[PANDU UJI] Mercedes-Benz GLA 250 4MATIC Facelift 2024: 6 Perkara Penting Perlu Anda Tahu Sebelum Beli
Sofea Najmi
4-11-2024
Baru-baru ini Carz.com.my berpeluang untuk memandu uji SUV premium, Mercedes-Benz GLA 250 4MATIC Facelift 2024 yang telah dilancarkan pada pertengahan tahun ini.
Model yang boleh dikatakan sebagai ‘abang’ kepada GLA 200 ini dijual pada harga lebih tinggi sebanyak RM37,000 pada harga RM295,888, atas jalan, tidak termasuk insurans.
Setelah meluangkan masa selama beberapa hari bersama model daripada jenama mewah yang agak sporty ini, ini ENAM perkara penting yang patut anda tahu sebelum membeli GLA 250 yang terbaru, dan mengapa ia pilihan berbaloi berbanding GLA 200 dan mungkin juga pesaing lain.
1. Reka Bentuk Elegan
Sebagai sebuah SUV, GLA 250 kelihatan gah dengan badan yang lebih tinggi berbanding model lain dalam barisan kenderaan sedan dan hatchback Mercedes-Benz.
Jenama mewah ini masih tidak gagal mengekalkan ciri-ciri elegan bersesuaian dengan statusnya, dengan pemasangan gril yang menawan yang memaparkan logo Mercedes-Benz yang besar.
Bagaimanapun, gril ini diapit oleh lampu depan reflektor LED yang mungkin kurang menarik untuk sesetengah pengguna yang menjangkakan teknologi lampu lebih canggih dan sofistikated seperti lampu jenis projektor.
Sebagai pilihan lebih premium berbanding GLA 200, jentera ini diberikan beberapa elemen yang membuatkannya lebih menyerlah seperti diffuser belakang dan rim aloi lima jejari khas daripada AMG berukuran 19 inci, lebih besar daripada GLA 200 dengan rim berukuran 18 inci. Turut dapat dilihat dari tepi jentara sporty ini ialah brek sport berwarna hitam yang tersembunyi di sebalik rim.
Ditawarkan dalam beberapa pilihan warna, tetapi pada pendapat penulis, warna hitam mungkin antara yang paling menarik yang mampu menyerlahkan aura sebenar GLA 250 4Matic yang elegan dan sporty.
2. Kabin Beraura Mewah & Sporty
Kata orang, lebih baik hidup tidak bahagia tetapi kaya, daripada hidup bahagia tetapi miskin, sebab sekurang-kurangnya semasa diri sedang dilanda kesedihan, boleh tumpahkan air mata di dalam Mercedes-Benz. Kalau tidak setuju, ini bukan kata-kata penulis tetapi ayat viral di internet ya.
Setelah seharian penat bekerja, memasuki ruang kabin GLA 250 terasa seperti berada di atas katil empuk kerana tempat duduknya cukup selesa dalam balutan kulit sintetik Artico dan gentia Microcut. Untuk yang berbadan kecil mahupun tinggi, keselesaan optimum dapat dicapai sistem pelarasan automatik yang disediakan yang termasuk sokongan sudut bawah tulang belakang (lumbar) dan pemanjang sudut perehat peha untuk pemandu.
Model ini menggunakan stereng sporty yang rata di bawah dengan butang kawalan jenis sentuhan.
Model ini juga tampil sporty dengan ciri seperti lapisan dalam bumbung (headline) berwarna hitam, kemasan aluminium, jahitan merah yang kontra dengan tempat duduk hitam, pedal aloi dan kemasan aluminium.
Dari segi ruang, tempat duduk hadapan cukup selesa namun ruang kaki untuk tempat duduk belakang terasa sedikit sempit terutamanya untuk orang dewasa. Selain itu, untuk cuaca seperti di Malaysia, ketiadaan pendingin hawa di belakang juga agak mengecewakan.
3. Kelengkapan & Teknologi
Untuk sebuah model mewah dengan harga hampir RM300,000, kelengkapan dan teknologi yang disediakan cukup memuaskan. Model ini menggunakan skrin infotainmen di bahagian tengah yang bersambung dengan paparan instrumen digital, kedua-duanya berukuran 10.25 inci dan beresolusi tinggi.
Model kali ini menggunakan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terbaru dengan skrin sentuh, tiada lagi pad sentuh menjadikan konsol tengah lebih lapang, sesuai untuk menjadi ruang letak kunci atau telefon.
64 warna pencahayaan ambien disediakan untuk menaikkan mood di ruang kabin.
Sistem infotainmen boleh disambungkan dengan mudah kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa menggunakan wayar. Kemudahan lain yang disediakan ialah pad pengecas tanpa wayar, kamera undur, sistem masuk kenderaan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan sistem bukaan but belakang automatik. Turut disediakan ialah pengecas USB-C untuk barisan tempat duduk depan dan belakang.
4. Prestasi Yang Mantap
Menjadi jantung kepada GLA 250 ialah enjin turbo 2.0 liter M260 yang digabungkan dengan kuasa elektrik daripada sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V dengan penjana pemula bersepadu (ISG). Enjin ini menghasilkan 225 ps dan 350 Nm, sementara sistem ISG pula menyalurkan kuasa tambahan sementara sebanyak 14 ps dan 150 Nm. Sistem trenkuasa ini digandingkan dengan transmisi dwi-klac (DCT) lapan kelajuan.
Dengan sistem ini, menurut Mercedes-Benz, GLA 250 boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa sepantas 6.8 saat, lebih pantas daripada GLA 200.
Kuasa ini disalurkan kepada kesemua roda melalui sistem pacuan semua roda (AWD) 4Matic Mercedes-Benz yang membuatkan jentera terasa kekal lincah dan mudah dikawal walaupun semasa menempuhi selekoh atau jalan yang licin kerana hujan dengan olengan badan yang minimal.
Respon kenderaan yang baik dan olengan badan yang minimal ini turut dibantu oleh penggunaan sistem suspensi MacPherson di hadapan dan Multi-link di belakang.
Semasa dipandu laju, kereta juga terasa stabil kerana sistem suspensi diberikan talaan sedikit keras, sesuai dengan gaya sporty AMG Line yang diketengahkan untuk model ini.
5. Praktikal Untuk Kegunaan Harian
Dari segi praktikaliti, GLA 250 4Matic Facelift 2024 menawarkan ruang kargo berkapasiti 425 liter ketika semua tempat duduk dalam kedudukan biasa, cukup luas untuk keperluan harian. Sekiranya memerlukan lebih banyak ruang untuk membawa barangan besar atau dalam jumlah banyak, kapasiti kargo ini boleh ditingkatkan sehingga 1,420 liter dengan nisbah lipatan 40:20:40 untuk tempat duduk belakang. Ini menjadikan GLA 250 sesuai untuk perjalanan jauh atau aktiviti hujung minggu seperti berkhemah atau membawa basikal lipat, di mana lebih banyak ruang penyimpanan diperlukan.
6. Ciri Keselamatan Yang Cukup Baik
Selain tujuh beg udara pada sekitar ruang kabin demi keselamatan kesemua penumpang, GLA 250 turut didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan canggih seperti bantuan titik buta, amaran keluar (semasa membuka pintu), sistem brek autonomi, amaran pelanggaran, peringatan pemakaian tali pinggang (semua tempat duduk) dan banyak lagi.
Berbaloi atau tidak?
Berbaloi atau tidak?
Mercedes-Benz GLA 250 4Matic Facelift 2024 memang menyerlah dalam kategori SUV mewah bukan hanya kerana imej eksklusif yang dijanjikan oleh jenama gah ini, tetapi juga kerana kualiti pengendalian dan keselesaan yang ditawarkan. Namun, tidak dinafikan masih ada pesaing yang dapat memberikan sesuatu yang ‘lebih’ jika dilihat dari sudut harga.
Sekiranya anda menginginkan sebuah model yang lebih praktikal dan berbaloi untuk keluarga besar dengan tiga baris tempat duduk dan ruang kargo yang lebih luas dan prestasi yang hampir sama dengan kuasa 217 hp dan 350 Nm, Volkswagen Tiguan Allspace R-Line menawarkan ciri ini pada harga jauh lebih rendah.
Sementara itu, BMW X1 pula lebih menonjol dalam aspek dinamik pemanduan, dan mungkin juga rekaan bagi mereka yang menginginkan sebuah SUV dengan sentuhan lebih sporty.
Namun dalam pelbagai sudut, GLA 250 tetap pilihan yang ‘solid’ untuk sebuah SUV mewah, lebih-lebih lagi kerana pembelian adalah turut termasuk waranti daripada Mercedes-Benz Malaysia selama empat tahun tanpa had perbatuan.
Bagaimana pula pendapat anda?
SPESIFIKASI
MERCEDES-BENZ GLA 250 4MATIC FACELIFT 2024
ENJIN | Turbo 2.0 liter, 4 silinder M260, sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V dengan penjana pemula bersepadu (ISG) |
TRANSMISI | DCT 8 kelajuan, pacuan semua roda (AWD) |
KUASA | 225 PS @ 5,500 RPM |
TORK | 350 NM @ 1,800 RPM |
0-100 KM/J | 6.8 saat |
V-MAX | 240 KM/J |
BERAT | 1,485 kg |
HARGA | RM295,888.00, atas jalan, tidak termasuk insurans |
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv
Nombor Plat JPJ Terbaru
KUALA LUMPUR
VPC2360
SELANGOR
BSE4702
JOHOR
JXW5570
PULAU PINANG
PRQ3725
PERAK
ANV3808
PAHANG
CFB6721
KEDAH
KGA4299
NEGERI SEMBILAN
NEF7286
KOTA KINABALU
SJK7524
KUCHING
QAB3146L
Terakhir Kemas Kini 03 May, 2025
Harga Bahan Bakar
Petrol
RON 95
RM 2.05
RON 97
RM 3.18
RON 100
RM 5.00
VPR
RM 6.23
Diesel
EURO 5 B10
RM 2.88
EURO 5 B7
RM 3.08
Terakhir Kemas Kini 01 May, 2025
Berita Berkaitan
Harga berpatutan Mercedes 2021 – Maybach Kelas-S
Mercedes mendedahkan harga sedan mewah yang telah direka semula, Maybach Kelas S di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
09-04-2021
Berita Terkini
[Pandu Uji Ringkas] Zeekr 009: MPV Elektrik Mewah Yang Canggih & Lincah
CariCarz berpeluang untuk memandu uji MPV elektrik mewah, Zeekr 009, dalam acara eksklusif bersama media anjuran Zeekr Malaysia.
15-04-2025
6 Sebab Kenapa Toyota Corolla Masih Berbaloi Untuk Dimiliki Pada Tahun 2025
Sejak diperkenalkan pada tahun 1966, Toyota Corolla telah menjadi salah satu model paling berjaya dalam sejarah automotif.
18-03-2025
Sudah Diuji: Kia Sportage CKD 2025
Kami berpeluang memandu uji Kia Sportage CKD 2025, baru-baru ini.
28-02-2025
[PANDU UJI RINGKAS] 6 Ciri Ini Menyerlah Pada Leapmotor C10
Dalam sesi pandu uji hari ini penulis berpeluang untuk merasai sendiri keistimewaan Leapmotor C10 walaupun hanya untuk beberapa jam. Teruskan membaca untuk kupasannya...
26-02-2025
Sudah Diuji: EV9 GT-Line, Nampak Besar Macam Raksasa, Harga Pun Boleh Tahan!
Carz.com.my berpeluang memandu uji KIA EV9 GT-Line AWD baru-baru ini.
03-02-2025
Pandu Uji BYD Seal Performance: EV Paling Hot Di Malaysia
Kami berpeluang memandu uji BYD Seal Performance, baru-baru ini.
27-01-2025
Sudah Diuji: Ramai Betul Geram Tengok Peugeot 408 GT, Design Memang Stylo Habis
Penulis berpeluang memandu uji varian tertinggi, Peugeot 408 GT beberapa bulan lalu.
24-01-2025
Sudah Diuji: GWM Tank 500 Kental Habis Redah Salji Tebal, Sah Masuk M'sia
Carz.com berpeluang memandu uji GWM Tank 500 Hi4-Z di kawasan pergunungan di China, baru-baru ini.
20-01-2025
Tunjuk Lebih
trending_flat