- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Ini 8 Perkara Menarik Tentang MINI Electric Resolute Edition
[PANDU UJI] Ini 8 Perkara Menarik Tentang MINI Electric Resolute Edition
Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk merasa sebuah kereta yang berharga lebih RM200,000 iaitu MINI Electric Cooper SE Resolute Edition. Ini pendapat penulis tentang kereta comel tetapi elegan ini…
#1 EV Terbaik Untuk Dijadikan Prop ‘OOTD’
Menjadi perhatian di mana sahaja, walaupun kecil, kehadirannya dirasai semua. Setuju atau tidak, MINI memiliki gaya tersendiri yang unik dan sedap dipandang. Dari awal kehadirannya di pasaran pada tahun 1959, pelbagai elemen rekaan pada model klasik itu dikekalkan pada versi baharu, mungkin kerana inilah MINI nampak menonjol, klasik dan elegan?
Antara ciri klasik yang dapat dilihat pada MINI Electric ini ialah lampu hadapan berbentuk bulat, gril hadapan yang berbentuk heksagon dan bentuk badan kompaknya. Cuba tengok model klasik di bawah:
Mini-Minor Morris yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada bulan Ogos, tahun 1959 (Sumber: Wiki)
Persoalan seterusnya apa yang membezakan MINI Electric dengan versi ICE? Dari segi rekaan, MINI Electric diberikan rim aloi bersaiz 17 inci dalam reka bentuk khas yang membantu meningkatkan aerodinamik. Selain itu, model ini memiliki reka bentuk gril depan yang ‘tertutup’ kerana tiada lagi keperluan untuk menyejukkan enjin.
Beberapa ciri pada MINI Electric yang membezakannya daripada versi ICE
#2 Kecil-Kecil Cili Padi
Pickup kereta ini memang lain macam! Memandangkan model ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, ia mampu mencapai kuasa tork penuh, iaitu 270 NM dengan lebih pantas berbanding versi petrol. Penghantaran tork yang pantas memang terasa terutama semasa penulis cuba untuk memotong kenderaan hadapan.
Di atas kertas, MINI Electric dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100 KM/J dalam masa hanya 7.5 saat. Namun, hanya satu kekurangan yang penulis perasan, pedal perlu ditekan kuat sedikit untuk mendapatkan respon, ini bermakna, untuk perjalanan jarak jauh boleh jadi agak memenatkan.
#3 Capai 80% Sepantas Waktu Bersantai Minum Kopi
Atas kertas, model ini dikatakan mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit untuk dicas penuh menggunakan pengecas AC 11 kW, sambungan Jenis 2. Sementara itu, untuk pengecasan lebih pantas, bateri kereta boleh dicas dengan pengecas pantas DC, sambungan CCS2 sehingga 50 kW dalam masa hanya kira-kira 36 minit, dari kapasiti 10-80%.
Berdasarkan pengalaman dunia nyata penulis, berikut adalah masa yang diambil untuk dicas:
Dari 0-84% kira-kira 30 minit (kiri) dan untuk capai kapasiti penuh ambil masa hampir 1 jam (kanan)
Jarak EV dalam mod pemanduan Green yang dipaparkan pada skrin setelah kereta dicas penuh
Dengan cas penuh, sistem on-baord MINI memaparkan jarak EV yang mampu dicapai ialah sehingga 143 KM. Namun menurut rakan setugas penulis yang berpeluang untuk memandu uji model ini bagi perjalanan jarak jauh dari Ipoh ke Sungai Buloh, dengan cas awal 96%, ia sebenarnya mampu bergerak lebih jauh daripada jarak perjalanan yang dinyatakan, iaitu kira-kira 180+ KM, dengan baki 10%. Ini bermakna, jarak untuk pemanduan sebenar MINI Electric kurang kira-kira 50 KM daripada jarak yang dinyatakan atas kertas, 232 KM (WLTP).
Untuk meningkatkan jarak EV dan mengurangkan range-anxiety, terdapat mod pemanduan Green+ (mengurangkan kuasa dan fungsi ‘comfort’) dan Green (mengurangkan kuasa). Ciri lain yang boleh dimanfaatkan untuk memaksimumkan jarak EV ialah fungsi brek regeneratif atau regenerative braking:
MINI menjelaskan tentang fungsi brek regeratif pada MINI Electric
Teknologi brek regeneratif yang terdapat pada MINI Electric membolehkan tenaga pergerakan atau kinetik disalurkan sebagai tenaga elektrik semasa kelajuan direndahkan.
#4 Kabin Yang Sedap Dipandang
Semasa memasuki MINI, terutama dalam suasana gelap, penulis disambut oleh pantulan cahaya logo MINI pada lantai. Memasuki ruang dalam kereta kecil ini, terlihat satu ruang kabin yang beraura klasik. Dari segi keselesaan, tempat duduk MINI Electric cukup empuk, selain boleh dilaraskan untuk keselesaan optimum.
Berikut adalah antara ciri menarik di ruang kabin:
Terdapat pencahayaan kuning yang menunjukkan anggaran kapasiti bateri EV pada sekeliling sistem infotainmen berbentuk bulat ini.
Terdapat papan pandu (HUD) yang memaparkan kelajuan kereta dan media/lagu yang dimainkan (kiri) dan lampu 'welcome' (kanan)
Selain itu, terdapat juga ciri pencahayaan ambien yang menyedapkan lagi pandangan. Warna cahaya ini boleh ditukar menggunakan butang yang terdapat di hadapan cermin pandang belakang. Sebenarnya, banyak ciri yang menarik perhatian penulis, tetapi, satu kekurangan MINI ialah tempat duduk belakang yang agak sempit. Tidak begitu sesuai untuk penumpang dewasa duduk di bahagian belakang. Tetapi jika difikirkan, bagi sebuah kereta sekecil ini, adanya tempat duduk belakang merupakan satu bonus.
#5 Ruang Simpanan Yang Fleksibel
MINI Electric menawarkan ruang simpanan yang fleksibel memandangkan tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40. Foto daripada laman web rasmi MINI menunjukkan pandangan yang jelas:
Dengan kesemua tempat duduk tidak dilipat, ruang but asal memberikan kapasiti simpanan sehingga 211L.
Apabila satu tempat duduk dilipat, kapasiti simpanan ialah 539L dan apabila kesemua tempat duduk belakang dilipat, ruang simpanan maksimum EV ini mencapai 731L.
#6 ‘MINI’ Kebisingan
Sangat senyap, inilah salah satu daya tarikan EV. Ketiadaan enjin pembakaran bukan sahaja meningkatkan lagi kelancaran penghantaran kuasa kereta, tetapi juga memberikan keselesaan tambahan kepada pemandu dan penumpang kerana tiada lagi bunyi enjin.
#7 Sistem Audio Premium Harman Kardon
Minimum gangguan bunyi di kabin kereta bermaksud ‘maksimum' keseronokan untuk melayan muzik. MINI Electric dilengkapi dengan sistem audio Harman Kardon terdiri daripada 12 speaker, dari treble hingga bass, semuanya jelas.
#8 Sempurna Untuk Kegunaan Di Bandar
Kalau anda inginkan sebuah kereta untuk perjalanan jarak jauh, dari utara ke selatan, MINI Electric bukanlah pilihan yang sesuai. Tetapi, kalau anda inginkan sebuah kereta yang senyap, selesa dan boleh melayan lagu dalam kesesakan bandar, meluncur laju untuk ke tempat kerja atau shopping mall, ini adalah pilihan sempurna.
Jika dibandingkan dengan EV kompak lain, seperti Neta V dari negara China, yang jauh lebih murah (RM100K) dan boleh mencapai jarak sehingga 380 KM (NEDC) dengan bateri 38.54 kW. Kenapa anda masih perlu pertimbangkan MINI Electric?
Dijual pada harga T20, bermula dari RM205,833 (RPP) hingga RM212,133 (termasuk waranti lanjutan & pakej servis), MINI Electric hanya boleh mencapai jarak EV kira-kira 200 KM sahaja. Tetapi dari segi rekaan, prestasi dan pelbagai lagi ciri premium lain, MINI adalah pemenangnya. Mana satu pilihan anda? Tepuk dada, tanya selera.
Untuk mengetahui lebih lanjut tenang MINI Electric, boleh layari https://www.mini.my/en_MY/home/range/electric.html atau kunjungi mana-mana pusat pengedaran MINI Malaysia yang terdekat.
Pautan berkaitan yang lain:
Spesifikasi Terperinci MINI Electric Cooper SE Resolute Edition
TRENKUASA | Pacuan Roda Hadapan (FWD) |
KUASA | 181 HP (135 kW) |
TORK | 270 NM |
0-100 KM/J | 7.3 saat |
KELAJUAN TERTINGGI | 150 KM/H |
BATERI & PENGECASAN | Bateri: Litium ion 28.9 kWh
Tempoh pengecasan: DC @ 50 kW (10-80%: 36 minit) |
JARAK EV | 232 KM (atas kertas, WLTP) |
HARGA | RM205,833 (harga atas jalan) |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv