- Berita
- Pandu Uji
- Pandu Uji BYD Seal Performance: EV Paling Hot Di Malaysia
Pandu Uji BYD Seal Performance: EV Paling Hot Di Malaysia
Sejak membuat penampilan pertamanya di Malaysia pada Februari tahun lalu, model BYD Seal menerima kritikan dan ada juga yang memuji kereta salun EV bersaiz sederhana ini kerana berjaya memberi keseimbangan antara kepraktisan dan sporty.
Ini kerana varian BYD Seal Performance dilengkapi dengan persediaan pacuan semua roda (AWD) dwi-motor yang lebih bertenaga serta menjanjikan pemanduan yang lebih menyeronokkan.
Jadi bagi menguji fakta ini, BYD Malaysia (Sime Motors) ada menganjurkan sesi pandu uji BYD Seal Performance untuk media di Litar Antarabangsa Petronas Sepang baru-baru ini.
Pandu uji ini bukan sekadar melibatkan jalan biasa tetapi melibatkan aksi Gymkhana bagi menguji keupayaan sebenar jentera ini.
Jadi, ini fakta ringkas yang kami dapat tahu mengenai BYD Seal Performance:
BYD SEAL PERFORMANCE:
Sedikit mengenai latar belakang tentang jentera yang telah kami uji. Untuk makluman jentera ini yang disumbat dengan motor berkembar mampu menghamburkan kuasa setakat 530 hp dan tork 670 Nm.
Sementara itu, ia menawarkan agihan bebanan gandar depan dan belakang 50:50 bagi menjamin pengalaman pemanduan yang seimbang.
Disebabkan pemanduannya yang cukup dinamik, ia mampu memberikan prestasi pengendalian cemerlang, hasil daripada agihan bebanan 50:50 antara gandar hadapan dan belakang.
Ia turut dilengkapi dengan kawalan adaptasi tork pintar iTAC bagi memastikan prestasi yang optimum dalam pemanduan yang berubah.
Difahamkan, kombinasi teknologi blade bateri dan binaan CTB bukan sahaja meningkatkan kestabilan kenderaan tetapi menambah baik profil keselamatannya.
Turut menyumbang kepada ini ialah casis e-Platform 3.0 yang disokong oleh Seal, di mana BYD mendakwa struktur bateri CTB memberikan ketegaran kilasan yang tinggi.
Sebelum terlupa, ia didatangkan dengan sistem suspensi menggunakan tetapan Double Wishbone pada roda depan dan Multi-Link pada roda belakang.
Dari segi bateri depan, ia disumbat dengan bateri berkapasiti 82.56-kWh dimana bateri yang sama digunakan pada varian Premium long range.
Dengan adanya motor berkembar, Seal Performance ini dikatakan mampu bergerak sejauh 580 kilometer dengan hanya sekali cas.
Selain menyentuh mengenai prestasinya, , Seal Performance juga dikatakan cukup sarat dengan pelabagai ciri canggih. Ini kerana ia hadir dengan skrin infotainmen bersaiz 15.6 inci jenis boleh pusing serta menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.
Malah, terdapat juga instrumen digital 10.25 inci dengan papar pandu (HUD), tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi pemanasan dan pengudaraan, sistem penghawa dingin, ada port USB dan Dynaudio 12 pembesar speaker dan banyak lagi.
PANDU UJI:
Sesi pandu uji kami bermula dari Bamboo Hills, Kuala Lumpur hingga ke Putrajaya.
Kami kemudian melakukan pertukaran pemandu sebelum tiba di Sepang untuk demonstrasi drift, dan disusuli aktiviti pemanduan gymkhana.
Sepanjang perjalanan, kami menelusuri laluan bandar, lebuh raya SUKE dan kemudian kawasan berbukit sehinggalah kami kembali semula ke Bamboo Hills.
Bagi pemanduan yang pertama, kami dapat merasai pemanduan harian di atas laluan lebuh raya dan mendaki bukit. Dalam situasi ini, prestasi i Seal dilihat terasa cukup mantap, terutamanya apabila anda memandunya dalam had laju lebuh raya.
Bagaimanapun, ketika meredah di atas jalan raya yang lurus, jentera ini menawarkan pemanduan yang cukup lancar sekali gus membuktikan ia cukup sesuai untuk pemanduan harian tetapi bukannya digunakan untuk memecut laju macam kereta sports.
Selain membenarkan kami menguji keupayaan Seal Performance di lebuh raya dan jalan berliku, BYD Malaysia juga mempamerkan keupayaan sebenar EV mereka di litar tertutup.
Dari sini, pemandu Drift yang terkenal Ee Yoong Cherng, juga diberi peluang untuk melenjan Seal Performance dengan menguji tayar Continental EcoContact 6Q.
Untuk makluman, acara ini turut disokong Continental Tyres Malaysia.
Pihak BYD juga dilihat telah mengambil kesempatan untuk menyerlahkan keupayaan kenderaan untuk memuatkan (V2L) Seal dengan mengubah EV mereka menjadi kedai kopi mudah alih.
Perkara ini berjaya dibuktikan apabila Seal mampu menyalurkan kuasa dari kereta untuk menghidupkan barangan elektrik sekali gus menjadikannya ia adalah teman yang ideal untuk melakukan penggembaraan bersama keluarga.
Bagi sesi akhir pemanduan, kami semua telah dijemput ke cabaran khas Gymkhana, di mana kami perlu menguji keupayaan sebenar Seal Performance sebagai kereta sports untuk meredah beberapa halangan seperti pemanduan jalan bengkang bengkok dengan meletakkan kon di tengah-tengah laluan, selekoh, ujian brek kecemasan dan banyak lagi. .
Di sinilah Prestasi BYD Seal menunjukkan taring sebenar , kerana walaupun seberat dua tan, EV ini masih mampu mengharungi semua halangan dengan sempurna.
KESIMPULAN:
Pada hemat kami, BYD Seal Performance AWD adalah sebuah kereta EV yang serba boleh dan mampu menawarkan pemanduan dengan cukup baik walaupun di jalan raya biasa mahupun laluan yang mencabar.
Namun tidak dinafikan ada juga masa yang membuatkan perjalanan tidak selesa namun yang penting anda tidak boleh melenjannya macam kereta sports.
Pendek kata, BYD Seal boleh masih menjadi teman harian untuk anda berulang alik ke tempat kerja, menggunakannya untuk urusan harian termasuk untuk perjalanan jauhh.
Dengan ruang kabin yang besar, ia sebenarnya sudah memadai untuk memastikan kelima-lima penumpangnya yang menaikinya memang selesa.
Bagi yang berminat, BYD Seal didapati dalam versi Premium RWD dan Performance AWD dimana Premium dijual pada harga RM179,800 manakala BYD Seal Performance: RM199, 800.
BYD turut menawarkan waranti kenderaan 6 tahun/150,00km, ada waranti bateri selama 8 tahun/160,000 km, waranti unit pemacu untuk 8 tahun/150,000km.
SPESIFIKASI
BYD SEAL PERFORMANCE AWD
MOTOR |
2x e-motor |
TRENKUASA |
Single-ratio,
all-wheel drive (AWD) |
KUASA |
530 HP (390 kW) |
TORK |
670 NM |
0-100 KM/J |
3.8 saat |
KELAJUAN MAKS |
- |
BATERI & PENGECASAN |
Battery: Charging: |
JARAK |
520 KM (WLTP) |
BERAT |
2,185 KG |
HARGA |
RM199,800 |
Gallery



















Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari