- Berita
- Teknologi
- Leapmotor C10: Tanpa Apple CarPlay & Android Auto, Berbaloi Atau Tidak
Leapmotor C10: Tanpa Apple CarPlay & Android Auto, Berbaloi Atau Tidak
Sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk memiliki kenderaan elektrik (EV) Leapmotor C10 yang dilancarkan di Malaysia tahun lalu, ketiadaan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (ACP & AA) pada SUV elektrik segmen D ini mungkin membuatkan anda berfikir dua, tiga kali lagi.
Tiada ACP & AA pada Generasi Semasa
Model C10 dengan unit infotainmen bersaiz 14.6 inci ini tidak akan dilengkapi dengan kedua-dua fungsi ACP dan AA dalam generasi semasanya, walaupun ia hadir dengan teknologi canggih seperti kemampuan kemas kini perisian over-the-air (OTA).
Perkara ini telah disahkan oleh Ketua Produk dan Pemasaran Leapmotor International, Francesco Giacolone semasa pelancaran rasmi model tersebut di Australia, salah satu pasaran terbaru yang menerima kehadiran EV ini.
“Setakat ini, C10 tidak didatangkan dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay,” kata Giacolone kepada media Australia. Beliau turut menjelaskan bahawa ciri teknikal sedia ada pada C10 tidak mampu menyokong kedua-dua ciri tersebut.
QDLink Jadi Penyelesaian Alternatif
Leapmotor C10 membolehkan sambungan kepada sistem Android dan Apple melalui fungsi mirroring QDLink
Sebagai langkah penyelesaian sementara, pembeli di Australia ditawarkan aplikasi dalam kereta yang dipanggil QDLink. Aplikasi ini berfungsi sebagai mirroring telefon pintar, membolehkan pengguna mengakses aplikasi seperti Google Maps namun dalam masa yang sama mengekalkan fungsi Bluetooth untuk panggilan telefon serta aktiviti lain di dalam kereta.
Walaupun berguna, QDLink tidak begitu intuitif dan lancar seperti ACP dan AA. Ketiadaan ciri ini pastinya menjadi faktor besar yang ‘menggugat’ minat pembeli, terutamanya jika dilihat dari sudut harga model SUV elektrik ini, berbeza dengan pesaingnya seperti Xpeng G6 yang menawarkan ACP dan AA sebagai ciri standard.
Spesifikasi & Harga Di Malaysia
Leapmotor C10 telah dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu oleh Stellantis Malaysia. Model ini hanya ditawarkan dalam satu varian, Design, pada harga RM159,000. Ia dilengkapi dengan pek bateri 69.9 kWj yang memacu motor elektrik belakang dengan kuasa 216 hp (219 ps) dan 320 Nm.
Dengan sistem ini, C10 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.5 saat, dengan jarak pemanduan maksimum yang didakwa mencecah 424 km.
Tanpa sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, adakah Leapmotor C10 masih menjadi pilihan ramai?
Baca: Proton X70 Facelift 2025, Model Pertama Proton Ada Android Auto, Apple CarPlay
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv