- Berita
- Teknologi
- Volkswagen Bakal Guna Teknologi XPeng Pada Model-Model Akan Datang
Volkswagen Bakal Guna Teknologi XPeng Pada Model-Model Akan Datang
XPeng bersama Volkswagen Group telah mengambil satu langkah besar dalam kolaborasi teknologi mereka melalui sistem seni bina elektronik dan elektrikal (E/E), sistem penting yang menyokong operasi kenderaan moden.
Susulan perjanjian awal yang dimeterai pada Julai 2024, kerjasama ini kini merangkumi bukan sahaja kenderaan elektrik (EV), malah turut termasuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan hibrid plug-in (PHEV) di pasaran China.
Dengan integrasi seni bina E/E milik XPeng dalam pelbagai model Volkswagen, gergasi automotif Jerman tersebut dapat mempercepatkan kemaskini perisian, mengurangkan masa pembangunan produk baharu dan mengekalkan daya saing dengan kos yang lebih efisien dalam pasaran yang berkembang pesat.
Apa Itu Seni Bina Elektronik dan Elektrikal (E/E)?
Seni bina E/E adalah sistem ‘saraf’ utama sesebuah kenderaan moden, menghubungkan perkakasan (hardware) dan perisian (software) yang mengawal pelbagai fungsi seperti sistem bantuan pemandu, infotainmen, pengurusan tenaga dan sambungan rangkaian pada kenderaan.
XPeng menawarkan teknologi E/E yang direka khusus untuk kenderaan pintar elektrik, sangat fleksibel dan boleh menyokong pelbagai jenis kuasa penggerak atau trenkuasa. Sistem ini juga membolehkan piawaian perisian dan perkakasan diselaraskan, sekali gus mengurangkan kos dan mempercepat pembangunan.
Penerapan Pada Model ICE & PHEV
Pasukan R&D gabungan telah membuktikan bahawa seni bina yang direka untuk EV juga boleh diaplikasikan pada platform ICE dan PHEV, menandakan nilai jangka panjang kerjasama ini dan dijangka mengukuhkan kedudukan Volkswagen di pasaran kereta terbesar dunia, China.
Ketua Pegawai Eksekutif XPeng, He Xiaopeng, menyifatkan perjanjian yang diperkembangkan ini sebagai lambang kepercayaan dan komitmen kedua-dua pihak terhadap inovasi dalam teknologi kenderaan pintar.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Group China, Ralf Brandstatter, menyatakan bahawa perluasan seni bina E/E ini kepada model ICE memperkuatkan kedudukan teknologi Volkswagen dan memastikan syarikat kekal kompetitif dalam pasaran China.
Baca: Volkswagen Umum Henti Pengeluaran Touareg, Tiada Pengganti
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv