- Berita
- Pandu Uji
- Volkswagen Tiguan Allspace R-Line: SUV Keluarga Yang Lasak!
Volkswagen Tiguan Allspace R-Line: SUV Keluarga Yang Lasak!
Kalau hanya ada satu kereta di rumah yang perlu digunakan untuk bermacam urusan, Volkswagen Tiguan Allspace R-Line patut menjadi pilihan.
Prestasi yang menakjubkan, lasak, tempat duduk yang banyak, rekaan yang tak lapuk dek zaman, ini adalah empat perkara yang boleh penulis katakan untuk menggambarkan Volkswagen Tiguan Allspace R-Line.
Tiguan versi 7 tempat duduk ini dilancarkan buat pertama kali pada tahun lalu sebelum menerima beberapa penambahbaikan pada tahun ini, 2021. Dua versi Tiguan Allspace yang telah diperkenalkan semasa pelancaran ialah dua versi Tiguan Allspace telah diperkenalkan ialah 1.4TSI Highline yang ditawarkan buat masa itu pada harga RM 164,430.75 dan varian 2.0TSI R-Line pada harga RM 208,553.79.
Penulis berpeluang untuk mencuba sendiri varian 2.0TSI R-Line bagi kegunaan harian. Artikel ini mendedahkan pandangan penulis tentang varian ini.
Tanggapan awal
Tiguan Allspace R-Line tampil sporty dengan ciri-ciri seperti bampar depan dan belakang khas R-Line, skirt sisi, rim 19 inci, ekzos berkembar berbentuk trapezium dan juga spoiler belakang. Rekaan keseluruhan bahagian depan kereta iaitu gril dan lampu depan juga kelihatan agresif.
Pengalaman Sebagai Pemandu
Masuk ke ruang kabin, penulis terasa agak janggal kerana ini merupakan pertama kali duduk di atas tempat duduk sporty. Rekaannya seolah-olah ‘memeluk’ badan supaya tetap pada kedudukan walau dipandu laju.
Namun satu perkara yang menjadi isu adalah ketinggian papan pemuka kereta yang agak tinggi untuk penulis walaupun tempat duduk telah dilaraskan agar sesuai dengan saiz badan. Keadaan ini agak mengganggu keselesaan penulis kerana pandangan hadapan yang terhad.
Dari segi kuasa, Tiguan Allspace R-Line dikuasakan oleh enjin TSI berpengecas turbo 2.0L yang menyalurkan kuasa kepada keempat-empat roda melalui transmisi DSG (basah) 7 kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda 4Motion. Di atas kertas, gabungan trenkuasa ini mampu mencapai kuasa output 217 hp dan tork 350 Nm.
Mod pemanduan kereta boleh diubah melalui tombol yang terletak di sebelah kiri pemandu, namun kedudukannya kurang strategik kerana agak sukar untuk dilihat lebih-lebih lagi sekiranya masih baru menggunakan kereta ini. Mod boleh ditukar sama ada Normal, Eco, Sport, Comfort atau Individual. Terdapat juga pilihan Off-road untuk pemanduan lasak.
Secara keseluruhannya, SUV ini cukup responsif dan mudah untuk dikawal walau dipandu dalam apa sahaja kelajuan, sederhana mahupun laju. Ketika dipandu laju, dapat dirasakan kestabilan kereta dengan cengkaman tayar yang meyakinkan. Suspensi kereta juga sangat memuaskan kerana olengan badan penumpang di dalam kereta adalah minimum semasa melalui jalan berlubang atau berbonggol. Kuasa yang dimiliki enjin kereta tidak dapat dinafikan kerana penulis dapat memecut dan memintas pemandu lain dengan mudah.
Pengalaman Sebagai Penumpang
Volkswagen Tiguan Allspace buat pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 2020 sebagai model Tiguan terbaharu dengan bilangan tempat duduk yang lebih banyak daripada model asal, Volkswagen Tiguan. Model sebelum ini tampil dengan lima tempat duduk dan Allspace dihadirkan dengan tujuh tempat duduk. Ini sememangnya sebuah model kereta yang sesuai untuk kebanyakan keluarga, tak perlulah nak naik sampai dua kereta kalau balik kampung beraya, ye tak?
Penulis sendiri berpeluang untuk membawa bersama seluruh ahli keluarga seramai tujuh orang untuk merasa pengalaman menaiki SUV tujuh tempat duduk ini dengan memenuhkan semua ruang kereta..
Tempat duduk depan dan di barisan kedua cukup selesa walaupun untuk perjalanan jauh. Ruang kaki yang luas memang muat untuk meregangkan badan sekiranya lenguh semasa perjalanan. Menambahkan lagi keselesaan adalah dengan adanya pendingin hawa di barisan ini.
Walau bagaimanapun, penumpang di barisan ketiga tidak begitu selesa disebabkan ruang kaki yang agak sempit di samping terasa agak panas dalam cuaca Malaysia tanpa pendingin hawa di barisan ini. Walaupun ada pendingan hawa di barisan kedua bagi yang mengalirkan udara sejuk di tempat duduk belakang, namun mungkin kerana kedudukan yang agak rendah, membuatkan udara tidak dapat mengalir jauh sehingga ke belakang.
Aspek lain
Kapasiti kargo kereta ini sekiranya kerusi tidak direbahkan ialah 230 liter dan sekiranya kerusi di barisan ketiga dilipat kapasiti bertambah kepada 700 liter, dan sekiranya barisan kedua juga dilipat ruang simpanan yang cukup luas sehingga 1,775 liter, sememangnya muat kalau anda bercadang untuk mengangkut basikal ke lokasi rekreasi atau mengangkut perabot yang besar.
Dari segi keselamatan, Tiguan Allspace R-Line dilengkapi enam beg udara, cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, kamera pandangan belakang yang terpasang pada but kereta, bantuan rehat (sistem amaran pemandu), sistem brek selepas pelanggaran dan kawalan turun bukit.
Berbaloi atau tidak?
Tiguan Allspace R-Line cukup sesuai digunakan oleh individu yang inginkan lebih keseronokan dan kepuasan ketika memandu, dalam masa yang sama, inginkan lebih praktikaliti dan fungsi. Bukan sekadar prestasi yang mantap semata-mata, tapi juga ruang yang selesa untuk penumpang yang ramai bagi apa sahaja aktiviti sama ada lasak atau santai.
Dengan adanya teknologi pacuan semua roda, 4MOTION, tiada yang dapat menghalang kereta ini daripada terus bergerak dan tiba ke destinasi dengan penuh tenaga. Namun, satu aspek yang dapat dimasukkan untuk menjadikan kereta ini lebih sempurna ialah penambahan sistem keselamatan yang agak penting seperti brek kecemasan autonomi.
Jadi, adakah berbaloi untuk membeli Tiguan Allspace R-Line? Jika dilihat daripada keseluruhan aspek kereta ini, terutamanya prestasi kereta dan juga kesesuaian untuk digunakan dengan keluarga, harga RM 208,553.79 yang hampir RM45,000 lebih daripada harga varian 1.4TSI Highline, adalah sangat berbaloi.
Diharapkan artikel ini dapat membantu anda membuat keputusan sebelum membeli. Terima kasih kerana membaca sehingga ke penghujung artikel. Dah baca, jangan lupa untuk kongsi artikel ini di media sosial ya?
Terkini:
Volkswagen Malaysia baru sahaja melancarkan Tiguan Allspace 2022 pada hari Sabtu yang lalu. Namun, penulis masih belum berpeluang untuk mencuba keluaran terbaharu ini. Untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang Tiguan Allspace terbaharu, nantikan artikel yang akan datang.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv