- Berita
- Teknologi
- Tesla Bekerjasama Dengan Samsung, Integrasi Mudah Dengan Pelbagai Produk Pintar
Tesla Bekerjasama Dengan Samsung, Integrasi Mudah Dengan Pelbagai Produk Pintar
Tesla jalin kerjasama dengan Samsung untuk memanfaatkan platform SmartThings Energy bagi menguruskan tenaga untuk rumah pintar.
Samsung Electronics mengumumkan kerjasama baharu dengan syarikat teknologi dan kenderaan elektrik (EV) Amerika Syarikat, Tesla, untuk membentuk integrasi perkhidmatan baru. Teknologi tersebut akan dipamerkan semasa acara Consumer Electronics Show (CES) 2024 di Las Vegas, Amerika Syarikat, minggu ini, kerjasama ini akan menyaksikan integrasi antara platform SmartThings Energy milik Samsung dengan beberapa produk Tesla.
Integrasi ini dapat dilakukan dengan mudah kerana Tesla akan melancarkan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) rasmi untuk produknya, yang membolehkan kerjasama dan integrasi dengan pihak ketiga.
Manfaat utama kerjasama ini adalah untuk membolehkan platform SmartThings Energy milik Samsung berhubung dengan beberapa produk Tesla seperti Tesla Powerwall, Solar Inverter, pengecas Wall Connector serta kenderaan EV mereka. Pengguna kini boleh mengakses dengan mudah data berkaitan penghasilan, penyimpanan dan penggunaan tenaga produk Tesla mereka melalui mana-mana peranti Samsung yang disambungkan kepada platform.
Selain itu, platform SmartThings Energy juga boleh diselaraskan (sync) dengan fungsi 'Storm Watch' pada Tesla Powerwall, yang memberi amaran kepada pengguna sekiranya berlaku cuaca ekstrem atau bencana yang boleh menyebabkan gangguan bekalan tenaga seperti ribut salji dan taufan. Setelah kedua-dua platform diselaraskan, pengguna boleh mendapat amaran melalui SmartThings pada peranti yang disambungkan, di mana Mod Tenaga AI boleh diaktifkan untuk memanjangkan tenaga simpanan yang tinggal dalam Tesla Powerwall mereka.
“Pelanggan Tesla Energy kini boleh mengurus dan memantau status tenaga rumah mereka melalui SmartThings Energy dan peranti Samsung selain daripada aplikasi Tesla, memastikan akses dan ketersambungan yang lebih baik,” kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pasukan Pembangunan IoT di Pusat Platform Peranti di Samsung Electronics, Chanwoo Park.
Mengulas mengenai kerjasama Tesla dengan Samsung, Naib Presiden Kanan Trenkuasa dan Kejuruteraan Tenaga Tesla, Drew Baglino berkata, “Di Tesla, kami komited untuk menambah kemampuan produk kami untuk berinteraksi dengan peranti dan perisian pintar lain di rumah pelanggan.
“Kami gembira kerana Samsung telah memilih untuk menjadi pembangun (developer) awal, memandangkan kedudukan mereka yang terkemuka dalam teknologi rumah pintar pengguna,” tambah beliau.
SmartThings Energy yang dihubungkan dengan Tesla Powerwall akan dipamerkan buat pertama kalinya di tapak pameran Samsung di CES 2024. Dengan perkhidmatan sebenar masih dalam pembangunan, firma tersebut meletakkan sasaran untuk melancarkan integrasi sistem baharu ini pada suku kedua tahun 2024.
Di Malaysia, bagaimanapun, semua produk tenaga Tesla, seperti Solar Roof dan Powerwall, masih belum ditawarkan di pasaran. Namun produk-produk tersebut boleh dilihat di dalam laman web rasmi Tesla.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv