- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] 6 Perkara Menarik Tentang EV Kompak Volvo EX30
[PANDU UJI] 6 Perkara Menarik Tentang EV Kompak Volvo EX30
Volvo EX30 yang dipandu uji masih dalam pelekat samaran.
Volvo EX30 yang dibangunkan sebagai salah satu model paling mampu milik daripada jenama Sweden ini bakal membuat kemunculan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Sebelum pelancarannya, kami berpeluang untuk memandu uji salah satu daripada tiga varian model ini, dan pada pendapat kami, ini ENAM sebab mengapa Volvo EX30 patut dipertimbangkan sekiranya anda bercadang untuk membeli sebuah kenderaan elektrik (EV).
1. Saiz Kompak
Volvo EX30 merupakan sebuah crossover kompak, lebih kecil daripada smart #1 yang berkongsi platform SEA sama daripada Geely. Dengan ukuran panjang 4,233 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,550 mm dan jarak roda 2,650 mm, EX30 juga lebih kecil berbanding model lain seperti C40 dan XC40. Saiz badan yang kecil ini bermakna EX30 sempurna untuk kegunaan di bandar.
Baca: Volvo EX30: EV Kecil Yang Tidak Sempit, Ini Rahsianya…
Namun, dalam pakej kecil ini, EX30 tetap tampil menyerlah dengan sentuhan rekaan minimalis Skandinavia seperti lampu LED penuh dengan motif piksel, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk tukul Thor yang ikonik. Sudut belakang juga kelihatan unik dengan lampu piksel yang futuristik.
2. Kabin Minimalis Tetapi Mewah
Walaupun berkongsi platform dengan smart #1, kabin EX30 tampil lebih mewah dan premium. Tiada panel plastik keras pada papan pemuka (dashboard) atau pintu, sebaliknya Volvo menggunakan plastik sentuhan lembut dan kulit faux yang menaikkan aura mewah kabin.
Model ini juga tampil unik kerana tidak memiliki sebarang butang kawalan fizikal pada pintu dan konsol tengah. Suis kawalan tingkap dan pendingin hawa diletakkan pada perehat tangan, manakala kawalan untuk cermin sisi dan pendingin hawa pula di dalam sistem infotainmen. Di peringkat awal, mungkin agak janggal untuk membiasakan diri dengan ciri ini.
3. Pengalaman Pemanduan Yang Mengujakan
Salah satu kelebihan kenderaan bersaiz kecil adalah kelincahannya, dan inilah yang dirasakan semasa mengendalikan EX30, cukup menyeronokkan. Dengan berat 1,843 kg untuk versi dua motor AWD, EX30 dapat melalui laluan berselekoh dengan pantas dan stabil.
Talaan suspensi yang keras tetapi seimbang dan stereng yang responsif menjadikan pandu uji di Lebuhraya Karak dan jalan berliku menuju ke Janda Baik pengalaman yang agak mengagumkan. Yang menariknya, EX30 tidak hanya ‘menyalurkan’ prestasi yang baik dalam pelbagai keadaan laluan, tetapi ruang kabin juga kekal selesa terutamanya dari segi kesenyapannya, antara kualiti yang boleh dijangkakan daripada mana-mana model Volvo.
4. Mod ‘Performance AWD’ Yang Tersembunyi
EX30 versi dua motor AWD mampu menghamburkan kuasa setinggi 422 hp dan tork 543 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dicapai dalam hanya 3.6 saat. Namun, yang lebih menarik ialah mod ‘Performance AWD’ yang tersembunyi di sebalik menu Vehicle Settings pada skrin tengah.
Mod ini memberikan EX30 kuasa pecutan tambahan dan cengkaman yang lebih baik semasa di selekoh atau mendaki bukit. Walaupun mod ini mengurangkan jarak perjalanan EV, ia disediakan untuk pengguna yang menginginkan prestasi pemanduan lebih dinamik.
5. Praktikal Untuk Kegunaan Harian
EX30 membuktikan dirinya praktikal dengan ruang kargo standard 318 liter yang boleh diperluas hingga 904 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Semasa ujian, kami berjaya memuatkan pelbagai barangan yang dibeli dari IKEA.
Ciri praktikal EX30 tidak terhenti pada ruang kargonya, sebagai sebuah EV, ciri penting lain adalah jarak perjalanannya. Dalam sesi pandu uji ini, kami berjaya menempuhi hampir 400 km untuk perjalanan pergi dan balik dari Janda Baik dengan hanya satu cas penuh!
Untuk makluman, EX30 menggunakan bateri 69 kWj yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 175 kW, membolehkan kereta dicas daripada 10-80% dalam hanya 28 minit.
6. Tiada Apple CarPlay, Tetapi Ada Alternatif Lain…
Salah satu kekurangan terbesar bagi sesetengah pengguna mungkin ketiadaan Apple CarPlay pada skrin sentuh 12.3 inci EX30. Namun, sistem operasi Android Automotive yang terbina di dalamnya menawarkan pelbagai ciri pintar, termasuk Google Maps dan Google Assistant.
Jika anda tidak selesa dengan ekosistem Google, jangan risau. Anda masih boleh menggunakan aplikasi lain seperti Waze dan Spotify melalui Google Play Store. Walaupun tidak menyediakan Apple CarPlay, banyak pilihan aplikasi penting telah disediakan dalam sistem infotainmen ini.
Berbaloi Atau Tidak?
Walaupun kecil, Volvo EX30 terbukti hampir sempurna dalam pelbagai aspek, bukan sahaja menjanjikan prestasi yang baik tetapi juga keselesaan. Untuk melihat sendiri model ini dengan lebih dekat, anda boleh kunjungi KL Base, Sungai Besi bermula 26 hingga 29 September, selepas pelancaran rasminya pada 25 September nanti.
Buat masa ini, harga jualan EX30 masih belum diumumkan, namun ia dijangka menjadi model Volvo paling mampu milik yang ditawarkan di pasaran. Volvo juga bakal menawarkan waranti dan pakej servis yang menarik, menjadikan EX30 sebuah EV canggih yang patut dipertimbangkan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv