebanyak 470 liter cukup luas untuk kegunaan harian. Ruang ini boleh diluaskan sehingga 1,290 liter apabila tempat duduk belakang dilipatkan.
4- Bunyi Yang Menaikkan ‘Mood’ Memandu
BMW telah bekerjasama dengan komposer terkenal yang pernah merangkul anugerah berprestij Oscar, Hans Zimmer, bagi menghasilkan bunyi buatan atau artificial soundtrack bagi trenkuasanya.
Hasilnya? Bunyi enjin yang dihasilkan cukup untuk menaikkan ‘keghairahan’ memandu lebih-lebih lagi ketika mod pemanduan ‘Sport’ diaktifkan. Walaupun sebuah kereta elektrik, siapa kata keseronokan memandu ‘enjin petrol’ tidak lagi dapat dinikmati.
5- Prestasi Yang Menakjubkan
Sedan sporty ini dikuasakan oleh motor yang dipasang di belakang untuk memacu pergerakan roda belakang (RWD) dengan kuasa yang mencapai 335HP/430NM. Output ini cukup tinggi bagi membolehkan i4 eDrive40 yang memiliki berat keseluruhan 2,125 KG bergerak daripada 0-100 KM/J dalam masa hanya 5.7 saat! Namun, had kelajuan tertinggi EV ini ditetapkan pada 190 KM/J sahaja.
Keseronokan memandu i4 eDrive40 turut disumbangkan oleh sistem suspensi M Adaptive Suspension, brek M Sport dan juga tayar sport Pirelli P-Zero yang digunakan. Gabungan kesemua ciri ini membolehkan i4 eDrive40 melalui selekoh dengan pada kelajuan tinggi dengan baik.
6- Boleh Pergi Hampir 600 KM Sekali Cas
Dari segi pengecasan, bateri 83.9 kWh i4 eDrive40 boleh dicas penuh dalam masa 8 jam 15 minit menggunakan pengecas AC 11 kW. Dengan cas penuh, EV ini boleh bergerak sejauh 590 KM (WLTP). Untuk mencapai jarak pergerakan sejauh ini, sebaiknya gunakan mod ‘Eco Pro’ dan memandu secara ‘berhemah’ bukan untuk berlumba.
7- Padat Dengan Pelbagai Ciri Keselamatan Canggih
Model ini didatangkan secara standard dengan pakej Driving Assistant Professional penuh, yang terdiri daripada brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti-mula, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, sistem pemusatan lorong serta amaran lintasan trafik belakang dengan brek auto.
Model ini turut lengkap dengan ciri keselamatan asas lain seperti beg udara, cangkuk ISOFIX tempat duduk kanak-kanak dan sebagainya.
Bagaimana Dengan Harganya?
BMW i4 eDrive40 M Sport ditawarkan di pasaran pada harga RM384,210 yang RM46,000 lebih murah berbanding model prestasi, M50 yang menggunakan dua motor. i4 eDrive40 juga dijual pada harga RM100,000 lebih tinggi berbanding eDrive35 M Sport yang juga memiliki aura elegan dan sporty yang sama.
Pembelian adalah termasuk jaminan perlindungan BMW Malaysia selama 5 tahun, tanpa had perjalanan termasuk servis penyelenggaraan berjadual percuma. Selain itu, bateri EV juga ditawarkan dengan jaminan berasingan untuk tempoh selama 8 tahun atau 160,000 KM.
Spesifikasi Terperinci BMW i4 eDrive40 M Sport
MOTOR | 1x motor 3-phase electrically excited synchronous, belakang |
TRENKUASA | Pacuan Roda Belakang (RWD) |
KUASA | 335 HP (250 kW) |
TORK | 430 NM |
0-100 KM/J | 5.7 saat |
KELAJUAN TERTINGGI | 190 KM/H (dihadkan) |
BATERI & PENGECASAN | Bateri: Litium ion tekanan tinggi, 83.9 kWh
Tempoh pengecasan: DC @ 200 kW (10-80%: 31 minit) |
JARAK EV | 590 KM (atas kertas, WLTP) |
BERAT | 2,125 KG (atas kertas, bersih) |
HARGA | RM384,210 (tidak termasuk insurans) |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv