- Berita
- Teknologi
- Bola Golf Jadi Inspirasi Tayar Terbaru Continental, EcoContact 7 & EcoContact 7 S
Bola Golf Jadi Inspirasi Tayar Terbaru Continental, EcoContact 7 & EcoContact 7 S
Pengeluar tayar terkemuka, Continental, telah memperkenalkan produk terbaru mereka, EcoContact 7 dan EcoContact 7 S. Siri terbaru ini direka dengan fokus terhadap kecekapan maksimum.
Jurutera Continental mendedahkan bahawa pasukannya telah mengkaji pelbagai idea dari seluruh dunia bagi mencapai matlamat ini. Menariknya, inspirasi utama reka bentuk tayar ini datang daripada bola golf!
Reka Bentuk ‘Dimples’ Diambil Daripada Bola Golf
Bagi yang biasa dengan permainan golf, pasti tahu bahawa permukaan bola golf mempunyai lekuk kecil atau dimples untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik. Konsep ini telah diambil sebagai inspirasi untuk Continental membangunkan teknologi Aerodimples, di mana ratusan lekuk kecil ditempatkan di sekitar dinding sisi dan tepi bunga tayar.
Ciri ini, menurut Continental, membantu mengurangkan rintangan udara di bahagian belakang tayar, membolehkannya bergolek dengan penggunaan tenaga yang lebih rendah.
Sebatian Getah Green Chili 3.0 Untuk Rintangan Golekan Rendah
Continental turut memperkenalkan sebatian getah Green Chili 3.0, yang direka khusus untuk mengurangkan rintangan golekan, sekaligus meningkatkan kecekapan bahan api dan jangka hayat tayar.
Bagi model EcoContact 7 S, sebatian ini diberikan sedikit pengubahsuaian agar dapat memberikan cengkaman yang lebih baik, terutama ketika memandu dalam keadaan jalan licin kerana basah.
Selain itu, bahagian dalam tayar menggunakan teknologi Smart Energy Casing bagi mengurangkan geseran dalaman, sekaligus meningkatkan kecekapan.
Untuk keselesaan semasa memandu, Continental turut memperkenalkan corak bunga tayar Silent Pattern yang mana jarak dan sudut blok bunga tayar telah dioptimumkan bagi mengurangkan gangguan bunyi jalan.
Direka Untuk Kenderaan Biasa & Elektrik (EV)
Walaupun tayar ini direka dengan kecekapan tinggi untuk kenderaan pembakaran dalaman (ICE), ia juga sesuai digunakan pada kenderaan elektrik (EV) untuk mencapai tahap kecekapan maksimum.
Bagi pasaran Eropah, kedua-dua model EcoContact 7 dan EcoContact 7 S dikelaskan sebagai tayar untuk musim panas sahaja, serta menerima penarafan Kelas A oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk rintangan golekan dan Kelas B untuk bunyi jalan.
Adakah Akan Ditawarkan Di Pasaran Lain?
Buat masa ini, Continental masih belum mengesahkan sama ada EcoContact 7 dan EcoContact 7 S akan ditawarkan di pasaran lain. Namun, kemungkinan tersebut agak tinggi kerana kedua-dua tayar ini telah mendapat kelulusan sebagai tayar OEM daripada beberapa jenama automotif utama seperti Volkswagen, Mercedes-Benz dan BYD.
Baca: Ada 2,500 Panel Solar Di Kilang Tayar Continental, PJ
Baca: Lulus Puspakom Dengan Tayar Sewa, JPJ Perhati, Sitaan Menanti
Baca: Seorang Mekanik Maut Selepas Terkena Tayar Ganti Terbang
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv