- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI SULUNG] Jaecoo J7 PHEV: Gabungan EV & ICE Yang Luar Biasa, Boleh Capai 1,300 KM?
[PANDU UJI SULUNG] Jaecoo J7 PHEV: Gabungan EV & ICE Yang Luar Biasa, Boleh Capai 1,300 KM?
Bagi sesiapa yang masih teragak-agak untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV), mungkin boleh mempertimbangkan kereta gabungan ‘dua dunia’ iaitu kenderaan hibrid plug-in (PHEV).
Trenkuasa canggih ini menawarkan fleksibiliti kepada pemandu yang ingin merasai pengalaman pemanduan EV tanpa kebimbangan mengenai jarak perjalanan.
Di Malaysia, banyak PHEV yang dipasarkan diletakkan dalam segmen premium. Kini sudah tiba masanya untuk pasaran kita menerima lebih banyak pilihan PHEV yang lebih mampu milik dan tidak lama lagi, kita akan menerima kedatangan model dengan ciri ini, Jaecoo J7 PHEV daripada Jaecoo Malaysia.
Spesifikasi Jaecoo J7 PHEV
Jaecoo J7 PHEV ialah versi elektrik hibrid untuk SUV segmen C, J7 versi standard yang kini dipasarkan di Malaysia. Model ini dilengkapi dengan sistem hibrid super (SHS) yang menggabungkan enjin khas hibrid (DHE) TGDi 4 silinder 1.5 liter dengan motor elektrik dan transmisi hibrid khas (DHT).
Dengan kuasa keseluruhan sebanyak 347 ps dan 525 Nm, model ini lebih berkuasa berbanding versi ICE, yang hanya mempunyai 197 ps dan 290 Nm. Baterinya yang berkapasiti 18.3 kWj membolehkan J7 PHEV mencapai jarak perjalanan sehingga 90 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC, yang efisien dengan masa pengecasan daripada 30-80% hanya kira-kira 20 minit.
Sistem hibrid canggih yang digunakan membolehkannya mencapai purata penggunaan bahan api serendah 5.2 liter/100 km (WLTP).
Dalam konvoi yang disertai tujuh negara (termasuk Malaysia) baru-baru ini, kami diberikan peluang untuk menguji kemampuan Jaecoo J7 PHEV untuk menempuhi perjalanan sejauh 1,300 km dari Guangzhou ke ibu pejabat Jaecoo di Wuhu, China dan cuba mengatasi jarak perjalanan yang dinyatakan di atas kertas iaitu 1,200 km dengan satu tangki penuh dan satu kali cas penuh.
Bahagian Pertama – Hampir 800 KM
Bahagian pertama perjalanan membabitkan perjalanan sekitar 800 km, bermula dari Guangzhou hingga ke titik tengah di Nanchang, manakala bahagian kedua melibatkan perjalanan sejauh 500 km menuju destinasi terakhir di Wuhu.
Di awal perjalanan, kami melalui jalan-jalan di sekitar bandar dan laluan B (B-road) luar bandar. Di sinilah kami menguji dan menggunakan mod pemanduan elektrik J7 PHEV sepenuhnya. Mengejutkan, J7 PHEV berjaya melepasi jarak EV yang dinyatakan, iaitu 90 km, selepas kami berjaya mencatatkan jarak luar biasa sejauh 125 km sebelum enjin pembakaran diaktifkan dan mod pemanduan HEV yang boleh dicas sendiri mula mengambil alih.
Semasa bateri di bawah 15%, kami meneruskan baki perjalanan dalam mod HEV (Hybrid Electric Vehicle), di mana paparan pada kluster instrumen menunjukkan baki tangki 60 liter yang masih penuh, dengan anggaran jarak boleh perjalanan sejauh 1,100 km. Bahagian kedua perjalanan pertama kami kebanyakannya melibatkan pemanduan di lebuh raya dengan kelajuan antara 80 km/j hingga 120 km/j melalui beberapa laluan berbukit dan menurun.
Dalam mod HEV, tahap bateri J7 PHEV kekal sekitar 20% kerana enjin dan motor elektrik saling bekerjasama untuk mengecas dan mengeluarkan tenaga bateri ketika kami memandu. Pada kelajuan rendah di kawasan bandar, sistem ini secara automatik bertukar kepada mod EV penuh.
Tidak seperti model hibrid lain dengan bateri yang boleh dicas sendiri, J7 PHEV boleh dikatakan agak senyap dalam mod HEV. Walaupun bunyi enjin masih dapat didengari, ia masih lebih rendah berbanding model hibrid yang lain. Pemanduan juga sangat lancar dan selesa, dengan sebahagian besar pergerakan kenderaan dipacu oleh motor elektrik.
Setelah mengharungi laluan lebuh raya yang panjang dan berliku, kami tiba di hentian pertama di Nanchang. Pada ketika ini, kami telah pun menempuhi perjalanan sejauh 775 km dari titik permulaan, dengan paparan instrumen menunjukkan anggaran baki jarak 405 km dengan bahan api yang tinggal dalam tangki.
Bahagian Kedua – Mampukah Jarak Keseluruhan 1,300 KM Dicapai?
Bagi bahagian kedua konvoi, kami perlu menempuh jarak antara 450 km hingga 500 km dari Nanchang ke ibu pejabat Omoda & Jaecoo (O&J) di Wuhu. Dengan baki jarak kira-kira 405 km seperti yang dinyatakan tadi, kami menjangkakan mungkin tidak akan mampu untuk sampai ke Wuhu tanpa perlu mengisi semula bahan api, memandangkan sebahagian besar bahan api telah digunakan semasa perjalanan pertama yang lebih jauh.
Dengan jarak perjalanan terkumpul sejauh 1,159 km, dan baki 85 km bahan api tinggal di dalam tangki, dan sekitar 120 km lagi diperlukan untuk tiba ke destinasi, kami terpaksa ‘mengibarkan bendera putih’ dan mengisi minyak untuk memastikan kami dapat sampai ke destinasi dengan selamat.
Walaupun gagal mencapai sasaran 1,300 km, kami berjaya mencatatkan jarak keseluruhan sebanyak 1,244.6 km dengan hanya satu tangki dan satu cas bateri yang penuh, melebihi jarak rasmi yang diuar-uarkan, iaitu 1,200 km.
Potensi Mencapai 1,300 KM
Sekiranya kami berjaya mengekalkan kelajuan sekitar 100 km/j sepanjang perjalanan tanpa ‘godaan’ untuk menggunakan sepenuhnya kuasa 347 ps dan tork 525 Nm yang ada, kami yakin sasaran 1,300 km boleh dicapai.
Inilah yang berjaya dilakukan oleh pasukan dari UK yang mencatatkan jarak keseluruhan sebanyak 1,352 km dengan hanya satu tangki penuh dan satu cas bateri. Kejayaan tersebut menjadikan pasukan UK sebagai juara dalam cabaran 1,300 km ini.
Jaecoo J7 PHEV menunjukkan prestasi mengagumkan sepanjang sesi pandu uji dan cabaran ini, membuktikan kemampuannya untuk menempuh perjalanan jarak jauh dengan kombinasi teknologi hibrid dan elektrik yang cekap. Walaupun pasukan Malaysia tidak berjaya mencapai jarak perjalanan yang disasarkan, ia tetap memberi gambaran jelas tentang potensi luar biasa kenderaan ini.
Jarak perjalanan lebih 1,200 km berjaya kami capai walaupun sesekali kereta ‘dilenjan’ untuk menguji prestasinya. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pemandu biasa di Malaysia mungkin tiada masalah untuk mencapai jarak yang diiklankan untuk SUV PHEV ini, lebih-lebih lagi sekiranya kereta dipandu secara berhemah.
Apa yang turut mengujakan kami adalah jarak mod pemanduan EV yang sangat mengagumkan. Dengan bateri 18.3 kWj, kami berjaya mencatat lebih daripada 100 km, mengatasi banyak model PHEV lain di pasaran.
Pendaftaran Minat Jaecoo J7 PHEV
Pendaftaran minat (ROI) untuk Jaecoo J7 PHEV kini dibuka di laman web rasmi Jaecoo Malaysia. Berdasarkan harga versi CKD J7 yang tidak melebihi RM150,000, menarik untuk kita lihat bagaimana Jaecoo Malaysia akan menetapkan harga jualan bagi model PHEV ini.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv